Mata zahir manusia yang jahil memang rabun jauh. Nampak sahaja orang yang bermasalah, lidah senang menghukumnya sebagai jahat, tidak soleh dan sebagainya.

Nampak sahaja seorang yang tidak menutup aurat, lidah terus memaculkan hukuman “dasar jahil.” Nampak saja orang yang tidak cukup Islamnya, hati seakan menjadi tuhan menghukum “ini dasar ahli neraka.”

Itulah sifat gopoh manusia termasuk saya sendiri. Pastinya semua yang bermasalah di luar sana adalah manusia yang mahukan kebaikan tetapi tidak berpeluang.

Aku mohon ampunan dari-Mu Ya Allah atas kekuranganku ini. Malam ini ketika mengajar di Masjid, hati saya diketuk deras oleh kisah dari surah al-Nisa’ ini.

Kisahnya, pada suatu hari seorang lelaki dari Bani Sulaym yang membawa kambing biri-birinya melintas di hadapan sekumpulan sahabat nabi. Lelaki tersebut menyapa mereka dengan ucapan salam. Sebahagian sahabat lalu berkata:

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

“Salamnya itu hanya helah untuk mengelakkan ancaman dari kita.”

Lantas mereka membunuh lelaki tersebut dan merampas ternakannya. Berikutan tindakan itu, Allah menegur mereka dengan penurunan ayat;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا ضَرَبْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَبَيَّنُوا وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَى إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا تَبْتَغُونَ عَرَضَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فَعِنْدَ اللَّهِ مَغَانِمُ كَثِيرَةٌ كَذَلِكَ كُنْتُمْ مِنْ قَبْلُ فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ فَتَبَيَّنُوا إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keislaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah syahadat), lalu allah mengurniakan nikmatnya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan. Surah al-Nisa’ 4:94

Malang memang tidak berbau. Hanya kerana sangkaan kosong, nyawa seorang Muslim tercabut di tangan para sahabat R.A. Pun begitu, para sahabat yang mulia tidak boleh disalahkan secara tuntas kerana zaman mereka adalah zaman genting dan zaman darurat.

Api perang memang selalu menyala-nyala. Tidak cekap mengelak pasti terus disambar, pasti melecur terkena bahangnya. Musuh tradisi yang berpanji Musyrikin Quraysh senantiasa mengintai dari berbagai sudut.

Pantang lepa, pasti tusukan pedang atau lontaran panah mereka segera mengambil tempat. Zaman ini juga orang munafiq muncul dalam diam dan tersusun menjadi perisik dalaman Yahudi dan musuh di Mekah.

Ada 2 inti utama penting yang dipelajari dari kisah ini:

#1 – Umat Islam Tidak Harus Gelojoh Dalam Bertindak

Sebarang keputusan mesti diteliti dibimbangi ada yang menjadi mangsa kekeliruan. Akibatnya sesalan selepas salah bertindak tidak dapat diperbaiki lagi. Dalam ayat lain Allah menegaskan perlunya ketelitian yang mendalam sebelum menerima sebarang berita:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – “Sehingga Menjadikan Kamu Menyesali Apa Yang Kamu Telah Lakukan” Surah al-Hujurat 49:6

#2- Umat Islam Perlu Memahami Masalah Orang Lain

Lidah dan hati jangan mudah menyangka buruk pada seseorang kerana setiap orang ada masalah tersendiri. Dalam kes pembunuhan di atas, boleh jadi lelaki itu (mangsa bunuh) sudah sekian lama merahsiakan Islamnya kerana takut ancaman kaumnya yang sangat memusuhi Islam.

Setelah dia bertemu saudara seislam seperti para sahabat RA, kegembiraannya tidak dapat dibendung lagi lantas segera disapa dengan salam penuh takzim. Malangnya kamu pula berburuk sangka dan membunuhnya.

Keadaannya yang tersepit dalam kaumnya yang masih kafir, sama halnya dengan keadaan kamu dahulu tersepit di celah kekejaman Musyrikin Quraysh. Oleh itu, cubalah berada dalam kasutnya sebelum bertindak.

Semoga ketelitian kita sebelum bertindak menjadi SOP Islamik (Standard Operation Procedure) yang diamalkan secara berterusan sehingga akhir hayat.

Tambahan lagi pada zaman moden serba mencabar ketika fitnah dan berita palsu mudah tersebar hanya dengan sentuhan jari.

Tentang Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.