Tahun 188H, lahir seorang ulama sufi; Abu Yazid al-Bustami atau nama lengkapnya, Abu Yazid ibn Isa ibn Surusyan al-Bustami.

Beliau digelar ‘al-Bustami’ kerana dinisbahkan dari daerah kelahirannya, Bustam di Parsi.

Ibu bapa Abu Yazid merupakan seorang yang taat dan warak dalam hal keagamaan. Bapanya, seorang yang sangat dikenali di daerah Bustam. Datuknya pula, Surusyan pada awalnya seorang beragama Majusi sebelum memeluk agama Islam.

Dari dalam kandungan, Abu Yazid sudah menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa, tidak seperti bayi yang lain.

Suatu ketika, ibunya sedang makan. Tiba-tiba, kandungan dalam perutnya seakan memberontak sehingga membuatkan makanan dalam perutnya terpaksa dimuntahkan kembali.

Ajaibnya, setelah makanan tersebut habis dimuntahkan, tiada lagi goncangan dari dalam perutnya.

Hal ini berlaku apabila ibu Abu Yazid memakan makanan yang diragui sama ada halal atau haram; syubhah.

Setelah dilahirkan, anak kecil itu dijaga penuh kasih sayang dan bekalan ilmu agama. Bahkan, ibu bapanya akan memastikan Abu Yazid memakan makanan yang diyakini halal sahaja.

Ibunya amat menitik beratkan pendidikan anaknya itu. Dihantarnya Abu Yazid ke masjid untuk mempelajari al-Quran pada usia tujuh tahun. Abu Yazid juga merupakan murid kepada Imam Hanbali.

Suatu hari, gurunya mentafsirkan satu ayat yang bermaksud;

“Dan, Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah dan menghentikan penyusuan dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku tempat kembalimu.”Surah Luqman:14

Ayat ini benar-benar membuatkan hati Abu Yazid bergetar. Kemudian, beliau meminta izin kepada gurunya untuk pulang ke rumah menemui ibunya lantas dibenarkan.

Setibanya di rumah, ibu Abu Yazid menyambutnya dengan berkata;

“Wahai anakku, mengapa engkau pulang? Apakah engkau mendapat hadiah atau berlaku sesuatu yang istimewa pada dirimu?”

Kata Abu Yazid kepada ibunya;

“Tidak, wahai ibuku. Ketika dalam pengajian, guruku ada menyatakan satu ayat daripada firman-Nya yang memerintahkan agar aku berbakti kepadaNya dan ibu. Tetapi, aku tidak boleh menguruskan dua perkara ini serentak dan ayat ini benar-benar membuatkan dadaku sesak. Tetapkanlah padaku, sama ada aku ini menjadi milik ibu seorang atau serahkanlah aku kepada Allah semata-mata.”

Dengan penuh kasih sayang, ibunya membalas;

“Duhai anakku, aku serahkan engkau kepada Allah dan aku bebaskan engkau daripada semua kewajibanmu terhadapku. Pergilah engkau dan jadilah hamba Allah s.w.t.”

Setelah itu, Abu Yazid pun meninggalkan daerah Bustam dan mengembara ke seluruh pelosok dunia selama 30 tahun dan berguru dengan 113 orang.

Sepanjang pengembaraannya itu, beliau mendisiplinkan diri dengan berpuasa dan berjaga malam. Suatu ketika, setelah bertahun-tahun lamanya melaksanakan ibadah kepada Allah, jiwanya masih tidak berasa aman.

Abu Yazid yakin, pasti ada sesuatu yang berlaku terhadap dirinya itu. Namun, beliau tertanya-tanya sendiri akan penyebabnya. Detik hati Abu Yazid;

“Adakah ada perkara haram masuk ke dalam tubuhku ini?”

Dalam keadaan bimbang itu, beliau teringat pada ibunya lantas, segera pulang ke Bustam dan menemui ibunya. Abu Yazid bertanya kepada ibunya;

“Wahai ibuku, selama ini aku tak pernah merasakan nikmatnya iman tatkala aku bermunajat kepada Allah. Maklumkanlah padaku sekiranya ibu mengetahui sebabnya.”

Ibunya hanya diam dan tidak menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh anaknya itu.

“Ibu, maafkanlah aku. Adakah ibu masih ingat, ketika aku berada dalam kandungan ibu atau saat aku menyusu, ibu pernah memakan sesuatu yang bukan hak ibu?”

Ibu yang dikasihinya itu berfikir dan mengingat kembali apa yang berlaku. Lama juga ibunya terdiam dan akhirnya, beliau berkata;

“Wahai anakku, kini baru kuiingat. Suatu masa dahulu saat engkau masih dalam kandungan, ibu naik ke atas rumah lalu terlihat roti yang sedang dijemur milik jiran. Ibu teringin untuk merasa sedikit roti itu. Lalu, ibu mengambilnya sedikit dan memakannya. Sungguh, ibu lupa untuk meminta izin kepada pemiliknya.”

Abu Yazid mendengar dengan teliti apa yang diungkapkan oleh ibunya, kemudian berkata;

“Wahai ibu, sungguh hal itulah yang menjadi penyebab mengapa hingga kini aku tidak dapat merasakan ketenangan saat beribadah kepada Allah s.w.t. Dengan itu, aku memohon kepada ibu supaya mencari pemilik roti itu untuk minta dihalalkan makanan yang ibu telah makan.”

Tanpa berlengah, ibunya keluar menemui pemilik roti itu yang juga jiran tetangganya. Setelah diceritakan hal yang berlaku, pemilik roti itu pun menghalalkan roti yang telah dimakannya lama dahulu. Sejak itu, Abu Yazid mulai berasa tenang dalam ibadahnya.

Abu Yazid juga dikenali sebagai salah seorang ulama sufi terkenal. Beliau wafat pada tahun 260H/874M dan dimakamkan di tempat kelahirannya, Bustam.

“Ketahuilah, bahawa makanan yang halal akan menyinari hati, melembutkannya dan menyebabkan adanya rasa takut kepada Allah serta rasa khusyuk kepada-Nya, memberikan semangat dan motivasi pada anggota tubuh untuk taat dan beribadah, juga menumbuhkan sikap zuhud terhadap dunia dan kecintaan pada akhirat. Dan, inilah sebab diterimanya amal soleh dan dimakbulkan doa kita.”Kata Mutiara al-Habib Abdullah bin Alawiy al-Haddad

“Wahai saudara-saudaraku, hati-hati telah menjadi kaku dan beku. Tiada lagi bekas dan pengaruh daripada al-Quran mahupun nasihat para ulama. Dan, kita tidak tahu apakah penyebab kekerasan hati itu.
Ketahuilah, penyebab terbesarnya adalah kerana makanan yang kotor (syubhah atau haram), masuk ke dalam perut kita. Ramai orang tidak peduli bahkan tidak takut jika jatuh kepada perkara yang haram. Sungguh, mereka mengambil ringan hal ini.
Bagaimana mungkin nasihat ini akan memberikan pengaruh yang membekas di hati, sedangkan makanannya dari sumber yang haram. Mudah-mudahan, Allah s.w.t menjauhkan kita dari perkara yang haram di mana-mana pun kita berada, serta menghalang diri kita daripada terjebak pada perkara haram.”Kata Mutiara al-Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.