Remaja

Cinta Tidak Lulus Syariah

Oleh Abdullah Bukhari  •  5 Mar 2018  •  5 min baca

Apabila menjelang 14 Februari setiap tahun, Aaron tidak pernah lupa membeli bunga ros untuk isterinya. Itu tanda cintanya yang tulus;

“Saya cintakan awak sepenuh hati dan rela hidup mati bersama awak.”

Sedar atau tidak, cinta sejati di dunia antara suami isteri tidak semestinya menjadi cinta abadi sehingga ke syurga.

Cinta seorang suami kepada isterinya tidak hanya terbatas kepada kilauan berlian, emas atau haruman kuntum bunga, tetapi yang jauh lebih penting adalah penjagaan keluarga dari sambaran api neraka. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. Surah al-Tahrim 66:6

Malang sekali bagi suami isteri yang romantik di dunia tetapi terpisah jauh menjadi musuh di akhirat kelak:

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
Pada hari itu sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). Surah al-Zukhruf 43:67

Juga amaran Allah dalam ayat ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ وَإِنْ تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri dan anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah al-Taghabun 64:14

Percintaan palsu ini pernah ditegaskan oleh Nabi Ibrahim A.S kepada kaumnya dahulu sebagaimana firman Allah:

وَقَالَ إِنَّمَا اتَّخَذْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا مَوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ ثُمَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُ بَعْضُكُمْ بِبَعْضٍ وَيَلْعَنُ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَمَأْوَاكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ نَاصِرِينَ
Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): “Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu dalam kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan” Surah al-‘Ankabut 29:25

Jika benar mencintai pasangan anda, maka senantiasalah mendidik atau mengingatkan antara satu sama lain dengan kehendak Allah. Belajarlah dari kisah Abdullah bin Mas’ud dan isterinya Zaynab R.A:

فَدَخَلَ فَجَلَسَ إِلَى جَنْبِي فَرَأَى فِي عُنُقِي خَيْطًا قَالَ مَا هَذَا الْخَيْطُ قَالَتْ قُلْتُ خَيْطٌ أُرْقِيَ لِي فِيهِ قَالَتْ فَأَخَذَهُ فَقَطَعَهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ آلَ عَبْدِ اللَّهِ لَأَغْنِيَاءُ عَنْ الشِّرْكِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
(Zaynab isteri kepada Abdullah bin Mas’ud menceritakan): “Pada suatu hari Abdullah bin Mas’ud masuk bertemuku lalu duduk di sebelahku. Beliau mendapati di leherku terikat seutas benang (azimat).” Beliau bertanya: “Benang apa yg terikat di lehermu?” Zaynab menjawab: “Ini adalah benang jampi untuk mengubati sakitku.” Abdullah bin Mas’ud kemudiannya mencabut dan memotong benang itu seraya berkata: “sesungguhnya keluarga Abdullah Ibn Mas’ud tidak memerlukan syirik” kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jampi (yang syirik), tangkal dan azimat tergolong dari amalan syirik kepada Allah” Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad

Jika boleh, kekalkan cinta suami isteri dan anak-anak sehingga ke syurga dengan menepati piawaian cinta yang digariskan Allah melalui agama. Firman Allah:

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; setiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya. Surah al-Tur 52:21

Itu bicara cinta halal hasil ikatan yang diiktiraf agama. Jika cinta halal pun masih belum menjamin bahagia di dunia dan di akhirat, bayangkan bagaimana pula halnya cinta gelap tidak lulus syariah yang banyak berlaku dalam masyarakat.

Tambah parah jika cinta hitam sebegini membawa kepada ketelanjuran yang dimurkai Allah. Pun begitu, pintu pulang senantiasa terbuka luas untuk manusia yang bersalah.

Rasa cinta lelaki perempuan memang sukar dibendung kerana ia adalah tuntutan fitrah. Apa yang penting adalah bagaimana Islam melorongkan cinta ini menuju laluan yang tepat iaitu perkahwinan.

Islam tidak membenarkan rasa fitrah ini dibiarkan bertenggek pada dahan rapuh yang tidak mampu menanggung si monyet bagi masa yang lama. Itulah hakikat percintaan tidak lulus syariah.

Jika rasa ini begitu kuat mendorong seseorang Muslim, Islam mengajar kita agar memagarnya dengan pagar puasa:

مَنْ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Ertinya: Sesiapa yang mampu berkahwin, maka hendaklah dia segera berkahwin kerana ia mampu menundukkan pandangan (dari memandang yang haram) dan menjaga kemaluan (dari melakukan zina). Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia mampu menjinakkan nafsu. Sahih al-Bukhari

Selain itu, Allah juga mengajar kita agar menjauhi dosa zina yang biasanya berputik daripada kosmetik cinta terlarang sebegini:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Dan “janganlah kamu dekati zina,” sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Surah al-Isra’ 17:32

Dalam bahasa Arab, tegahan mendekati sesuatu perkara membawa maksud larangan berganda dari melakukannya (Tafsir al-Alusi).

Allah memang mengetahui kelemahan manusia dalam berhadapan dengan medan magnetik ujian cinta tidak lulus syariah.

Oleh itu Dia mengingatkan kita agar langsung menjauhi semua laluan yang membawa kepada zina. Sesiapa yang masuk ke dalam lingkungan medan magnetik godaannya sukar lolos dan mudah tewas.

Jika orang jahil bersungguh meraikan cinta pada hari Valentine sama ada dalam hubungan halal suami isteri atau cinta tidak lulus syariah atas nama kekasih, usahlah kita turut sama terpalit dengan musibah kejahilan mereka.

Tanpa adanya orang Barat memperkenalkan hari cinta, Allah sudah lama mewartakan cinta sejati dalam kerangka Islam.

Bahkan Allah yang bernama al-Rahim iaitu Yang Maha Penyayang lebih mengetahui cinta yang bagaimana diperlukan oleh makhluk ciptaanNya ini.

Cinta yang dilandaskan semata-mata atas gelora nafsu adalah produk Iblis yang sudah lama bersumpah mahu merosakkan manusia. Lihat sahaja berapa ramai manusia yang sesat akal dan imannya kerana produk Iblis ini.

Berapa ramai bayi tidak sah taraf lahir hasil dari cinta songsang ini. Berapa ramai bayi dicampak ke dalam tong sampah kerana ketelanjuran mangsa produk Iblis ini? Berapa banyak kes kita dengar lelaki membunuh wanita kerana amarah cemburu.

Tidak kurang juga rumah tangga yang runtuh kerana usikan cinta terlarang orang ketiga dan sebagainya.

Oleh itu, jadilah manusia yang bijak dengan meraikanlah cinta anjuran Allah dalam kerangka Islam.

Bercintalah dalam batasan Allah nescaya cinta kita berbalas dengan redhaNya di dunia dan di akhirat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami