Berita

Bagaimanakah Pemain Muslim Berpuasa Menjelang Piala Dunia ini?

Oleh Tim Tazkirah  •  14 Jun 2018  •  7 min baca

Bersedia untuk Piala Dunia sememangnya bukan mudah untuk mana-mana pemain. Anda perlu berada dalam keadaan fizikal dan mental yang terbaik, kebiasaannya di akhir pertandingan domestik yang meletihkan. Bagi pemain bola sepak Muslim, kejohanan di Rusia ini akan menjadi lebih rumit.

Pada bulan Ramadan, di mana penganutnya tidak makan dan minum dari awal pagi sehingga terbenam matahari, telah membuatkan para jurulatih dan ahli nutrisi merangka pelan khas bagi mebolehkan para pemain dapat beraksi di kejohanan paling berpengaruh ini meskipun sedang menunaikan keperluan utama agama mereka.

Antara bintang terkenal dalam sukan ini, termasuk Mohamed Salah, Mesut Ozil dan Paul Pogba adalah merupakan mereka yang perlu membuat keputusan kali ini, di mana negara seperti Arab Saudi, Morocco, Tunisia, Mesir dan Iran menggalas tanggungjawab paling besar untuk menjaga prestasi pemain-pemain mereka yang berpuasa.

Tempoh berpuasa ini akan tamat sebaik sahaja Piala Dunia bermula, jadi bagaimanakah pasukan dan pemain Muslim ini membina keseimbangan antara bola sepak dan kepercayaan mereka?

1. Memahami Konsep Ramadan

Semasa persiapan ke Piala Dunia, Tunisia adalah antara pasukan yang paling terkesan dengan Ramadan, memandangkan kebanyakan besar pemainnya memilih untuk berpuasa.

Walau bagaimanapun, mereka kelihatan tercari-cari cara untuk mengekalkan tenaga sewaktu perlawanan terkini menentang Portugal dan Turki.

Dalam kedua-dua perlawanan, ketika waktu berbuka hampir tiba, penjaga gol Mouez Hassen telah terjatuh ke tanah dan dikatakan mengalami sedikit kecederaan. Semasa menentang Portugal, beliau dilihat memegang kaki kirinya selepas menyelamatkan satu rembatan lurus. Manakala dengan Turki, beliau jatuh sambil memegang bahunya selepas berlaku satu perlanggaran kecil.

Dalam kedua-dua perlawanan itu, pemain lain yang berpuasa kelihatan berlari ke tepi padang untuk mendapatkan air dan kurma bagi menyeimbangkan kadar gula dalam darah yang rendah. Tindakan tersebut disifatkan bijak oleh pemerhati dan menyebabkan keriuhan di media sosial.

Mereka mempunyai satu lagi perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan bermula dan wartawan Tunisia Souhail Khmira menerangkan kepada Bleacher Report:

Pada waktu kami mula bermain di Piala Dunia, Ramadan telah berakhir, tetapi ia memang memberikan impak besar ke atas pemain.

Ia (puasa) benar-benar meletihkan. Sebagai seorang yang berpuasa, sudah pasti bukan mudah untuk kami melakukan tugas harian, apatah lagi menjalani jadual latihan secara intensif. Hampir semua pemain adalah Islam dan mempraktikkan Islam- mereka bersolat lima kali sehari dan juga perkara lain. Mereka memilih untuk berpuasa, sebagai satu cara untuk menjalankan tanggung jawab kepada Tuhan dan mendapat ‘keberkatan’ atau ‘dihadiahkan’ dengan prestasi yang membanggakan.

Berpuasa merupakan satu keputusan individu, dan pengecualian boleh diberikan kepada mereka yang melalui perjalanan jauh atau jika seseorang itu tidak sihat.

Salah mengambil pendekatan perjalanan jauh sewaktu menghadapi perlawanan akhir Liverpool dalam Liga Juara-Juara di Kiev, Ukraine. Dan sewaktu Piala Dunia yang lalu, pemain antarabangsa Jerman Ozil memberitahu wartawan:

Ramadan bermula pada hari Sabtu, tetapi saya tidak menjalaninya kerana saya sedang bekerja.

Terdapat beberapa pemain bintang Muslim lain yang mungkin mengambil pendekatan sama kali ini, manakala ramai mengatakan ia adalah pilihan masing-masing.

2. Mempunyai Minda Yang Positif

Sudah pasti, bulan Ramadan adalah sangat mencabar bagi para pemain bola sepak Muslim, di mana pekerjaan mereka memerlukan aksi dan tenaga fizikal,” jelas Islam Momani, pengasas bersama dan pengarah Persatuan Pemain Bola Sepak Muslim, satu rangkaian untuk pemain berhubung dan berkongsi pengalaman mereka.

Tetapi, aspek mental dan dalaman boleh dalam banyak cara, memberi inspirasi dan memotivasikan pemain dengan menjadikan mereka lebih fokus. Puasa memberikan mereka kekuatan minda yang memainkan peranan penting untuk mengatasi apa jua halangan fizikal yang akan mereka tempuhi.

Kekurangan tenaga dan kekuatan disebabkan tidak makan dan minum sering menjadi tanggapan pertama mereka yang tidak berpuasa, tetapi perkara sebaliknya berlaku bagi orang yang berpuasa.

Di dalam blog The Renegade Pharmacist, terdapat penjelasan bagaimana satu tempoh panjang tanpa makanan “membuatkan minda kita menjadi lebih sedar, di mana kita meneliti pandangan, emosi dan tindak balas kita dengan lebih mendalam.

Artikel tersebut turut menyatakan bahawa makan sebanyak satu atau dua kali sehari membolehkan kita membuat sesuatu dengan lebih tepat dan jelas.

Pandangan ini sering kali dipersetujui oleh mereka yang berpuasa di bulan Ramadan.

3. Tiada Konflik Antara Bola Sepak Dan Kepercayaan

Abdel-Zaher El-Saqqa adalah merupakan bekas pemain pertahanan antarabangsa Mesir yang telah bermain sebanyak 112 kali untuk negaranya dan membina sebahagian besar kerjaya profesionalnya di Turki.

Saya sentiasa bermain dengan baik sewaktu berpuasa, saya tidak boleh menjelaskannya, tetapi saya merasakan bahawa itu adalah tanda kekuasaan dan bantuan dari Tuhan,” beliau memberitahu Bleacher Report. “Perlawanan terbaik saya semuanya berlaku pada bulan Ramadan, terdapat sekali di mana saya perlu berbuka puasa semasa perlawanan ketika waktu Maghrib tiba”.

Pemain Mesir, termasuk Salah, sudah pasti, mempunyai pengalaman bermain semasa berpuasa atau selepas berbuka puasa di bulan Ramadan, kerana itu adalah perkara yang mereka lakukan pada setiap tahun tanpa gagal”.

Bulan Islam Ramadan bermula pada 16 Mei, dan puasa dilakukan di sepanjang waktu siang.

Nathan Ellington, bekas pemain Liga Perdana dan Wigan Athletic yang juga seorang Muslim, percaya bahawa kesukaran bermain di bulan Ramadan adakalanya dilebih-lebihkan.

Secara jujurnya, ia tidaklah begitu sukar,” beliau memberitahu Ben Welch dari FourFourTwo. “Terdapat banyak silap faham di luar sana. Orang ramai menganggap orang Islam berpuasa untuk mendera diri mereka sebagai menunjukkan kesetiaan terhadap kepercayaan kami, tetapi ini semua tidak benar. Kami melakukannya kerana tabiat buruk yang telah kami lakukan sebelum ini dan untuk menjadi Muslim yang lebih baik.

Momani dari Persatuan Pemain Bola Sepak Muslim turut memberitahu, “Tiada konflik antara menjadi pemain bola sepak profesional dan menjadi seorang Islam. Seorang pemain itu perlu melihat kejayaan pemain-pemain bola sepak Muslim, dahulu dan kini, yang telah menjaga keperluan agama mereka tanpa perlu meninggalkannya.

4. Satu Kefahaman Yang Baru

Pemain pada zaman moden ini dikawal dari segi makan, minum dan tidur dengan teliti oleh pakar. Dr Zafar Iqbal merupakan ketua unit perubatan sukan di Crystal Palace dan perunding dalam perubatan sukan dan senaman.

Sememangnya pemain-pemain yang saya temui di mana mereka telah berpuasa memberitahu mereka merasakan puasa membantu mereka dari segi mental dan menjadi lebih berdisiplin serta menghargai apa yang mereka miliki,” jelas beliau.

Sesetengah pemain akan berpuasa sewaktu latihan dan bukan sewaktu perlawanan, dan akan menggantikannya kemudian, terutama jika mereka akan melalui perjalanan yang jauh. Sekali lagi di sini, ini adalah keputusan individu untuk memilih.

Saya mendapati atlit Muslim dalam sukan lain, seperti kriket dan ragbi, di mana individu ini berpuasa sewaktu latihan dan kejohanan merasakan puasa membantu mereka dari segi mental.

Badan-badan pentadbir, termasuk Pertubuhan Bolasepak, menyediakan maklumat sokongan pada setiap tahun sebelum Ramadan untuk memastikan jurulatih dan pengurus mengetahui bahawa sesetengah pemain mungkin akan memilih untuk berpuasa. Kini semakin kurang kekeliruan dan lebih kefahaman di sepanjang bulan mulia ini berbanding pada masa lalu.

Sesetengah pengurus yang saya temui memang sangat memahami,” terang Dr Iqbal. “Sewaktu perlawanan awal musim beberapa tahun lalu, di mana waktu puasa agak panjang, pengurus membenarkan pemain-pemain yang berpuasa ini untuk berlatih satu sesi diikuti dengan sesi gimnasium berbanding dua sesi latihan berterusan di luar.

Saya juga merasa terharu melihat sifat mengambil berat dan memahami dalam kalangan teman sepasukan. Sewaktu di Liverpool, Luis Suarez sering berjumpa dan mengingatkan saya waktu berbuka puasa hampir tiba dan kami akan berbincang tentang Ramadan, kerana beliau mempunyai teman pasukan Muslim di Ajax dahulu yang berpuasa.

5. Fokus Untuk Berjaya

Mereka di Mesir begitu memahami kesan Ramadan terhadap bola sepak, tempat di mana Salah dilahirkan. Mohamed Aboul-Ela, doktor pasukan kebangsaan, menerangkan bagaimanakah keadaan berpuasa di samping menjalani latihan bola sepak berterusan seperti untuk Piala Dunia yang akan menjelang.

Situasi ini agak rumit,” beliau memberitahu Egyptian TV saluran DMC. “Kami sentiasa menawarkan keadaan terbaik untuk pemain kami. Sebagai contoh, pasukan kami akan menentang Uruguay di Piala Dunia selepas 30 hari berpuasa, yang mana tubuh pemain sudah biasa menerima jumlah makan dan minuman yang sedikit.

Pemain memerlukan masa untuk mengembalikan tubuh badan mereka kepada keadaan normal. Tetapi kami tidak pernah meminta pemain untuk tidak berpuasa, kami cuma menerangkan apa yang perlu mereka lakukan dari sudut nutrisi dan pandangan perubatan.

Wartawan Filgoal Fady Ashraf telah menyaksikan sendiri bahawa berpuasa tidak membuatkan prestasi pemain merudum.

Beliau berkata: “Setiap pemain adalah berbeza, dan dalam beberapa tahun ini, pasukan Mesir telah bermain banyak perlawanan di bulan Ramadan di mana sebahagian pemain tidak berpuasa dan sebahagian lagi tetap meneruskan komitmen puasa ini.

Tetapi ini bukanlah penanda aras bagaimana seorang pemain beraksi. Sepanjang beberapa tahun ini, jarang sekali pemain mempamerkan prestasi lemah atau keletihan melampau semasa Ramadan.

Piala Dunia sememangnya akan mendorong pemain mempamerkan aksi cemerlang mereka untuk membina nama di kejohanan paling berprestij ini. Bagi mereka yang berpuasa, daya fokus mereka seharusnya tepat dan tajam seperti biasa.

Penulis: Dean Jones / Penterjemah: Nordiana Ali / Sumber: Bleacher Report

Kredit Gambar: Bleacher Report


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami