Inspirasi

Berjuanglah Di Lapangan Masyarakat

Oleh Syafiq Salim  •  9 Apr 2018  •  6 min baca

Kewujudan kita sebagai manusia di dunia ini bukanlah hidup berseorangan sahaja tetapi bersama kita masyarakat yang mempunyai latarbelakang yang pelbagai.

Kepelbagaian yang ada perlu untuk kita memahaminya supaya kita tahu apa yang perlu kita lakukan sebagai sebahagian dari masyarakat itu sendiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuaanNya” Surah al-Hujurat:13

Suatu kemestian dalam hidup kita untuk menjadi manusia yang berjuang serta memberi manfaat kepada orang lain kerana itu adalah sifat yang baik lahir dari jiwa yang halus bagi sesiapa yang memahami keharusan itu.

Dan itulah cita-cita yang semestinya bagi setiap insan supaya kita menjadi hambaNya yang terbaik. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain” Riwayat Ahmad

Itulah kemuliaan sebenar yang mana kebaikan yang kita lakukan itu hanya mengharapkan Reda Tuhan kepada kita sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan Ansar kepada Mujahirin. Firman Allah SWT:

“…Mereka (orang Ansar) juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu (Mujahirin) lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat….” Surah Al-Hasyr:9

Mereka adalah golongan yang Allah SWT reda dan keredaan yang mereka perolehi haruslah kita cari dan berusaha mencapainya.

Oleh itu, kita haruslah menjadi hamba yang sentiasa berfikir untuk menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.

Cabaran

Adakah sukar untuk kita berjuang dalam masyarakat serta memberi manfaat kepada mereka?. Sudah pasti kerana itu Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” Surah al-Asr :2-3

Ayat ini menyebut tentang sifat sabar, jika kita ingin masuk berjuang dalam masyarakat hendaklah kita meletakkan kesabaran di hadapan.

Manusia yang tidak rugi di dunia ini adalah manusia yang sentiasa berusaha membetulkan masyarakat dengan kalamnya yang baik.

Walaupun hakikatnya ia adalah perbuatan yang susah untuk dilakukan tetapi ia adalah tuntutan agama kepada insan.

Oleh itu, hendaklah kita bersabar. Cuba kita lihat kata-kata Luqman kepada anak kesayangannya tentang hal ini yang mana ia dirakamkan dalam al-Quran;

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya” Surah Luqman:17

Memberi sesuatu yang disukai oleh manusia itu biasa dan tidaklah susah. Tetapi apabila kita cuba memberi nasihat yang tidak disukai oleh orang pasti ada cabaran dan dugaan yang terpaksa kita hadapi.

Teringat kisah Kyai Haji Ahmad Dahlan pengasas Muhammadiyyah pada tahun 1912 yang berjuang cuba membetulkan banyak amalan yang bertentangan dengan Islam berlaku dalam masyarakat Indonesia ketika itu.

Segala kepayahan yang beliau hadapi sangat hebat tetapi kebenaran yang mereka perjuangkan akhirnya hari ini kita nikmati dan ia merupakan satu rahmat yang besar kepada kita hari ini.

Kebaikan Yang Dikembalikan

Setiap kebaikan yang kita lakukan kepada manusia lain pasti Allah SWT akan membalasnya.

Bahkan jika kita perhatikan bilamana kita membantu orang lain sebenarnya manfaat itu akan kita nikmati dan rasai kembali. Jika tidak hari ini pasti akan datang. Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya.” Muttafaq ‘alaih

Semakin besar manfaat yang diberikan, semakin besar juga kesannya kepada kita. Dan tidaklah betul jika manfaat itu hanya dipandang secara kuantiti sahaja.

Boleh jadi orang yang miskin itu memberi sesuatu yang kecil tetapi nilainya besar berbanding orang yang kaya yang memberi.

Jadi janganlah berhenti memberi kebaikan kepada manusia lain walaupun sepotong nasihat sesungguhnya kebaikan itu akan dikembalikan kepada kita kelak.

Pada akhirnya kita akan dapati kebaikan yang kita lakukan itu adalah untuk diri kita sendiri juga. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri” Surah Al-Isra:7

Itulah hakikatnya bagi insan yang memerhatidan berfikir.

Dicintai Oleh Allah SWT

Kata Dr. Aidh Al-Qarni apabila beliau mengajak manusia berfikir betapa besarnya rahmat Tuhan dengan kalamnya;

“Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah telah memasukkan seorang wanita penzina dari kalangan Bani Israil ke dalam syurga, hanya kerana wanita itu telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Maka bagaimana dengan orang yang memberi makan dan memberi minum, menolong orang yang kesempitan dan membantu orang yang dalam kesusahan?”

Subhanallah, bagaimana seorang manusia yang mungkin dipandang hina oleh kita kerana melakukan hanya kebaikan kepada anjing tetapi akhirnya memprolehi syurga Allah SWT.

Bayangkan jika kita melakukan kebaikan kepada manusia yang lain dengan niat yang ikhlas. Sudah pasti Allah SWT akan memasukkan kita di dalam syurgaNya. Dari Ibnu ‘Umar, Rasulullah SAW bersabda;

“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Ada pun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini (masjid Nabawi) selama sebulan penuh.” Riwayat Thabrani di dalam Al Mu’jam Al Kabir

Terdapat kisah yang menarik yang berlaku pada zaman Abdullah bin Mubarak. Beliau pernah bermimpi dikhabarkan pada satu tahun tersebut seluruh jemaah haji tidak diterima ibadatnya kecuali seorang iaitu Ali bin Muwaffaq seorang tukang kasut.

Beliau sebenarnya tidak dapat menunaikan haji tetapi berkat daripada Allah, akhirnya Allah SWT telah menerima seluruh ibadah haji yang dilakukan oleh jemaah pada tahun itu.

Ini kerana beliau telah membantu satu keluarga yang dalam kelaparan yang amat sangat sehingga bangkai keldai dijadikan makanan.

Akhirnya Ali bin Muwaffaq telah mengunakan duit yang telah dikumpulkan sekian lama untuk menunaikan haji demi membantu keluarga itu.

Sehinggakan perbuatan beliau menjadi perbualan para malaikat dek kerana kebaikan yang beliau lakukan. Semoga Allah SWT merahmati beliau dan kita mendapat manfaat daripada kisahnya yang agung.

Kebahagiaan Kehidupan Insan

Sesungguhnya hidup ini perlu satu sifat mujahadah untuk membantu sesama manusia. Melihat orang sekeliling kita mendapat manfaat daripada kita tentunya akan lahir satu rasa yang sukar untuk digambarkan.

Ini kerana melepaskan kesusahan serta membuatkan seseorang tersenyum, tentunya akan mengembirakan kita walaupun harta serta tenaga kita habis digunakan. Benarlah kata Aristo:

“Jika kita mahu memikirkan kegembiraan untuk orang lain tentu lebih dahulu kegembiraan itu akan datang kepada kita”

Kegembiraan itu bukanlah hanya berlegar apabila membantu orang yang susah. Semestinya semakin besar perjuangan kita maka semakin besarlah halangan yang bakal kita hadapi.

Tetapi apabila segala usaha kita lakukan mengeluarkan hasilnya maka semakin besarlah juga kegembiraan kita.

Masyarakat adalah perkara yang perlu kita tempuhi, sama ada kita sanggup ataupun tidak kita telah pun hidup dalam masyarakat.

Adapun kita sebagai sebahagia masyarakat perlulah bantu-membantu agar kesusahan serta kemanisan perjuangan itu dapat dikongsi bersama dan itulah antara kebahagian insan. Benarlah Kata Buya Hamka dalam karyanya Peribadi tentang hakikat ini;

“Jika kita fikirkan kesusahan orang lain, tentu difikirkan kesusahan kita. Jika dia mengetahui bahawa kita bersusah hati kerana kesungguhannya, ringanlah bebannya dan terubatilah kesusahan itu. Jika tidak sanggup seperti itu, hiduplah sendiri”

Mahu atau tidak kita ini sudah terlanjur hidup dalam masyarakat. Oleh itu berjuanglah!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami