Gaya Hidup

Bahayanya Ancaman Liberalisme

Oleh Khafiz Bahari  •  6 Aug 2018  •  4 min baca

Kemunculan fahaman liberalisme bermula daripada falsafah politik barat yang tidak menginginkan agama dan dirasakan sebagai penghalang kepada tercapainya matlamat.

Liberalisme menolak tradisi pemikiran beku golongan Kristian pada zaman Renaisance, kemudian mencetuskan aliran liberalisasi agama atau aliran sekularisme sekitar abad ke 16 hingga ke 17. Itu sedikit latar belakang gambaran umum kemunculan liberalisme di Eropah.

Manakala di Malaysia, bibit aliran pergerakan faham liberalisme bermula daripada faktor pertembungan fahaman materialistik dan nilai agama di antara dua kelompok.

Kelompok pertama ialah mereka yang mahu membawa kemodenan melalui corak dan pemikiran barat dan kelompok ke dua mereka yang mahu mengekalkan ajaran Islam yang tulen. Dalam pada itu muncul tokoh-tokoh liberal dan berfikiran liberal menyemarakkan lagi fahaman liberalisme.

Pada asasnya golongan liberalis ialah golongan yang mendokong fahaman liberalisme yang berpaksikan kepada kebebasan, fahaman bahawa tiada kebenaran yang mutlak. Kebebasan berfikir tanpa berpaksikan kepada faham yang benar terhadap wahyu.

Golongan ini menolak Al-Quran sebagai rujukan mutlak. Dengan menggunakan akal fikiran yang dianggap wahyu, teks Al-Quran sewenang-wenangnya ditafsir mengikut akal dan kesesuaian zaman.

Paling ketara ketika era itu, faham liberalisme seringkali meracun sendi faham agama pada perkara asas iaitu ia menyerang dengan menimbulkan keraguan-keraguan kepada nas-nas Al-Quran serta menolak hadis sebagai sumber dalil ke dua.

Tujuannya untuk melumpuhkan kefahaman Islam yang fundamental. Antara cara mereka ialah menyeru supaya ayat-ayat hukum Al-Quran ditafsir semula, mendakwa mereka sebagai ‘Islam moderate’ dan melabel Islam yang bukan di bawa pihak mereka sebagai ketinggalan dan jumud.

Sehingga kini golongan liberalis sebenarnya tidak tidur lena, mereka masih terus berjaga bagi meneruskan agenda mereka untuk memastikan matlamat mereka tercapai.

Agak membimbangkan, apabila ada desas-desus atau teori yang mengatakan bahawa mereka mempunyai cita-cita besar mereka mahu menjadikan negara ini sebagai sebuah negara sekular-liberalis. Usaha pemusnahan itu dirancang itu terbahagi kepada beberapa peringkat;

#1- Memisahkan orang melayu dengan ajaran Islam sehinggakan orang melayu sebolehnya tidak mengamalkan ajaran agama. Bangsa sahaja melayu, tetapi tidak mengamalkan Islam.

#2- Memperkenalkan budaya dan pemikiran salah dan menyimpang dengan cara dan bernada lunak supaya akhirnya dapat diterima atau disebut sebagai proses ‘normalisasi’.

#3- Menyerang akidah dan pemikiran orang Islam. Orang Islam yang lemah teras pengetahuan agama akan mudah terpengaruh dengan idealisme liberal.

#4- Meruntuhkan sistem sistem syariah termasuk undang-undang agama. Apabila runtuhnya sistem perundangan agama, golongan mereka akan bebas melakukan budaya salah yang melampaui batas.

#5- Menghapuskan agensi-agensi berkaitan agama dengan cara menekan institusi tersebut dengan menggunakan perundangan sivil.

#6- Meruntuhkan perlembagaan dan undang-undang negara termasuklah mempersoalkan peruntukan undang-undang dalam perlembagaan dan enakmen jenayah syariah negeri.

Namun, strategi konsisten mereka tanpa mengira masa tetaplah dengan cara menyerang akidah dan pemikiran orang Islam.

Golongan liberalis akan cuba melakukan serangan halus kepada ajaran agama Islam daripada hal berkait ibadat persendirian sehingalah kepada budaya hidup seharian.

Pada masa ini golongan tersebut cuba pula mencetuskan suatu revolusi budaya yang bertuhankan hawa nafsu. Budaya hidup Lesbian Gay Bisexual dan Transexual (LBGT) diperjuangkan oleh pelbagai NGO liberalis yang berdaftar supaya boleh diterima oleh masyarakat umum.

Atas nama hak asasi manusia mereka mahu budaya tempang itu dihalalkan tanpa mengira warna kulit dan latar belakang agama.

Contohnya, pertubuhan Seksualiti Malaysia pada tahun 2008 telah menganjurkan festival seksualiti Malaysia, kemudian sekali lagi pada tahun 2013. Namun, penganjuranya mendapat bantahan keras daripada umat Islam.

Di dalam festival tersebut akan terdapat program seperti forum, bual bicara, perbentangan kertas kerja dan lain lain lagi. Pastinya program tersebut bertujuan untuk menonjolkan kelompok mereka dan mempromosi kegiatan mereka kepada umum.

Begitu juga dengan kelompok yang digelar sebagai transeksual atau ‘maknyah’. Menurut satu kajian adalah dianggarkan terdapat 100,000 orang maknyah dan kebanyakkan adalah melayu yang beragama Islam.

Menurut laporan, pada tahun 2009 juga, terdapat lebih 70,000 golongan tersebut telah mendaftar untuk menukar jantina.

Mengejutkan, kebanyakkan ‘mak nyah’ dilindungi pihak terbabit jika sekiranya mereka ditangkap dan disaman oleh pihak autoriti agama kerana berkelakuan tidak senonoh atau menjalankan kegiatan persundalan.

Berpandukan Laporan Coalition of Malaysian NGOs 2013 (COMANGGO) yang disahkan oleh 54 pertubuhan badan bukan kerajaan, golongan LGBTIQ adalah antara golongan yang mendapat perhatian.

Kumpulan NGOs terbabit menuntut hak kesamarataan dan anti dikriminasi ke atas golongan itu melalui proses perundangan kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia.

Golongan liberalis juga menggunakan media sosial untuk memunculkan diri dan membuat provokasi.

Setahun yang lepas, Siti Kassim ada mengeluarkan kenyataan dalam akaun facebooknya, dekat dengan musim haji bahawa Nabi Ibrahim tidak pernah bermimpi untuk menyembelih anaknya dan mengecam ibadah korban sebagai ‘kejahatan’.

Begitulah sikap golongan tersebut. Mereka seringkali melakukan provokasi-provokasi mengenai isu agama terutama apabila tiba hari kebesaran Islam.

Mereka juga cuba muncul dalam perhimpunan secara bermusim bagi menyatakan perjuangan anarki ala moden untuk menuntut kesamarataan. Mereka berani melakukan hal yang demikian kerana tentunya pengikut dan bilangan mereka ada disamping dilindungi oleh pihak tertentu.

Ketegasan pihak polis, kuasa undang-undang yang ada pada mahkamah syariah, kebitaraan mufti-mufti dan agamawan yang bijaksana menangkis dakyah-dakyah amatlah penting.

Pemimpin yang prihatin kepada hal ehwal agama dan rakyat yang sensitif dengan isu provokasi agama, negara masih dapat menangani anasir-anasir dan fahaman salah pemikiran liberalisme.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Khafiz Bahari

Bachelor (Honest) Of Islamic Revealed Knowlegde IIUM,Gombak. Master In Islamic Education

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami