Firman Allah S.W.T, maksudnya:

“Datanglah sakaratulmaut dengan membawa kebenaran yang telah dijanjikan. Inilah perkara yang kalian selalu lari daripadanya!” Surah Qaf 50:19

Benarlah, kematian itu satu peringatan. Peringatan bagi kita manusia yang sering alpa dan leka dengan arus dunia.

Masing-masing mengharapkan umur yang panjang untuk mendapatkan kenikmatan dunia semata sedangkan dunia ini bersifat sementara, bahkan akhirat itulah yang kekal abadi selamanya.

Sungguh! Sangat rugi manusia yang tidak menjadikan kematian orang lain satu pengajaran baginya.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Bulan Rejab lalu, nenda tersayang dan salah seorang sahabat lama telah pun pergi dahulu menghadap-Nya. Di antara pemergian nenda dan sahabat tiada yang jauh berbeza. Pergi mereka dengan tujuan yang sama untuk menghadap yang Maha Esa.

Cuma mungkin yang berbeza hanyalah amalan mereka yang ditentukan Allah dimana tempat mereka disebalik kuburan sana.

Seperti kata imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin yang menyebut;

“Tidak akan keluar salah seorang kamu dari dunia sebelum kamu mengetahui dimana tempatnya nanti serta diperlihatkan tempatmu disyurga ataupun neraka.”

Sepanjang berada di kediaman jenazah, mata ini tidak lepas memerhati gelagat manusia yang hadir memberi ucapan takziah kepada keluarga arwah.

Ada yang datang bersalaman dan bersegera memasuki rumah lalu mencapai naskah Yassin. Ada juga yang datang dan berbual dihalaman rumah sambil diisi dengan gelak tawa.

Ada juga yang sibuk menyiapkan juadah untuk dihidangkan kepada para tetamu dan ada juga yang datang sambil berpelukkan dan berbalas tangisan.

Walhal didalam rumah itu terdapat sekujur tubuh yang sedang bersiap sedia untuk bertemu pencipta-Nya.

Tubuh kaku itu cuma inginkan sedikit ihsan daripada hadirin yang menziarahinya agar mereka boleh membantu mendoakan kebaikan untuknya.

Memohon agar Allah mempermudahkan jalan dia menuju Rabb dan memohon agar Allah menerima segala amalannya dan mengampuni segala dosa-dosanya.

Seharusnya mereka datang menziarahi jenazah bukannya datang dan menangisi orang yang telah pergi tetapi sepatutnya mereka menangisi diri mereka sendiri.

Kerana pernah Ibrahim az Ziyat melihat orang yang menziarahi jenazah itu bersedih dan meratapi mayat. Lalu beliau berkata;

“Janganlah kamu meratapi mayat. Kerana mereka telah mendahului kamu dengan tiga perkara. Pertama, mereka telah melihat wajah malaikat maut. Kedua, mereka telah merasai sakaratulmaut(sakit mati) dan yang ketiga, mereka telah mengetahui tempat pengakhiran mereka(syurga atau neraka) sedangkan kamu belum melaluinya. Kalaulah kamu mengasihi dirimu sendiri maka itu adalah lebih baik bagimu.”

Hati Meratapi Dosa Sendiri

Di kala alunan surah Yassin bergema serentak, ketika tubuh kaku dihadapan itu tidak lagi mampu bersuara. Hanya berserah sepenuhnya kepada Tuhan.

Mungkin pada mata yang melihat, arwah pergi dalam keadaan tenang. Namun, tiada siapa yang dapat menduga bagaimana dia berjuang menempuhi saat sakarat itu seorang diri.

Tiba-tiba hati ini meratap. Sedih dan takut lantaran terbayang dosa-dosa silam yang masih belum ditutupi dengan taubat nasuha.

Sedangkan Allah sentiasa memberi ruang dan peluang selagi mana nyawa masih dikandung badan. Allahurobbi, dosa hamba-Mu ini tidak akan pernah terhitung.

Kadangkala berbuat dosa lalu bertaubat tetapi sesudah itu, dosa tersebut diulangi lagi dan lagi. Benarlah, nafsu itu tidak akan pernah puas.

Bagaimanalah nasib diri ini seandainya tubuh kaku dihadapan ini milik tubuh badan sendiri? Sungguh, tidak akan terlintas bayangan syurga pun apatah lagi kelayakan untuk medudukinya. Nauzubillah.

Teman Sejati Yang Setia

Setelah jenazah siap dikafankan, maka pergilah ahli keluarga mendekat untuk melihat wajah arwah buat kali yang terakhir.

Wajah yang pucat, tiada lagi aliran darah dalam tubuhnya, tiada lagi roh yang berdamping dengannya. Ia hanyalah sekadar jasad kosong yang sebentar lagi bakal dikembalikan ke tanah sesuai dengan firah kejadiannya.

Melihat akan suasana tersebut, pantas air jernih mengalir laju membasahi pipi. Tidak dapat ditahan sebak yang mencengkam sanubari.

Allahurobbi, begini akhirnya kehidupan seorang manusia. Sekian lama mereka berusaha untuk hidup dan mengecapi kebahagiaan ditemani ahli keluarga, ibu bapa, rakan-rakan, suami/isteri dan anak-anak tercinta, namun sesudah mati, dia pergi ke alam sana seorang diri tanpa seorang pun peneman.

Yang setia tinggal bersamanya hanyalah amalnya. Seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;

“Ada tiga perkara yang mengiringi mayat ke kubur. Tetapi dua daripadanya akan kembali pulang dan satu akan terus ikut bersamanya. Ia dihantar oleh keluarga, harta dan amalnya. Maka yang akan kembali pulang adalah keluarga dan hartanya, sedangkan yang tersisa bersamanya hanyalah amalannya.” Riwayat Bukhari Muslim

Ingatlah, tidaklah mereka (amal baik) akan menemani kita di dalam kubur, kecuali apabila kita menjadikan mereka sebagai teman rapat di dunia ini.

Justeru, senantiasalah menjaga iman dan mengamalkan amal soleh yang berterusan sesuai dengan apa yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Kematian Satu Kepastian

Kini tibalah masanya jenazah dihantar ke kubur. Merenung keranda yang diusung perlahan-lahan menuju ke liang lahad seolah-olah merenung diri sendiri yang sedang berada didalam keranda tersebut. Allahuakbar, perasaan takut menyelimuti jiwa. Lalu terfikir;

“Bagaimana agaknya pengakhiranku nanti? Bersediakah aku? apakah cukup amalanku selama ini untuk dibawa menghadap ilahi? ”

Lantas dibayangi raut wajah sendiri yang dibaluti kain kafan lalu ditimbus oleh tanah yang kian menebal. sering kali mendengar alim ulama mengatakan bahawa;

“Bagaimana cara kita mati ditentukan dengan bagaimana cara kita hidup.”

Sungguh! Diri ini tidak pernah bersedia untuk menghadapi Hari Kepastian. Mampukah kebahagiaan dunia ini dibawa masuk kealam sana juga? Fikiran ini terus melayang memikirkan detik malam pertama dialam barzakh.

Alam yang pernah diberitahu oleh Rasulullah sebagai alam yang mengerunkan sehingga Rasulullah sering berdoa yang bermaksud;

“Ya Allah, aku berlindung padaMu, daripada pedihnya seksa kubur, dan seksa neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian juga daripada fitnah Dajjal.” Sahih Bukhari

Beribadatlah Sebelum Terlewat

Usai jenazah dikebumikan, maka hadirin beransur pulang untuk meneruskan kehidupan seperti sediakala. Jika ada dikalangan mereka yang mengambil iktibar di atas kematian saudaranya, maka beruntunglah mereka.

Tetapi, jika kematian saudaranya itu hanyalah satu perkara biasa baginya, maka rugilah mereka. Perasaan takut untuk menghadapi mati itu ada pada setiap manusia. namun, bukan ‘takut mati’ yang Allah perintahkan, tapi ‘ingat mati’ yang sebetulnya.

Kerana dengan mengingati mati, kita boleh mempersiapkan amal dan diri untuk menghadapi saat itu nanti dengan tenang dan berlapang dada.

Solatlah selagi masih diberi nikmat kesihatan oleh Allah. Kerana rutin solat itu hanya dituntut didunia sahaja manakala di akhirat sana tiada lagi yang namanya solat atau ibadah.

Bacalah al-Quran semasa masih hidup. Kerana al-Quran itu merupakan mukjizat Nabi S.A.W yang boleh menjadi syafaat kepada manusia kelak dialam sana.

Banyakkanlah berpuasa sunat, kerana dengan berpuasa dapat merendahkan syahwat dan mampu mencegah kita daripada melakukan maksiat.

Bersedekahlah ketika masih dikurniakan nyawa, walaupun Cuma seringgit satu hari, kerana bersedekah itu besar ganjaran pahalanya dan sedekah itu juga mampu menghapuskan dosa.
Beribadahlah sementara masih diberi kesempatan! Renungilah sabda Nabi S.A.W ini, yang bermaksud;

“0rang yang bijak adalah orang yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya.” HR. Ibnu Majah no.4259

Akhir kalam, kesudahan selepas kematian hanya akan diketahui selepas kita sendiri menghadapi mati. Ada yang bakal bergembira dan ada yang bakal menderita.

Ambillah iktibar dan pengajaran daripada setiap kematian orang lain. Kerana PASTI suatu hari nanti, kita juga akan menyusul mengikuti jejak langkah mereka.

Jika tidak esok, minggu depan atau boleh jadi mungkin sesaat saja lagi. Berdoalah semoga Allah mentakdirkan pengakhiran kita semua dalam husnul khatimah (pengakhiran yang baik).
Insya Allah. Amin.

Tentang Nor Khairiah

Nor Khairiah

Pemegang Diploma jurusan Fashion on Art&Design Department dan sekarang bekerja dalam bidang yang sama. Suka membaca, menulis dan melancong. Pernah beberapa kali memenangi pertandingan menulis cerpen dan novel. Merupakan team leader facebook page Jodoh itu Rahsia Allah Official.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.