Buah kurma sangat sinonim dengan berbuka puasa. Rutin harian Nabi semasa berbuka puasa dimulakan dengan memakan buah kurma. Persoalannya, mengapa buah kurma sangat disukai Nabi sebagai juadah pemula berbuka puasa? Adakah sebab buah itu sahaja yang wujud di negara Arab?

Sayiditina Aisyah berkata:

“Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada untuk dijadikan makanan hanyalah kurma dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kurma atau nama saintifiknya Phonex dactylifera adalah antara buah yang boleh dimakan samada ketika masak atau mentah. Ia juga tumbuh subur di negara-negara Arab. Kajian saintifik membuktikan kurma memiliki banyak khasiat dan sesuai dijadikan diet harian.

Kurma terdiri daripada 15 jenis garam mineral, kaya dengan vitamin, serat, karbohidrat dan kurang lemak. Berikut adalah bagaimana khasiat kurma menjadikan ianya sangat ideal kepada orang berpuasa:

#1 – Membekalkan Tenaga Segera

Kurma mempunyai kandungan gula semulajadi (monosakarida) yang tinggi. Gula inilah yang memberikan rasa manis pada kurma. Gula ini berupaya menjadi sumber ekspres bagi mengembalikan tenaga kepada orang yang berpuasa.

Dr David Canning, seorang pakar nutrisi British pernah membuat kajian tentang kurma. Penemuannya mendedahkan, air yang mengandungi gula akan diserap ke dalam tubuh dalam tempoh 20-30 minit. Tetapi gula yang terkandung di dalam kurma akan habis diserap dalam tempoh 40-45 minit.

Oleh sebab itulah, pengambilan kurma ketika sahur akan menjadikan seseorang lebih segar dan tahan lapar dalam jangka masa yang lebih lama.

#2 – Membantu Melancarkan Penghadaman

Ketika berpuasa, usus manusia tidak memproses sebarang makanan bermula subuh hingga maghrib. Usus boleh diumpamakan sebagai kilang pemprosesan makanan. Selepas sehari tidak beroperasi, usus kita memerlukan pelincir untuk memudahkan penghadaman berlaku.

Kurma boleh membantu menjalankan fungsi ini. Ini kerana ia bukan sahaja memudahkan pemprosesan makanan malah turut merembeskan asid hidroklorik yang diperlukan untuk tujuan penghadaman.

#3 – Meneutralkan Asid

Di bulan Ramadan, kita menikmati pelbagai juadah berasaskan daging, sayur dan sebagainya. Percampuran makanan boleh menyebabkan terhasilnya asid di dalam darah. Kewujudan asid dalam darah juga boleh berpunca daripada pemakanan daging dan karbohidrat secara berlebihan.

Walaubagaimanapun kurma boleh menjadi penawarnya. Pengambilan kurma akan membantu meneutralkan kembali asid tersebut kerana kandungan garam beralkali yang terdapat di dalam buah kegemaran Nabi itu.

#4 – Mengelakkan Sembelit

Pemakanan kurma akan membantu mengelakkan sembelit. Sembelit lazimnya berlaku disebabkan perubahan masa makan dan kurangnya pengambilan serat dalam makanan. Pada bulan puasa, corak waktu makan kita berubah kerana terpaksa berlapar selama hampir 13-14 jam.

Oleh itu, pengambilan kurma dalam diet harian ketika berpuasa mampu menampung keperluan serat dalam badan untuk tempoh masa yang lebih lama. Kurma juga sangat mudah dihadam dan tidak menyebabkan keradangan perut.

#5 – Membekalkan Zat Yang Cukup Bagi Wanita Hamil

Bakal ibu selalunya sangat bimbang jika bayi di dalam kandungan tidak memperolehi zat yang cukup ketika mereka berpuasa. Tetapi usah bimbang kerana pengambilan kurma di waktu sahur boleh membekalkan tenaga yang cukup untuk ibu hamil meneruskan puasa.

Mengikut pakar perubatan, kurma sangat kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita hamil mahupun selepas bersalin. Hal ini selaras dengan wahyu yang diturunkan kepada Maryam binti Imran ketika melahirkan Isa a.s:

“Dan goncangkanlah batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak”(Maryam:25)

#6 – Meningkatkan Daya Ingatan

Bulan Ramadan adalah bulan untuk kita mengakrabkan diri dengan Quran. Ini kerana bulan Ramadan adalah bulan penurunan Al-Quran. Aktiviti hafazan, tadabbur dan tilawah perlu disuburkan agar ajaran Quran lebih kuat terpasak di jiwa.

Khasiat kurma sangat membantu dalam konteks ini kerana kajian mendedahkan pemakanan kurma akan mencerdaskan otak dan meningkatkan daya ingatan. Justeru, pengambilan kurma diikuti keadaan perut yang kosong pastinya akan menjadikan minda lebih fokus untuk menghafaz dan memahami al-Quran.

#7 – Pemakanan Kurma Adalah Sunnah

Kurma adalah makanan yang sangat digemari oleh Rasulullah. Bahkan baginda sendiri turut memilih kurma sebagai pemanis mulut untuk berbuka puasa. Sabdanya:

Apabila seseorang berbuka puasa, berbukalah dengan buah tamar. Jika dia tidak memperolehi buah tamar, berbukalah dengan air kerana air itu suci(HR: Abu Dawud)

Masyarakat di negara-negara miskin sukar untuk mendapatkan bekalan kurma. Lazimnya mereka berbuka puasa dengan buah-buahan semata-mata ingin meraikan sunnah Nabi yang berbuka dengan kurma. Di Malaysia, kita mempunyai pelbagai jenis kurma yang boleh dimakan. Justeru bersyukurlah kerana kita diberi rezeki oleh Allah untuk menikmati kurma semasa iftar.

Kesimpulannya, khasiat buah kurma melayakkan ia sebagai buah yang terbaik untuk dimakan samada di bulan Ramadan atau di bulan lain. Di samping menjadikan tubuh lebih energetik, pemakanan sunnah ini juga pasti menjamin kesihatan kita selagi kita mengamalkannya. Akhir kata, jom budayakan pemakanan kurma dalam kehidupan kita agar kesihatan kita sentiasa diberkati.

Tentang Alia Basirah

Alia Basirah

Beliau merupakan graduan lepasan Universiti Utara Malaysia dalam bidang psikologi pendidikan. Seorang penulis yang gemar mengekspresikan idea melalui penulisan. Kini, beliau sedang bergiat aktif dalam penulisan buku dan pernah menulis artikel untuk beberapa majalah islamik tanah air.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.