Jika anda bercadang untuk mengembara ke negara yang anda tidak pasti sumber airnya bersih seperti Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam, India dan Indonesia, jangan lupa suntikan vaksin Hepatitis A jika anda tidak mahu berisiko jatuh sakit! Doktor pakar ini berkongsi kisahnya.

Dua minggu sebelum Syawal baru-baru ini, Dr.Mohamad Salleh Abdul Aziz, Pakar Perunding Pembedahan Am dari Hospital Islam Azzahrah telah disahkan menghidap Hepatitis A.

“Saya mengalami demam panas yang tinggi sehingga mencapai 41 darjah celcius, makan ubat demam pun tidak akan turun selain sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah hingga mata putihnya bertukar menjadi kuning . Dalam perubatan, ia dikenali sebagai jaundis.”

“Dengan rawatan, demam turun dalam masa empat hingga kelima hari, namun untuk penyakit ini hilang dari tubuh adalah selama enam bulan namun kesan klinikal dirasai sebulan lamanya.”

“Dalam tempoh sebulan itu, saya masih tiada selera makan dan mengalami cirit-birit setiap kali makan hingga kehilangan air yang banyak dan membuatkan berat badan saya turun sehingga 10 kilogram,” ujarnya.

Air Tidak Bersih

Sebelum itu, pakar ini telah menjayakan Misi Kemanusiaan di Kemboja iaitu ‘Kembara Amal Sunathon Kemboja 2017’ selama lima hari bagi melaksanakan misi berkhatan besama penduduk Islam di sana. Antara yang turut serta ialah polis, bomba, guru dan ustaz.

“Apa yang boleh saya katakan, kebersihan di sana adalah kurang memuaskan. Di sana, kami tinggal di kawasan kampung iaitu empat jam dari bandar di mana bekalan elektrik juga sukar.”

“Satu rumah cuma mempunyai satu lampu sahaja, tiada peti ais dan lain-lain kemudahan. Bekalan air dari telaga, air mineral juga ada namun puncanya sama sahaja.”

“Suatu hari saya dihidangkan dengan ikan toman bakar di mana ia dihidangkan dengan sisiknya sekali. Boleh jadi ikan tersebut dari punca kurang bersih yang membuatkan saya dijangkiti penyakit ini.”

“Para pelancong sama ada pergi bekerja ataupun bercuti sering menganggap remeh penyakit di negeri orang, padahal risikonya sangat besar.”

“Jika anda bercadang untuk mengunjungi negara yang disebutkan tadi, amat digalakkan untuk mengambil vaksin Hepatitis A ini.”

“Sekurang-kurangnya kita boleh bersedia dengan cara yang mampu mengurangkan risiko dijangkiti penyakit. Ia boleh dilakukan seminggu sebelum bertolak sama ada di klinik, hospital kerajaan mahupun swasta dan vaksin ini mampu bertahan sehingga tiga tahun,” tegasnya.

Sumber: http://www.hiazhealth.com/dijangkiti-hepatitis-a-pesan-pakar-ini-pada-semua-traveller/

Tentang Hiaz Health

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.