Sepanjang sejarah Islam begitu banyak tokoh muslimah yang wajar dicontohi keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT. Siapa tidak kenal dengan sosok Khadijah, Fatimah, Maryam dan Aisyah? Mereka bukan sahaja tubuh wanita yang hebat malah wanita yang namanya tercatat dalam kehidupan di dunia, syurga selama-lamanya dan sehingga bila-bila pun.

Mereka dikurniakan kekuatan ketabahan dan ketakwaan yang sangat luar biasa dalam menerima ujian dari Allah SWT. Namun, segala ujian dan cubaan itu tetap diterima dengan reda, taat, sabar walaupun dugaan itu sangatlah berat dan menggugah iman. Tentang mereka, disebutkan oleh Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik muslimah syurga adalah Khodijah, Fatimah, Maryam dan Asiyah.”(Hadis Riwayat Baihaqi)

Apakah keistimewaan yang ada pada mereka?

#1 – Mereka Memahami Kehidupan Tetapi Tidak Mencintainya

Kehidupan mereka tidak terlepas dari ujian dan rintangan. Tetapi mereka masih menerima kehidupan dunia sebagai sebuah jalan hidup yang mesti dijalani termasuk meredah apa-apa juga permasalahan dengan sebaiknya dan yakin bahawa Allah adalah segalanya, serta berhak melakukan apa-apa sahaja.

Mereka juga sangat sedar bahawa kehidupan yang sebenarnya adalah di akhirat, yang lebih baik dan kekal malah dunia hanyalah sementara. Khadijah memenuhi hidupnya dengan perjuangan menjadi isteri yang mendampingi suaminya dalam perjuangan menegakkan Islam.

Beliau sangat berusaha menjadi isteri yang menenangkan di kala suaminya diuji dan berasa tidak mampu. Bukan sahaja sebagai penasihat, beliau juga sebagai perawat yang melegakan kegundahan hati Rasululalh SAW. Beliau juga sedia dan sentiasa menyakinkan Baginda untuk tidak berasa takut dengan sentuhan, kata-kata serta kasih sayangnya.

Beliau sentiasa faham akan masalah dan situasi yang dihadapi oleh Baginda SAW serta menyediakan dirinya untuk menjadi penasihat dan pemujuk. Beliau faham peranannya sebagai seorang isteri kepada Rasulullah SAW.

Beliau juga menginfakkan semua hartanya kepada perjuangan Islam. Bukan sahaja dengan jiwa, beliau turut memberikan segala yang dimilikinya untuk Islam yang begitu dicintainya.

#2 – Mereka Adalah Wanita Yang Menjaga Kehormatan

Maryam binti Imran adalah contoh terbaik wanita yang menghiasi kehidupannya dengan sangat mentaati Allah. Beliau sesekali tidak terperdaya dengan kesenangan dunia yang melalaikan, malah hanya menghambakan diri kepada Allah SWT dengan penuh nikmat terhadap ibadah siang dan malam.

Beliau juga sangat menjaga kehormatan dirinya dengan menjaga diri dari sekecil-kecil perbuatan maksiat. Beliau adalah wanita yang menikmati hidupnya dengan ketakwaan. Maryam sesekali tidak memuaskan kehendak wanitanya yang selalunya gemarkan bercantik- cantik dan berdandan.

Pun begitu ujian yang maha berat dianugerahkan kepadanya menjanjikan hikmah yang sangat besar. Waluapun pada awalnya beliau dihina, dicaci kerana melahirkan zuriat tanpa seorang suami, beliau tetap reda dan yakin bahawa Allah SWT menyediakan ganjaran yang cukup hebat buatnya.

Yakin dan teguh iman terhadap Allah SWT adalah hasil daripada ketaatannya kepada Allah SWT. Kerana Allah tidak sesekali menurunkan ujian yang hebat kepada hambanya yang hebat imannya.

#3 – Mereka Sangat Warak Dan Teguh Iman

Asiyah merupakan isteri kepada Firaun yang terkenal sebagai seorang pemerintah yang zalim dan kejam. Firaun langsung tidak mahu tunduk kepada ajaran Allah SWT. Bahkan, dia sendiri mengakui dirinya sebagai tuhan. Namun siapa sangka di sebalik sosok yang sungguh hitam itu, Allah meletakkan seorang wanita alim sebagai isterinya.

Asiyah, adalah wajah wanita yang sungguh teguh pendiriannya dengan kebenaran. Sungguhpun bersuamikan lelaki yang sebegitu, beliau sangat menjaga kemuliaan diri dengan akhlak yang baik dan terpuji, tatkala di sekitarnya dipenuhi dengan kedurhakaan.

Beliau mampu bertahan dalam keimanan sewaktu orang terdekatnya yang menjadi suaminya menjadi penghalang utamanya. Namun sesekali beliau tidak gentar dengan meneruskan kepercayaan dan keyakinan terhadap Islam, sehingga Allah SWT menghadiahkan beliau sebuah rumah untuknya di syurga seperti yang dijanjikan.

#4 – Mereka Menjalankan Tuntutan Agama dan Amalan Sunnah

Puteri Rasulullah SAW yang dikasihinya, Fatimah binti Muhammad ialah wanita yang sentiasa berjuang dengan tugasan wanitanya. Beliau mewakili golongan wanita yang berkhidmat sepenuhnya dengan tenaga mereka sebagai ibu dan isteri yang mengerjakan kerja-kerja di rumah.

Beliau sentiasa melawan rasa lelah mengadun tepung, menimba air serta mengurus anak-anak. Fitrah wanitanya pernah muncul dengan meminta khidmat (pembantu) daripada Rasulullah, dan menyatakan kepenatannya dengan tugasan hariannya.

Namun Baginda memujuk dengan berpesan bahawa nikmat yang diperoleh sebagai seorang isteri adalah seperti berjihad di jalan Allah serta banyak kelebihan lain yang tidak terhingga. Sehingalah Fatimah tidak lagi berkeluh kesah melakukan rutinnya itu.

Banyak pelajaran yang diajarkan oleh keempat-empat muslimah ini. Mereka menyediakan tauladan yang boleh dijadikan panduan kepada wanita generasi kini supaya mengikuti corak kehidupan seorang muslimah sejati; iaitu dengan menjadi seorang isteri solehah, anak yang taat, muslimah yang cekal dan ibu yang membimbing.

Semoga setiap wanita Islam menjadikan mereka sebagai idola dalam menjalani kehidupan sebagai muslimah sejati di dunia.

Tentang Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.