Reccep Tayyib Erdogan. Namanya sering disebut-sebut sebagai ikon pemimpin harapan Islam masa kini. Di saat-saat negara lain ketandusan pimpinan yang kuat dan hebat, Presiden Turki ini muncul bagaikan kilauan permata yang menyinari dunia Islam.

Goerge Friedman menulis dalam bukunya yang bertajuk 100 Years, beliau meramalkan Turki bakal menjadi negara kuasa besar yang hebat dek kerana kestabilan politik, ekonomi dan ketenteraannya suatu hari nanti.

Hari ini, kedudukan Erdogan dalam politik Turki memberi penangan yang hebat, bukan sahaja kepada warga Turki malah di persada politik antarabangsa. Soalnya, adakah Erdogan merupakan perintis yang mencorakkan kehebatan Turki sebagaimana yang digambarkan Goerge Friedman? Adakah beliau akan menjadi ‘Al-Fateh’ moden yang melakarkan sejarah baru untuk Turki?

Jika benar, inilah masanya untuk kita meneliti dan mengkaji karakter kepimpinan Reccep Tayyib Erdogan. Berikut adalah nilai positif yang ada pada sosok tubuh ini sehingga mampu membawa perubahan yang radikal di Turki.

#1 – Ketegasan

Erdogan menunjukkan ketegasan yang jelas terhadap isu-isu pergolakan di negara Islam seperti di Palestin dan Syria. Pada tahun 2009, beliau telah menempelak tindakan Simon Perez yang mewajarkan tindakan Israel menyerang Gaza ketika Forum Ekonomi Dunia di Davos.

Erdogan kemudiannya memberi kata-kata sinis kepada bekas Perdana Menteri Israel sebelum meninggalkan Forum itu. Ujarnya kepada Simon Perez:

“En Perez, kamu lebih tua berbanding saya. Suara kamu juga sangat kuat. Tapi saya percaya tingginya nada suara kamu melambangkan simptom psikologi seorang penjenayah. Suara saya mungkin tidak sekuat kamu, tapi kamu patut tahu tentang ini. Kamu sangat pakar dalam melakukan pembunuhan. Saya masih ingat bagaimana kamu menembak mati kanak-kanak di pantai. Dan ada bekas perdana menteri dari negara kamu memberitahu saya mereka gembira untuk memasuki Palestin dengan kereta kebal dan senjata.”

Ketegasan yang ditunjukkan Erdogan jarang ditonjolkan oleh pemimpin Islam lain yang dilihat agak pengecut dan tidak berani menentang Israel. Begitu juga ketika insiden serangan Mavi Marmara. Beliau menggesa Israel memohon maaf kepada Turki atas serangan kapal yang membawa bantuan untuk Palestin.

Erdogan juga mempunyai pendirian yang sangat tegas terhadap isu berkaitan keselamatan negara. Situasi ini jelas dipamerkan apabila tentera Russia menggunakan ruang udara Turki bagi melancarkan serangan udara di Syria. Setelah pihak Russia tidak mengendahkan amaran yang diberi oleh Turki, Erdogan mengerahkan tenteranya untuk menembak jatuh pesawat Russia. Tindakan beliau membuatkan Russia terkedu dan tidak lagi memandang enteng kepada Turki.

#2 – Kredibiliti

Kehebatan Erdogan di pentas politik Turki sedikit sebanyak membuatkan musuh politiknya tidak senang duduk. Pada Julai 2016, kepimpinan Erdogan teruji apabila pihak tentera telah membuat cubaan rampasan kuasa. Namun, Erdogan tidak goyah sedikitpun dengan ancaman ini.

Apabila tentera mengeluarkan perintah berkurung kepada rakyat Turki, Erdogan pula mengerahkan rakyat Turki berhimpun di setiap kawasan terbuka bagi menzahirkan sokongan terhadapnya. Kredibilitinya terserlah apabila rakyat bangkit menunjukkan sokongan kepada beliau. Perhimpunan rakyat telah menyebabkan pergerakan tentera semakin lumpuh. Akhirnya rampasan kuasa berjaya dipatahkan.

Kredibiliti Erdogan juga terserlah apabila Turki dijemput sebagai negara yang menjayakan Deklarasi Moscow di Russia pada Disember 2016. Deklarasi ini bertujuan mengurangkan ketegangan krisis yang berlaku di Syria. Ia melibatkan perjanjian beberapa negara kuasa besar seperti Russia dan Iran.

Amerika Syarikat merasa terpukul dengan perjanjian itu kerana negara mereka tidak dijemput untuk menjayakan Deklarasi Moscow.

#3 – Keprihatinan

Berbanding kepimpinan Islam yang lain, Erdogan dilihat lebih terkehadapan dalam tindakannya membantu nasib pelarian Syria. Di saat pimpinan Arab Islam diam seribu bahasa, seolah-olah tidak mengendahkan krisis yang berlaku di Syria, beliau telah pun membuka kem-kem pelarian Syria di sempadan Turki sejak perang saudara meletus di Syria pada Mac 2011.

Erdogan juga sentiasa memastikan agar bantuan kesihatan dan makanan sentiasa diberikan kepada golongan pelarian malang itu. Kem pelarian yang dibina di sempadan Turki telah memudahkan skuad sukarelawan dari pelbagai negara tampil untuk memberikan bantuan kepada mangsa perang.

Sehingga ke hari ini, negara Turki di bawah kepimpinan Erdogan telah menampung hampir dua juta pelarian Syria dalam peraturan perlindungan sementara. Ramai antara golongan pelarian terdiri daripada kanak-kanak yang perlu diberikan perlindungan dan pendidikan. Sebagai inisiatif, kerajaan Turki juga telah membina sekolah-sekolah kepada warga Syria untuk memastikan anak-anak Syria menikmati pendidikan yang baik.

#4 – Strategis

Sebelum kepimpinan Erdogan, pengaruh sekularisme yang dibawa oleh Kamal Atarturk masih menebal dalam kalangan warga Turki. Ini menyebabkan tumpuan terhadap pembangunan negara Islam tidak ditekankan oleh Erdogan. Parti AKP di bawah kepimpinan beliau banyak melakukan transformasi ekonomi dalam fasa awal pentadbiran mereka di Turki.

Bagi meraikan sokongan rakyat Turki terhadap Kamal Atarturk, Erdogan tidak pernah menghina bekas pemimpin Turki itu, malah tidak bersetuju dengan idea untuk memusnahkan tugu peringatan Kamal Atarturk.

Rasa hormat yang ditunjukkan Erdogan kepada ikon Turki itu telah mengendurkan semangat Kemalisme dalam kalangan warga Turki.

Natijahnya,sokongan terhadap Erdogan semakin meningkat. Setelah berjaya menawan hati rakyatnya, barulah Erdogan menerapkan nilai-nilai Islam kepada rakyat Turki. Antaranya membenarkan pemakaian hijab, menarik balik larangan azan secara terbuka dan sebagainya. Beliau juga berusaha menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai ikon yang harus dicontohi di Turki.

Tindakan strategik Erdogan ternyata membuahkan hasil. Sehingga ke hari ini Islam sudah boleh dipraktikkan secara aman di Turki di bawah kepimpinannya.

#5 – Kecekalan

Perjalanannya dalam politik dipenuhi liku dan ranjau. Sebelum diangkat sebagai Presiden, Erdogan pernah dipenjarakan dek puisi-puisi Islamik yang dilantunkan kepada pimpinan sekular Turki suatu masa dahulu.

Walaubagaimanapun hukuman penjara itu tidak sedikit pun mengoyahkan semangatnya untuk memperjuangkan Islam di Turki, sebaliknya menjadi batu loncatan untuk beliau terus aktif dalam arena politik Turki.

Buktinya, beliau telah menubuhkan Parti AKP (Parti Keadilan dan pembangunan sosial) setelah dibebaskan dari tahanan. Pada awal penubuhannya, Parti AKP dikritik begitu hebat lantaran ketandusan agenda untuk membangunkan Islam di Turki.

Namun, hal ini tidak pernah menggoyahkan Erdogan. Selepas melalui beberapa siri pilihanraya Parti AKP berjaya menawan hati rakyat Turki sekaligus mengangkat kedudukan Erdogan sebagai Presiden Turki. Erdogan juga cekal menghadapi tentangan dalaman di Turki.

Walapun terdapat pihak yang ingin mengkucar-kacirkan perpaduan rakyat Turki dengan mencetuskan sentimen perkauman, beliau tidak mudah melatah dan menyalahkan mana-mana pihak. Begitu juga dengan insiden pengeboman yang berlaku di Turki, tidak sedikitpun menggentarkan beliau untuk terus memelihara keamanan di bumi Konstantinple itu.

Terkini, Erdogan telah melaksanakan transformasi baru dalam dunia politik Turki. Beliau telah membuat beberapa pindaan pada perlembagaan Turki dan meraih lebih 50 peratus sokongan rakyat. Hingga ke saat ini, pengaruh Erdogan semakin melebar dan beliau dianggap hero oleh rakyatnya.

Ilmuawan Turki menganggap era transformasi yang berlaku di Turki hari ini sebagai Neo-Ottomanisme. Reccep Tayyip Erdogan nampaknya telah mencipta sejarah baru di bumi Turki. Semoga gaya kepimpinan beliau terus menjadi ikutan anak muda yang ingin membina legasi dan ketamadunan Islam.

Tentang Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.