Hari itu sebuah kereta Toyota Camry meluncur laju meninggalkan sebuah rumah usang di hujung kampung. Rumah kayu yang digigit anai-anai, yang menanti waktu untuk roboh menyembah bumi.

Mengalir pelahan air mata ibu tua di atas tangga, anak yang dilahirkan dengan penuh keperitan, dijaga penuh kasih sayang dan dibesarkan dengan pendidikan, akhirnya membalas budi si ibu dengan hinaan.

“Saya pulang ni, nak tengok ibu, bukan nak dengar leteran ibu, saya banyak kerjalah di KL, ibu ingat saya goyang kaki je ke dapat duit, nak balik kampung ni pun saya korbankan masa saya, duit saya, tu ibu tengok kereta besar saya habis lekat tanah merah di tayar tu. Lepas ni saya semakin sibuk, ada projek besar, saya tak tahu bila boleh balik lagi kampung ni”

Pantas sungguh masa berputar, tidak tahu di mana silap, setelah berjaya ke universiti di Oxford, Imran pulang dengan kejayaan. Dengan berkat doa si ibu Makcik Rubiah terus si anak menjawat jawatan besar di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Sejak itu, Imran emakin jarang pulang ke kampung. Si ibu tua itu kesepian, rutin hariannya hanya ke masjid dan ke kebun belakang rumah, mencari makanan untuk mengalas perut. Tiada lagi deringan telefon untuk bertanya khabar. Tidak tahu dimana punca, hilang khabar berita dari si anak.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Dalam tiap hujung sujud, pasti mengalir air mata si ibu, mendoakan kebaikan untuk si anaknya. Ya, untuk si anak yang tidak tahu ibunya tidak pernah lupa untuk mendoakan dirinya.

Suatu petang selepas solat asar, dilihat pada kalendar di dinding bilik ‘7 Oktober 2017’ dan dibuka laci almari usang untuk melihat buku catatan ringkasnya,
Tertera

“7 Oktober 2016 Imran pulang bersama kereta baru”

Getus hati kecil si ibu;

“Sudah genap setahun sudah kau tak pulang dan telefon ibu Imran, apa salah ibu pada kau nak, ibu sanggup korbankan harta ibu untuk kau berjaya, bukan ibu harap kau bayar kembali semua itu, cukuplah sekadar kau pulang bertanya khabar dan menenangkan hati ibu yang rindukan kau Imran, pulanglah Imran, pulanglah nak”

Lamunan si ibu tiba-tiba terhenti, ketukan pintu hadapan terdengar jelas. Pantas si ibu bangun mengharapkan sebuah sinar harapan, dibuka ensel pintu kayu tua itu dengan cermat. Apabila terbuka pintu itu, tiba-tiba dilihat wajah anak kesayangannya.

Allahuakbar bercucuran air mata si ibu, kesepiannya terubat kembali. Belum sempat duduk di atas lantai yang kian mereput itu, Imran berkata;

“Ibu saya balik ni, saya nak minta tolong dengan ibu sikit je, saya ada masalah dengan kerja saya sekarang, jadi saya perlukan sedikit duit dari ibu”

Ibunya dengan tenang bertanya;

“Berapa Imran, duit yang diperlukan nak?”

Imran lantas menjawab;

“Sikit je ibu 10 ribu, bila saya dah stabil saya janji ibu, saya janji akan terus pulangkan semula duit ibu”

Si ibu menjawab perlahan;

“Emm Imran kau pun tahu ibu tak dek duit banyak tu, cuma ada duit simpanan untuk ibu ke Mekah je, ibu pun dah dapat surat panggilan untuk kerjakan Haji, lagi 5bulan Imran ibu akan pergi ke sana”

Imran meninggikan suaranya;

“Apalah ibu ni, haji tu bila-bila ibu boleh pergi, kalau bukan tahun depan tahun yang lain ibu pergilah, anak ibu tengah susah sekarang, bagi sahaja duit tu pada Imran, Imran janji akan pulangkan balik!”

Ibu mana suka lihat anaknya susah. Sedangkan nyawanya sanggup ditaruhkan demi sebuah kelahiran, inikan pula wang miliknya. Makcik Rubiah akhirnya akur;

“Tak pelah Imran. kalau betul kau janji nak pulangkan kembali duit tu, esok kau bawa ibu ke Bank Tabung Haji di bandar ye”

Imran bersuara memujuk;

“Kita pergi sekarang ya ibu, saya tak boleh lama di kampung ni, saya nak guna duit tu segera, kita pergi sekarang ya, saya bawa ibu ke bandar dan selepas tu saya hantar ibu pulang kembali ke rumah ya”

Si ibu menggagahkan jua, bersiap-siap untuk pergi ke bandar, bagi memenuhi permintaan anak tunggalnya itu. Maka meluncur laju kereta dipandu Imran, sempat dia berpesan sebelum ibu menaiki keretanya buat pertama kali itu;

“Ibu, tutup pintu kereta saya tu perlahan-lahan je dan jangan tekan apa-apa butang pula, bukan apa nanti rosak susah pula saya nak hantar ke bengkel”

Setelah tiba di hadapan bank Tabung Haji Kuala Terengganu, Imran meminta ibunya masuk bersendirian ke bank itu. Masuklah si ibu yang tidak tahu baca tulis itu. Dikeluarkan buku bank simpanannya itu tertera namanya ‘Rubiah Binti Ismail’

Diselak dengan perlahan buku kecil itu, anak lipas kecil berlarian keluar, sudah lama dia tidak membuka buku itu, terakhir kali dibuka sewaktu 30tahun lalu bagi memasukkan wang pusaka peninggalan suaminya.

Setelah meminta bantuan di kaunter, transaksi pengeluaran berjaya. Urat tua jelas kelihatan di tangan si ibu sambil memegang 10 ribu tunai.
Mengalir air matanya perlahan, hatinya bermonolog;

“Ya Allah.. hanya ini sahaja wang yang aku ada untuk menyahut panggilan-Mu ke Baitullah lagi 5 bulan. 30 tahun wang ini aku simpan demi menjejakkan kakiku ke Mekah. Namun Engkau jua mentakdirkan wang ini bukan menjadi milikku lagi. Dengan Rahmat Mu sampaikan lah jua aku ke sana Ya Allah meskipun aku tiada lagi wang.”

Air matanya dikesat dengan hujung lengan baju kurungnya. Perlahan-lahan si ibu keluar dari bank. Masuk si ibu ke dalam kereta mewah si anak dan bersuara tenang;

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

“Imran.. ambillah duit ini. Semoga duit ini dapat bantu Imran, ibu tiada harta yang banyak nak, ini sahaja yang ibu ada untuk bantu Imran”

Pantas Imran mengambil duit yang dihulurkan dari tangan tua itu. Imran bersuara;

“Ibu, Imran tak dapat hantar ibu pulang ke rumah, bos Imran telefon tadi, minta Imran balik segera ke office”

Maka keluarlah si ibu dari kereta mewah itu. Tanpa mendengar sebarang bicara mohon maaf mahupun ucapan terima kasih dari si anak.

Bukan ucapan itu yang diharapkan sebenarnya, cukup sekadar dicium tangan dan pipi yang sudah berkedut itu sudah memadai dari segalanya. Mengalir deras air mata si ibu bagai empangan pecah;

“Ya Allah, dimana silapku hingga aku diperlakukan sebegini rupa dari anak yang aku lahirkan dari rahimku sendiri. Andai ini kafaroh dosa-dosa aku selama di dunia ini, aku reda Ya Allah, aku reda Ya Allah.”

Berjalan perlahan si ibu itu tidak tahu bagaimana mahu pulang, wang di dalam saku hanya ada note RM1. Hanya bertawakal kepada Allah, moga-moga ada insan prihatin membantunya untuk pulang ke rumah di Kampung Ajil.

——————————————————————-
Jarum jam menunjukkan tepat 10.00 pagi. Faqih doktor muda yang baru berkhidmat di Hospital Sultanah Nur Zahirah lulusan Universiti Mansuroh Mesir kelihatan baru menghabiskan shiff nya, yang bermula dari jam 8 malam tadi.

Enjin kereta Nissan X-Trail yang baru dibelinya 3 hari lepas dihidupkan. Niatnya ingin terus pulang ke rumah, sudah penat bermain dengan jarum, ubat dan mesin monitor, terasa ingin merebahkan badan di tilam empuk.

Tiba-tiba di satu persimpangan telah terjadi satu tragedi kemalangan yang ngeri, di mana sebuah kereta Camry melanggar pembahagi jalan hingga menyebabkan terbalik beberapa kali.

Insan-insan yang melihat kejadian pantas memberhentikan kenderaan dan berlari menuju ke arah kereta itu. Lalu terlihatlah si pemandu dengan kepala yang berlumuran darah dan badan tersepit di dalam kenderaan.

Melihat sakitnya sakaratul maut, hingga bergetar kuat tubuh pemuda itu, sebelum menghembuskan nafas terakhir kali dan buih-buih putih mengalir di bibir muda itu.

Tragis cukup-cukup tragis, tidak berakhir di situ tiba-tiba orang ramai di sisi kenderaan mendengar tangisan kecil, dari sebalik besi konkrit pembahagi jalan.

Suasana bertambah pilu apabila mereka melihat seorang wanita tua yang berlumuran darah meminta bantuan dalam keadaan yang lemah, tetapi… Tetapi…Tetapi bermain di fikiran mereka;

“Aku tidak mengenalinya dan juga bukan saudaraku”

“Jika aku membantu wanita tua ini pasti baju aku kotor dan jijik dengan darahnya”

“Kalau aku membantunya habis kereta aku busuk berbau darah wanita tua ini”

Begitulah bermain di benak hati kecil mereka yang ada di situ. Dalam keadaan begitu, berhenti kereta yang masih berkilat mewah, dengan pantas seorang pemuda yang tampan dan berpakaian kemas bertali leher berlari menuju ke tempat orang ramai itu.

Pemuda itu lah Faqih, terkejut melihat akan wanita tua itu yang dalam tangisan lemah tanpa bantuan, lalu pemuda itu pantas berusaha membantu seperti ‘anjing gila kelaparan’.

Tanpa mengira sut pakaiannya, diangkat wanita tua itu seperti kasihnya anak kepada seorang ibu yang melahirkannya, tanpa kelihatan jijik walaupun sedikit.

Barangkali itu ibunya… bermain difikiran yang melihat kejadian itu. Pemuda itu membawa masuk wanita itu ke dalam keretanya seolah-olah tiada siapa yang melihat kejadian itu.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Lalu dia memecut laju kereta membawa wanita tua itu menuju ke hospital. Telinganya mendengar bisikan sayup-sayup kedengaran di cuping telinganya;

“Terima kasih nak, terima kasih sungguh mulia hatimu.”

Setibanya di hospital pemuda itu membuka pintu dengan penuh pengharapan lalu ia melihat. “Allahuakbar” suaranya tersedu lemah dalam titisan air mata berderai kebumi.

“إنا لله وإنا إليه راجعون”
Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali

Diulang-ulang dalam keadaan tersedu-sedan:

“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali jua”

Wanita tua itu sudah tidak bernyawa lagi, peluh kelihatan di dahi tua itu, tersenyum manis walaupun telah kaku. Kelihatan air mata jernih mengalir di pipi Faqih,
Seorang nurse menghampirinya dan bertanya:

“Adakah wanita ini ibu yang melahirkan doktor Faqih?”

Faqih menjawab;

“Tidak”

Nurse itu bertanya lagi;

“Kenapa doktor menangis jika ia bukan ibu yang melahirkan doktor, adakah kerana baju dan kereta baru doktor habis berlumuran darah?”

Faqih menjawab dengan yakin;

“Tidak, saya menangis kerana saya terlambat beberapa saat tiba untuk menyelamat nyawa suci seorang wanita tua. Meskipun dia bukan ibu saya tetapi saya bertanggungjawab membantunya kerna saya seorang pemuda yang lahir dari seorang wanita yang bergelar ibu”

Tambahnya dalam esakan itu;

“Saya sangat takut kejadian ini terjadi kelak pada diri saya dan ibu saya yang saya sayangi, yang membesarkan saya tanpa berkira nyawa dan harta”

Mayat wanita tua itu diuruskan oleh pihak hospital, tertera nama ‘Rubiah Binti Ismail’ pada kad pengenalan yang dijumpai di dalam poket baju kurung yang dipakainya. Manakala pemandu yang terlanggar wanita tua itu pada tag mayatnya tertera ‘Imran Bin Hassan’

Maka lenyaplah buat selama-lamanya ‘Sebuah Kesepian’. Kesepian dari kasih seorang anak, anak yang dikandung 9 bulan 10 hari, yang dijaga penuh rapi, hatta dari gigitan seekor anak nyamuk. Namun Allah mahu menguji seorang ibu yang mulia, dengan seorang anak yang tidak tahu menghargai seorang wanita, wanita yang melahirkan dirinya ke dunia ini.

**Pembaca sekalian begitulah di sebalik kata indah ~Kebahagiaan~
Kebahagiaan sebenar adalah mengikut fitrah naluri hati paling dalam dan suci kita. Tidak hanya dinilai dan dilihat mengikut kehendak hawa nafsu kita.

Kita punya ibubapa hargailah mereka sebagai mana mereka sabar mendidik dan melayan karenah kita hingga kita kini mampu berdiri gagah tanpa tangannya memegang dan matanya mengawasi kita seperti waktu kita kecil dahulu.

Buat yang telah tiada insan mulia bergelar; ‘ibu/ummi/mak/mama’ mahupun insan yang mulia bergelar ‘ayah/abah/abi/papa’

Ketahuilah anda tidak pernah terlewat untuk berbakti kepada mereka. Andalah penerang rumah sepi dan gelap mereka kini, jadilah insan yang taat kepada Sang Pencipta. Kiriman doamu itu yang tiap saat dinanti oleh mereka di alam sana, sebelum anda menyusuli mereka kelak.

“Kita tidak pernah terlewat barang sesaat untuk sebuah kebaikan”

Tentang Saripah Fadhilah Al-Yahya

Saripah Fadhilah Al-Yahya

Beliau merupakan graduan Universiti Sultan Zainal Abidin dalam Bidang Pengajian Islam Dakwah. Merupakan Felo Muda Dakwah di bawah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia. Minat dalam penulisan dakwah, kerja-kerja kebajikan dan menyampaikan motivasi.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.