Gaya Hidup

Episod Kehidupan Yang Menakutkan Di Ambang Akhir Zaman

Oleh Fazli Abdullah  •  24 Apr 2018  •  5 min baca

Pernahkah kita terfikir sejenak? Keadaan dan alur cerita pada zaman kini? Suasananya berbeza dan tidak seperti dulu bukan?

Pembunuhan! Ia semakin menjadi-menjadi. Fitnah pula berleluasa hingga meresahkan hati. Benar dikata salah. Salah pula disokong dan diterima baik.

Itulah hakikat dunia yang semakin tua dan di hujung usia. Ia tidaklah seindah dulu dan tidak sedamai yang disangka.

Artikel kali ini mengupas episod akhir zaman yang membuatkan kita terpana seketika. Benarkah ini akan berlaku? Ya! Kini kita sedang hadapinya. Setengahnya, mungkin ia akan muncul tidak lama lagi.

#1 – Agama Islam Dijual

Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Akan keluar pada akhir zaman orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Di depan manusia dia memakai kulit kambing, menunjukkan kelembutan dan kata-kata mereka lebih manis daripada gula walhal hati mereka hati serigala.”

Lalu Allah berfirman;

“Apakah kerana kelembutan-Ku kamu menjadi tidak takut, berani mempergunakan-Ku? Demi zat-Ku, aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dalam kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim pun akan menjadi bingung!”Riwayat al-Tirmizi

Agama dijual pada akhir zaman. Fenomena ini menjadi satu perkara yang menakutkan pada umat Islam khususnya.

Contoh agama dijual, agama dijadikan satu produk. Sampaikan harga produk tersebut melambung tinggi kerana produk ‘islamik’.

Agama sudah menjadi satu jalan untuk mendapatkan duit kepada golongan tersebut. Tidak ada niat kerana Allah tetapi kepentingan dunia menjadi matlamatnya.

Ketika itu, agama bukan membuat sesetengah golongan itu mendekatkan diri kepada Allah tetapi ia menjadikan mereka lebih jauh daripada Allah kerana mengejar dunia dengan bertopengkan ‘agama’.

Semoga kita semua terhindar daripada termasuk dalam golongan yang disebut oleh Nabi SAW di dalam hadis di atas.

#2 – Fitnah Berleluasa

Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Sungguh sebelum kiamat nanti akan terjadi pelbagai fitnah bak malam yang gelap gelita, sampaikan ada orang yang pada waktu siang dia Mukmin, petang nanti dia menjadi kafir. Atau pada waktu petang dia Mukmin, keesokan paginya dia menjadi kafir. Pada masa itu, orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri. Orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berlari. Maka ketika itu, patahkanlah busur-busur kamu, putuskanlah tali-tali kamu, pukullah pedang pada batu. Bagaimanapun sekiranya fitnah itu menimpa juga atas sesiapa antara kamu, maka bersikaplah seperti anak Adam yang baik itu (Habil).” Riwayat Abu Dawud

Fitnah di akhir zaman semakin menjadi-jadi dan boleh menyebabkan pertelingkahan sesama saudara seagama sendiri.

Bahkan, sampai sanggup berbunuhan dan menghalalkan darah sesama sendiri kerana fitnah yang membuak-buak pada ketika itu.

Islam mengajar kita supaya siasat dan semak terlebih dahulu sesuatu berita yang kita baru terima. Jangan mudah percaya, kita tidak tahu ia sahih ataupun cerita yang direka-reka.

Memandangkan kita berada di zaman yang serba canggih dan segalanya hanya di hujung jari, kita seharusnya bijak menggunakan teknologi ini dengan berlandaskan syariat. Jangan sebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya.

Ingat! Fitnah termasuk dalam dosa-dosa besar. Jangan memandang remeh kerana ia mengundang murka Allah. Jauhilah ia!

#3 – Orang Islam Meniru Orang Kafir

Rasulullah SAW bersabda;

“Sungguh kalian akan meniru perilaku orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, kamu semua pasti tetap mengikutnya.” Kami bertanya, “ Wahai Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Siapa lagi jikalau bukan mereka.” Riwayat Imam Ahmad

Realiti akhir zaman yang membimbangkan kita semua adalah orang Islam tidak berbangga dengan keislamannya lagi. Mereka lebih suka meniru cara orang kafir (budaya negatif). Perkara ini lebih menakutkan apabila orang Islam lebih berbangga meniru budaya orang kafir.

Cara bercakap, cara berpakaian, dan tingkah laku turut mengambil budaya daripada orang kafir. Identiti sebagai orang Islam kian hilang dan pudar.

Hanya nama yang masih dikekalkan “keislamannya”, manakala yang lain sudah terhapus dan dicorak dengan budaya barat.

Rasulullah menyebut ‘sekiranya mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, kamu pasti tetap mengikutnya’. Ini menunjukkan sikap orang Islam yang bertaqlid buta. Ikut walaupun ia tidak diterima dek akal yang waras atau membahayakan diri dan agamanya. Nauzubillah minzalik.

#4 – Tidak Mahu Menjadi Imam Solat Jemaah

Salamah binti Al-Hur pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya, termasuk dalam tanda-tanda kiamat adalah ahli masjid saling menolak bagi menjadi imam kerana tidak ada sesiapa yang mengimamkan mereka.”Riwayat Imam Abu Daud

Di akhir zaman, orang ramai sudah tidak mahu menjadi imam solat berjemaah. Mungkin kerana tidak layak untuk menjadi imam oleh disebabkan banyak melakukan dosa, atau kerana kejahilan diri yang tidak memahami hukum hakam Islam, kelemahan dalam bahasa al-Quran dan sebab-sebab tertentu.

Kejadian ini juga menakutkan kita semua. Sampaikan solat berjemaah, masing-masing tidak mahu menjadi imam.

Hadis ini juga memberi peringatan kepada kita bahawa akan datang zamannya, kejahilan menguasai manusia hinggakan ilmu sudah tidak dipelajari dan ditinggal sepi.

#5 – Inginkan Kematian Daripada Hidup Di Dunia

Abu Hurairah R.A mendengar, Rasulullah SAW bersabda;

“Tidak akan datang kiamat sehingga seseorang melewati kubur orang lain lalu berkata, ‘Alangkah baiknya jikalau aku yang menghuninya’.Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim

Antara kejadian yang menakutkan kita ketika masa ingin menjelang hari kiamat adalah manusia inginkan kematian daripada terus menjalani kehidupan seharian.

Apabila melalui kawasan perkuburan atau seseorang yang berada di atas kubur, dia akan berkata;

“Sekiranya aku berada di dalam kubur ini, aku pasti lebih bahagia.”

Hal ini berlaku kerana, manusia tidak sanggup menghadapi kehidupan yang serba mencabar. Penuh ujian. Penuh dengan fitnah.

Kehidupan yang sering ditimpa masalah. Tekanan hidup yang membuatkan fikiran inginkan kematian.

Syeikh Yusuf bin Abdillah al-Wabil berkata dalam ‘Asyrat al-Sa’ah;

“Mengharapkan kematian terjadi kerana banyaknya fitnah, berubahnya keadaan dan ketika ajaran-ajaran syariat banyak diselewengkan.”

Kesimpulan

Sebagai umat Islam, kita wajib beriman pada kedatangan hari akhirat. Ia termasuk dalam rukun iman.

Dunia yang sedang kita kecapi pasti akan berakhir. Itu kebenarannya.

Selagi roh di jasad. Selagi kiamat belum menghampiri, kita seharusnya memperbanyakkan amalan. Persiapkan bekalan sebelum terlambat. Setiap sabdaan Nabi bukan satu dusta. Ia datang dari Allah yang Esa.

Sekarang tidak ada masa untuk tangguhkan taubat dan berdoalah memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. Tazkirah.net adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami