Gaya Hidup

Dakwah Adalah Tanggungjawab Dan Membawa Ke Arah Perubahan

Oleh Abdullah Bukhari  •  18 Feb 2018  •  4 min baca

“Buat apa kamu sibuk memberikan mereka peringatan? Tegur atau abai nampaknya sama sahaja untuk mereka. Kegilaan kepada timbunan ikan sudah menggelapkan mata mereka.”

Kaki ibadat dari kalangan Bani Isra’il yang mendiami kampung nelayan ini begitu yakin dengan takdir kemusnahan teman mereka yang sudah melanggar arahan Allah.

Bani Isra’il diarahkan beribadat pada hari sabtu. Kerja mereka adalah menangkap ikan. Pada hari biasa ikan tidak banyak timbul.

Allah lantas menguji iman mereka apabila ikan timbul secara luar biasa pada hari larangan. Kegilaan kepada untung melampau menyebabkan segelintir penghuni kampung ini melanggar perintah Allah dan bersungguh-sunguh menangkap ikan pada hari tersebut.

Firman Allah S.W.T:

وَاسْأَلْهُمْ عَنِ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَتْ حَاضِرَةَ الْبَحْرِ إِذْ يَعْدُونَ فِي السَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعًا وَيَوْمَ لَا يَسْبِتُونَ لَا تَأْتِيهِمْ كَذَلِكَ نَبْلُوهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ
Dan tanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari lain, ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik. Surah al-A’raf 7:163

Penduduk kampung nelayan ini akhirnya berpecah kepada 3 kumpulan. Satunya menggila menangkap ikan pada hari Sabtu.

Godaan ikan pada hari Sabtu menyebabkan mereka tidak lagi mempedulikan ibadat yang diarahkan Allah. Inilah sikap sesetengah Muslim di Malaysia sekarang, kegilaan mencari dunia menyebabkan mereka lupa menyembah Allah yang memiliki dunia ini.

Golongan kedua tegak berdiri atas arahan ibadat dan tidak berdiam diri melihat kemungkaran teman mereka yang menggila mencari ikan pada hari Sabtu.

Sikap ini melambangkan iman mereka kepada Allah dan menjadi kebanggaan umat terbaik yang dinobatkan kepada kita umat Islam:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang yang fasik. Surah Ali ‘Imran 3:110

Golongan ketiga agak mementingkan diri sendiri dan hanya tahu beribadat. Kemungkaran yang berlaku di depan mata tidak dipedulikan.

Asal mereka dapat beribadat kepada Allah sudah cukup. Tiada kepentingan dakwah bagi mereka. Sikap mereka disebut Allah sebagai pengajaran penting bagi kita semua:

وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا قَالُوا مَعْذِرَةً إِلَى رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa” Surah al-A’raf 7:164

Jawapan golongan kedua dalam ayat ini seharusnya menjadi pegangan kita semua. Dakwah bukan tugasan sesetengah pihak yang dibayar gaji sahaja. Ia menjadi tugas semua Muslim yang mahukan dunia aman dalam acuan Allah.

Dakwah sangat luas ruang lingkupnya. Ia boleh disampaikan oleh siapa sahaja dalam kapasiti mereka tersendiri.

Soal seruan dakwah kita berjaya meresap ke dalam hati sasaran dakwah atau tidak, itu urusan Allah. Allah melihat usaha kita dan bukannya keputusan akhir kerana keputusan dalam bentuk hidayah adalah milik mutlak Allah.

Seruan dakwah kepada yang melakukan dosa mempunyai 2 perkara yang sangat penting iaitu;
#1- Pelepas tanggung jawab ketika disoal di akhirat kelak
#2- Harapan perubahan sasaran dakwah. Jika seorang dua dapat diselamatkan dari musibah kesesatan hasil dari teguran yang dibuat, itu sudah cukup baik. Itulah sebabnya lafaz akhir yang disebut Allah pada ayat di atas adalah “dan mudah-mudahan mereka bertaqwa.”

Dalam bahasa Arab perkataan – لعل – mudah-mudahan dikenali sebagai – أداة الترجي – perkataan yang membawa harapan dan mampu dicapai.

Mengapa Allah Yang Maha Bijaksana menggunakan lafaz ini? Tidak lain bagi menujukkan kepada kita semua bahawa seruan dakwah yang dibuat mampu mengubah seseorang jika benar rukun dan caranya.

Oleh itu, jangan berputus asa dalam dakwah. Seru dan ajaklah manusia kepada kebaikan. Kelak Allah akan tanya “apa yang kamu buat” dan bukannya “berapa ramai yang berubah hasil seruan kamu?”

Artikel Berkaitan:
6 Panduan Berdakwah Kepada Rakan Bukan Islam
Nouman Ali Khan: Pendakwah Yang Berjaya Mencuri Perhatian UmmahTimbulnya Rasa Cinta Dalam Berdakwah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami