AI-Imam Al-Qutub Abdullah Bin Alawi Al-Haddad atau lebih dikenali dengan panggilan Imam Al-Haddad ini lahir di perkampungan berdekatan kota Tarim, Hadramaut, Yaman pada 30 Julai 1634 bersamaan 5 Safar tahun 1044 Hijrah.

Beliau adalah seorang ulama yang bermazhab Syafie dan faqeh (mahir) dalam bidang fekah dan aqidah. Beliau yang mendapat gelaran Syeikh al-Islam ini juga memiliki ilmu yang cukup luas bahkan menjadi tempat rujukan masyarakat sekeliling.

Beliau yang dibesarkan dalam kelompok keluarga yang baik di Kota Tarim ini telah diuji oleh Allah SWT sejak usianya masih kecil iaitu terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan kedua belah matanya tidak dapat melihat. Sekalipun kehilangan daya penglihatan sejak usia empat tahun, ia langsung tidak menjadi penghalang buatnya untuk menimba ilmu pengetahuan dan menyebarluaskannya kepada khalayak.

Bapanya bernama Habib Alawi Bin Muhammad Al-Haddad, seorang yang soleh dan tergolong dalam kalangan Al-A’rifin (maqam tertinggi dalam kedudukan ahli ibadah). Manakala ibunya pula bernama Syarifah Salma Binti Idrus Bin Ahmad Al-Habshee, seorang wanita solehah.

Sejak usia kecilnya, Al-Habib Abdullah Bin Alawi Al-Haddad sering melazimkan dirinya untuk solat sunat sebanyak 100 rakaat setiap hari setelah pulang dari rumah gurunya pada waktu Dhuha. Beliau sering menghabiskan masanya untuk beribadah dan bertaqarrub (mendekatkan diri) dengan Allah SWT.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Sebab itu, tidak hairanlah jika beliau diberikan kedudukan yang sangat tinggi oleh Allah SWT sebagai ‘Wali Al-Qutub’ sejak usianya masih remaja. Sehinggakan hal tersebut menggusarkan hati neneknya; seorang wanita solehah yang bernama Asy-Syarifah Salma Binti Al-Habib Umar Bin Ahmad Al-Manfar Ba’alawi yang berkata kepadanya;

“Wahai anak, kasihanilah dirimu.” Neneknya berkata demikian kerana berasa kasihan melihat kesungguhan cucunya itu dalam beribadah dan bermujahadah.

Selain itu, Al-Imam Al-Haddad juga sering berpuasa sunat khususnya pada hari Isnin dan Khamis, hari-hari putih (ayyamul baidh), hari Asyura, hari Arafah, enam hari di bulan Syawal dan lain-lain waktu yang digalakkan berpuasa.

Antara karya beliau yang terkenal ialah ‘Ratib Al-Haddad’; satu susunan wirid, zikir dan doa amalan harian yang dikumpul daripada Al-Quran Al-Karim dan hadis Rasulullah SAW dan disusun pada malam Lailatul Qadar tahun 1071 Hijrah. Ianya boleh dibaca di mana-mana majlis atau tempat sama ada secara individu mahupun beramai-ramai.

“Lailahaillallah dan Lailahaillah al-Malikul Haqqul Mubiin” adalah antara zikir yang sering diucapkan oleh Al-Habib Imam Al-Haddad sebagai zikir hariannya, iaitu sebanyak 100 hingga 1000 kali setiap hari. Dan, apabila tibanya bulan Ramadan jumlah zikirnya ini digandakan dengan lebih banyak lagi.

Banyak karamah atau keistimewaan yang dikurniakan Allah SWT untuk beliau, salah satunya adalah kata-kata yang diucapkan mahupun doanya amat mustajab. Pernah suatu ketika, ada seorang lelaki mengadukan halnya yang terlalu banyak hutang dan tidak mampu untuk melunaskannya. Lalu Al-Imam Al-Haddad berkata kepada lelaki itu; “Semoga esok pagi kesemua hutangmu akan dapat diselesaikan.”

Dan, ternyata kata-kata beliau itu benar dan dengan izin Allah SWT keesokan harinya, ada seorang hamba Allah datang kepadanya memberikan beberapa potong pakaian. Lalu, setelah pakaian itu siap, dia pun menjualnya dan mendapat untung yang berlipat kali ganda, seterusnya dapat membayar segala hutang-piutangnya.

Beliau wafat pada hari Isnin 10 September 1720 bersamaan 7 Zulkaedah tahun 1132 Hijrah dan dimakamkan di pemakaman Zambal, berdekatan kota Tarim, Hadramaut, Yaman. Begitulah serba sedikit latar belakang waliullah yang cukup luar biasa ini.

Sekalipun hilang penglihatan secara fizikal, namun Allah SWT menggantikan untuknya cahaya dalam hatinya untuk melihat. Semoga Allah SWT merahmati dan meredai kehidupannya. Allahumma amiin.

“Orang yang tidur boleh dikejutkan, orang yang lalai boleh diingatkan. Barangsiapa yang tidak bermanfaat untuknya apabila dikejutkan dan diingatkan, maka sesungguhnya dia itu adalah orang yang mati dan kamu tidak dapat memperdengarkan kepada orang yang sudah berada di dalam kubur.”(Kata Mutiara al-Habib Imam al-Haddad)

Tentang Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.