Kehidupan pada zaman sekarang ternyata tidak mudah bagi semua orang. Tekanan dalam hidup yang datang dari kiri dan kanan, depan dan belakang adakalanya menyesakkan dada.

Berapa ramai yang berjaya menikmati kehidupan ini dan berapa ramai pula yang gagal lalu memilih untuk bermusuh dengan hidup ini.

Selain berlumba-lumba untuk memperbanyakkan amalan bertemu Tuhan, kita juga seakan-akan berlumba-lumba untuk menguasai dan berjalan seiringan dengan kecanggihan teknologi era ini. Penat rasanya.

Kita pernah berada dalam situasi di mana kita merasa getir ketika berdepan dengan ujian. Merasa sedih apabila apa yang kita usahakan tidak menjadi seperti harapan dan ekspektasi kita.

Merasa lelah seolah-olah kaki ini tiada arah untuk melangkah, tiada kekuatan untuk berdiri, malahan! Kita merasakan bahawa dunia ini suram dan sepi walau dipenuhi oleh jutaan manusia.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Paling teruk, sampai satu titik dalam hidup kita, kita mungkin pernah merasakan bahawa kita ini kalau tiada di dunia pun, tidak apa-apa. Kerana apa? Kerana kita merasakan bahawa kita tidak ada fungsinya dalam hidup.

Dunia Tempat Berpenat Lelah

Betapa sebenarnya walau apa sahaja lapangan akademik atau pekerjaan yang kita sedang berada, pastinya setiap satu dari kita akan berhadapan dengan cabaran dan ujian yang berbeza.

Betul, kan? Lelah jasad, lelah jiwa itu menjadi teman akrab kita dalam kehidupan. Tidak boleh tidak, pasti dua perkara itu ada dalam hidup kita.

Ketika mana kita bersungguh melakukan sepenuh hati dalam hal pekerjaan yang kita kerjakan, tetapi hasilnya tidak seperti yang kita jangkakan, itu adalah sesuatu yang menjentik hati.

Ketika terasa bahawa kita masih belum menjadi seseorang yang boleh memberikan manfaat kepada orang lain, kita terasa bahawa apa gunanya kita sehingga umur yang sekarang ini? Kenapa orang lain boleh, tetapi kita tidak boleh?

Hidup di dunia memang penat. Pun begitu, jangan kita tidak adil terhadap perjalanan dan takdir Allah.

Di dunia ini jugalah kita merasa bahagia, kita merasa perasaan yang indah apabila berjaya, kita me-rasa puas hati apabila mencapai apa yang kita inginkan. Betul, bukan? Ha, sila angguk kepala masing-masing!

Namun bila hadirnya ujian dari Allah S.W.T, ingatlah semua itu tidak kekal. Bahkan, bersilih ganti hadirnya dalam hidup sehari-hari kita.

Kerana Allah mahu mentarbiyah kita, agar tidak terlalu alpa dan selesa berada dalam satu-satu situasi. Maka Dia hadirkan semuanya bersilih ganti. Senyum.

Jangan Berhenti Berjuang Dalam Hidup

“There’s a time that I just want to stop.”

Siapa pernah merasa seinci sahaja lagi mahu berhenti dari perjuangan atau dalam hal-hal yang sedang diusahakan? Jangan rasa terhina, teman.

Ramai orang pernah merasakan hal tersebut. Kita ini manusia yang tidak kebal dirinya, apatah lagi hatinya. Memang sebagai manusia begitulah lumrahnya.

Namun, berbeza di antara kita semua adalah mereka yang berhenti dan mereka yang tidak berhenti. Kita semua faham, bukan? Walau adakalanya terasa berada dijalan mati, jangan terus mati akal kita.

Bila berhadapan dengan situasi yang sempit, katakan;

“Kesulitan yang aku rasai sekarang ini, saat ini, tidak akan selamanya. Bertenang wahai diriku, kau ada Allah!”

Percayalah, ini memberikan suatu rasa dalam jiwa kita. Kerana apa? Kerana iman dan keyakinan kepada Allah, adalah azimat kita.

Lihat aturan alam di sekeliling kita, tidakkah kita belajar sesuatu darinya? Sebagaimana terik mentari yang ada waktunya menyengat, akan menjadi teduhan bayangan yang melindungi.

Tidak dilupa hujan yang lebat, tidak selamanya berterusan. Malah, hadirnya membawa kedinginan dan rahmat yang menguntungkan manusia.

Ayuhlah, jangan terbawa-bawa dengan perasaan melemahkan diri sendiri dengan melebih-lebih.

Berehat Sebentar Refleksi Diri

Seiring dengan pertambahan usia, menandakan kita perlu berdikari dengan stabil. Maka, ertinya semakin banyak pula ujian yang telah dan bakal mendatang..

Saya juga adalah salah seorang seperti kalian, yang pernah dan akan berhadapan dengan ujian. Yang pernah hampir kehilangan pertimbangan.

Namun, kalaulah tidak kerana tarbiyah dari Allah S.W.T dan kawan-kawan yang sentiasa ada tidak lokek hatta dalam soal menasihati, maka pasti saya juga tidak melihat bahagia itu di mana.

Ramai dalam kalangan manusia apabila berhadapan dengan masalah, ada yang mengambil jalan yang singkat. Menamatkan riwayat kehidupan, yang pasti cara membunuh diri diharamkan Islam.

Malah ada juga yang bertindak untuk tenggelam sahaja dalam masalahnya. Mengikut arus masalah sehingga dia merasa dirinya sudah tiada harapan untuk apa-apa pun dalam kehidupan. Bukankah tindakan seperti itu satu kerugian? Sungguh.

Allah S.W.T mencipta banyak rasa dalam kehidupan kita. Salah satunya adalah, bahagia. Bahagia itu adalah milik semua orang dan satu hakikat. Untuk mendapatkan kebahagiaan, cubalah berdamai dengan pengalaman-pengalaman hidup dan berusahalah kawan untuk reda.

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah. Tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” Surah Yunus : 62

Kesimpulan

Seberat apa pun yang kita rasai dalam kehidupan, kepentingan untuk bertenang dan merasionalkan min-da adalah antara perkara yang terawal untuk kita perlu lakukan.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Merasai dalam jiwa bahawa kita sebenarnya tidak bersendirian dalam langkah kita. Allah sentiasa bersama kita teman.

Tersenyumlah kepada diri kita sendiri. Katakan kepada diri, kita akan berehat dan belajar untuk tenang. Ada pun soal masalah dan ujian hidup, semuanya akan berlalu.

Berehat sebentar akan menenangkan dirimu teman, sesekali tidak akan memberikan kerugian asalkan kamu akan bangkit kembali.

Tentang Suhana Amiril

Suhana Amiril

Merupakan graduan Syariah dan Undang-Undang. Mempunyai azam dan kesungguhan yang mendalam dalam bidang penulisan untuk mengunci dan menarik jiwa-jiwa manusia untuk sama-sama kembali kepada Yang Esa.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.