Inspirasi

Hiv Yang Merubah Dirinya

Oleh Mas Jamian  •  12 Mar 2018  •  4 min baca

“Sekarang awak beritahu saya situasi macam mana yang menyebabkan awak boleh teringat kepada dadah.”

Klien yang saya namakan di sini sebagai ‘Hamza’ itu menjawab jujur;

“Saya tak boleh duduk seorang diri encik,”

Hamza memang telah disahkan menghidap HIV sejak 3 tahun lalu. Dan ini bukan pertama kali ia ditahan dan ditempatkan di pusat pemulihan.

Wajah dan tubuh badannya ketara kurus begitu juga wajahnya, cengkung. Hamza salah seorang klien yang bagi saya menunjukkan keinsafan yang tinggi.

Harapan saya, kesedaran itu kekal dan mendapat sokongan daripada orang terdekatnya apabila ia bebas nanti.

Sepanjang di sini, Hamza tidak pernah kena ‘borang merah’, borang yang mencatat kesalahan-kesalahan disiplin penghuni seperti tidak hadir kelas, tidak solat dan bergaduh.

Dia pendiam dan riak wajahnya nampak tenang. Kopiah putih sentiasa di kepalanya. Penyakit yang dihidapinya menyebabkan ia kurang melakukan aktiviti lasak seperti bermain bola sepak.

Namun, dia mengganggahi semua program yang ditetapkan. Menurut ustaz yang menyelia program agama, Hamza lebih gemar berada di masjid. Kerana itu juga, dia dipilih sebagai salah seorang jawatankuasa masjid dalam kalangan penghuni.

Hamza menjelaskan lagi tentang dirinya;

“Saya kena sibukkan diri, bercampur dengan orang, bekerja…”

Ketika di luar dahulu, ini juga kelemahannya, tidak boleh menyendiri. Apatah lagi dengan wang yang banyak ada di tangan.
Saya cuba menyuntik keyakinannya;

“Tapi, saya yakin awak boleh hadapinya nanti, bila bebas.”

“Ustaz kata, awak rajin di masjid, tak timbulkan masalah, suka berjumpa dan bertanya ustaz.”

Dalam tenang yang dilihat pada zahirnya, dia meluahkan rasa yang terpendam;

“Saya masih takut encik.”

Hamza tunduk dan seperti berfikir jauh apabila disentuh bab kehidupan di luar pusat pemulihan. Ada kerisauan dan gejolak di dadanya. Ada peperangan di relung hatinya.

“Di luar nanti dugaan dia lain. Di sini, semuanya terkawal, ada encik-encik, ada ustaz. Iman saya ni iman suasana encik.”

Iman suasana. Frasa itu bagai terpantul pada diri saya sendiri. Ya, ‘iman suasana’ itu pernah saya dengar dalam satu kuliah bersama ustaz dahulu, ketika hadir majlis ilmu ketika di kampus.

Seingat saya, seperti dijelaskan oleh ustaz kami itu, umat Islam berhadapan dengan cabaran menjadi baik apabila persekitarannya baik.

Namun apabila persekitarannya tidak baik, banyak maksiat berlaku, maka dirinya berubah mengikut apa yang ada di sekelilingnya. Puncanya, ilmu dan amalan itu belum betul-betul ikhlas.

Kata ustaz itu lagi, sebab itu Islam menekankan konsep berjemaah. Bawa diri ke dalam jemaah bermula di masjid, di kampung, di persatuan dan pertubuhan, serta apa kelompok yang sihat supaya dapat berkat hidup berjamaah, ingat-mengingati dalam kebaikan dan menjauhi keburukan.

Mungkin itulah maksud ‘Hamza’, cabaran sebenar menanti di luar sana tanpa kawad duri yang mengawal pergerakannya dan para pegawai yang selalu berdamping dengannya.

Ya, dalam cuba memberinya semangat, saya akur akan bayangannya itu. Itu juga yang selalu diajar kepada kami, pegawai yang membantu memulihkan penagih dadah.

Pemulihan itu proses sepanjang hayat. Apabila seseorang dimasukkan ke dalam pusat pemulihan, itu hanyalah satu tapak untuk ia berhenti seketika, mencuci segala kekaratan hidup, membina kembali jiwa yang runtuh, untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

Pusat serenti umpama ‘pit stop’ dalam perlumbaan formula one – tempat berhenti seketika, untuk kembali ke gelanggang dan meneruskan pertarungan.

“Cuma kali ini saya rasa lain sikit encik. Semasa saya di pusat sebelum ini saya ikut program kerana terpaksa. Sejak saya disahkan HIV ni, emm saya rasa menyesal sangat encik. Baru saya betul-betul menyesal atas perbuatan saya.”

Saya dapat merasa keinsafannya, dan tangisan yang mengalir di jiwanya. Wajahnya tenang mengungkap kata tanpa air mata.

Tetapi siapa tahu yang ia puas, puas menjerit dan merintih di hadapan Tuhan, di rumah Allah yang panggilannya begitu dekat di sini.

Saya yakin, ia kembali menemui segala yang hilang selama ini – iman, rasa bertuhan dan jiwa hamba itu.

Kata-kata Hamza juga membuat saya melihat diri sendiri, sejauh mana merasai kehadiran Tuhan di dalam diri.

Mungkin kita boleh menongak ke langit berasa bangga kita bebas daripada gejala itu.

Namun, lihatlah pesakit-pesakit itu dengan mata hati kita, mereka dahulu sama seperti kita.

Tidaklah mengharap nasib sebegitu rupa, namun ujian tetap melanda. Tugas kita membantu mereka, bukan memandang dengan hujung jelingan sebagai tanda mereka hina.

Bantulah semampu mungkin, barangkali kematian mereka lebih mulia daripada kematian kita, yang bakal menjemput kita, tidak terawal sesaat dan tidak terlewat sesaat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Mas Jamian

Mas Jamian

Seorang penulis bebas dan sering mengendalikan program pencegahan serta pemulihan penagih dadah sejak tahun 2003. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (USM).

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami