Muhammad bin Sirin atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Ibnu Sirin’ merupakan ulama tafsir mimpi yang sangat terkenal pada zamannya. Beliau dilahirkan pada abad ke-8 di Basrah, Iraq.

Keistimewaan yang ada pada diri Ibnu Sirin ialah keperibadiannya yang wajar dicontohi. Beliau seorang yang sangat warak dan gemar beribadah di malam hari, manakala pada siangnya pula beliau kerap berpuasa.

Pernah suatu ketika, ada seseorang yang berkata tentang keburukan seorang yang lain. Namun, Ibnu Sirin tidak mengiyakan kata-kata orang itu. Bahkan, apa yang dilakukan oleh beliau ialah menceritakan segala kebaikan yang ada pada orang yang diceritakan hal keburukannya itu.

Ini antara sikap Ibnu Sirin yang amat disenangi oleh orang sekeliling, iaitu beliau tidak pernah menyebut tentang seseorang melainkan hal kebaikannya sahaja.

Selain itu, Ibnu Sirin yang berguru daripada kalangan sahabat Nabi SAW ini juga tatkala teringat akan kematian, serta-merta anggotanya menjadi kaku dan mukanya berubah menjadi pucat lesi. Begitu takutnya beliau kepada Allah SWT dan hari kematian yang akan memutuskan segala kelazatan duniawi.

Pada situasi lain, Ibnu Sirin biasanya akan memasuki pasar dan ramai orang sedang berurusniaga. Keadaan di situ juga agak riuh. Lalu, di tengah-tengah pasar itu Ibnu Sirin bertakbir dan bertasbih dengan suara yang cukup kuat.

“Wahai Ibnu Sirin, mengapa engkau melakukan hal seperti ini di tempat begini?” Tanya salah seorang daripada mereka.

“Aku melakukannya kerana pada masa begini, ramai manusia yang lupa kepada Allah SWT.”

Jawab Ibnu Sirin.

Antara karya Ibnu Sirin yang terkenal ialah Tafsir Al-Alam iaitu yang membincangkan tentang tafsir-tafsir mimpi. Pada tahun 109 Hijrah, beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Semoga segala usaha yang dilakukan oleh beliau sewaktu hidup dahulu menjadi saham akhirat buat dirinya, seterusnya dijadikan contoh kepada umat terkemudian untuk melaksanakan amal kebaikan. Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.