Featured Small, Ibadah

9 Tips Mudah Menghafal Al Quran

Oleh Neeza Zaini  •  12 Dec 2017  •  8 min baca

Al Quran, secara statistiknya mempunyai 114 surah dengan keseluruhan 6236 ayat.

Walaupun bilangan yang dinyatakan itu tampak besar, namun Allah S.W.T telah memudah untuk kita menghafal setiap bait ayat-ayat kalamullah tersebut. Allah S.W.T berfirman;

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?Surah al Qamar:17, 22 ,32 ,40

Allah S.W.T menjaga setiap patah ayat-ayat-Nya dari diubah, ditukar atau hilang dengan meletakkannya ke dalam hati-hati orang yang menghafal Al Quran.

Walaupun Allah S.W.T berfirman dengan menyatakan bahawa Al Quran itu dijadikan mudah, namun ianya tidaklah boleh dilakukan seperti hanya dengan memetik jari, seluruh isi Al Quran terus tersemat di dada.

Sama seperti kegiatan atau aktiviti lain, untuk mendapatkan hasil, perlu ada usaha ke arah tersebut.

‘Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya,’ maka seorang yang mahu menyimpan Al Quran di dalam hati perlu berusaha ke arah itu.

Menurut kajian saintifik, usia terbaik bagi seseorang untuk mudah menyerap setiap apa yang dipelajari nya adalah di antara usia 5-23 tahun.

Pada umur ini, sel-sel otak adalah pada tahap aktif untuk proses pembelajaran dan tahap ingatan juga adalah pada tahap kemuncak.

Julat usia ini adalah bonus yang perlu dirembat dan tidak dipersia-siakan kepada mereka yang ingin menghafal Al Quran.

Namun begitu, mereka yang telah melepasi jeda umur 5-23 tahun masih boleh dan mampu untuk menghafal Al Quran.

Jadi bagaimana mahu menghafal dengan mengekalkan motivasi terutama sekali bagi mereka yang telah berusia, bukan lagi kanak-kanak atau remaja belasan tahun?

Di sini disertakan 9 tips praktikal dan berkesan bagi memudahkan perjalanan seseorang yang ingin menjadi “Pembawa Quran” di dalam hati;

#1 – Niat Yang Ikhlas

Langkah pertama untuk memudahkan perjalanan seseorang untuk menghafal Al Quran adalah dengan menanam niat yang betul di dalam hati.

Seseorang perlu ikhlas, mengejar ganjaran dan melakukannya kerana Allah S.W.T semata-mata.

Bukan lah menghafal Al Quran untuk menunjuk-nunjuk berbangga diri, mengharapkan kehormatan orang ramai atau ganjaran dunia lain seperti jawatan Imam Masjid dan sebagainya.

#2 – Perbaiki Sebutan Dan Bacaan Al Quran

Al Quran sebenarnya dihafal secara audio, melalui lenggok dan intonasi sebutannya, bukanlah secara patah-patah huruf atau pembacaan.

Disebabkan ini, kanak-kanak kecil yang telah lancar bercakap mampu untuk menghafal ayat-ayat Al Quran walaupun mereka masih lagi buta huruf.

Oleh itu, jika kita masih lemah dalam ilmu tajwid kita masih boleh menghafal Al Quran dengan sebutan huruf yang betul dan tepat.

Caranya ialah dengan memperdengar bacaan Qari yang mempunyai lenggok bacaan yang hampir sama dengan kita.

Namun, janganlah disebabkan kemudahan seperti ini, kita mengambil ringan akan pengetahuan ilmu tajwid.

Pengetahuan ilmu tajwid masih penting kerana ia menjelaskan mengapa dan bagaimana sebutan-sebutan tersebut. dibuat secara terperinci.

#3 – Menghafal Dengan Menggunakan Satu Mushaf Sahaja

Setiap Al Quran (yang berbeza penerbitan) mempunyai corak permukaan yang berbeza.

Jika kita menghafal dengan menggunakan satu mushaf sahaja, kita akan fasih dengan tulisan khat pd Al Quran tersebut dan ini mudah untuk hafalan secara visual.

Jika kita kerap menukar Al Quran semasa proses penghafalan, minda kita akan mudah terkeliru dan ini menyukarkan proses penghafalan.

#4 – Pelajari Bahasa Arab Dan Makna Ayat Untuk Memantapkan Hafalan

Pemahaman setiap bait ayat atau pun pengetahuan makna walau hanya sepotong perkataan (contohnya: jannah – syurga, jahannam – neraka) dapat membantu kita dalam proses penghafalan.

#5 – Membuat Strategi Hafalan

Berikut diterangkan secara ringkas strategi untuk menghafal yang mungkin boleh dicontohi oleh para pembaca:

#1- Tulis Dan Tandakan Pada Mushaf
dengan jelas berapa potong ayat yang ingin dihafal dalam sehari. Sebagai contoh, jika kita ingin menghafal 3 baris ayat sehari, mulakan dengan membaca ayat-ayat tersebut terlebih dahulu daripada mushaf (baca minimum 10 kali).

#2- Menghafaz Secara Berdikit-Dikit

jika kita tidak yakin dengan ayat yang dibaca secara hafalan (samada betul atau tidak)lihat kembali pada mushaf. Setelah yakin hafalan ayat tersebut baru ke strategi seterusnya.

#3- Menghafal Tanpa Melihat Mushaf
Jika kita masih tidak pasti sama ada bacaan kita betul atau salah (terutama dari segi harakat) kita boleh merekod suara kita semasa menghafal dan kemudian menyemak hafalan dengan mushaf.

Jika didapati hafalan adalah betul dari segi bacaan dan tajwid. Teruskan lagi.

#4- Menghafal 3 Baris Ayat Tersebut Sambil Melakukan Pekerjaan Seharian Kita
Ya, kita boleh menghafal sambil memandu, memasak, ketika menunggu dan sebagainya. Gantikan lagu-lagu di dalam kepala kita dengan ayat-ayat hafalan.

#5- Esok Hari Tambah 3 Ayat Baru Ke Dalam Strategi Hafalan Kita
Kaedah sama digunapakai – baca dari mushaf minimum 10 kali, kemudian menghafal secara berdikit di samping dipimpin oleh mushaf, kemudian menghafal secara tidak melihat kepada mushaf sehingga hafalan adalah mantap.

Namun, 3 baris ayat baru apabila telah tersemat di minda ini, kemudiannya diulang hafalan dengan ayat-ayat yang telah dihafal hari sebelumnya.

#6- Baca Secara Hafazan Keseluruhan Ayat-Ayat Yang Telah Dihafal
Ketika di penghujung hari, sebelum merehatkan diri untuk tidur, (maksimum semuka surat) dengan merekodkan bacaan tersebut dan perdengarkan dengan melihat pada mushaf untuk memerhati hafazan terdapat sebarang kesilapan atau tidak.

Dalam seminggu ada 7 hari – kita boleh merancang untuk menghafal ayat-ayat baru selama 5 hari dan 2 hari berikutnya digunakan untuk mengulangkaji hafalan supaya hafalan semakin mantap.

Ayat-ayat yang telah dihafal, dimasukkan sebagai bacaan (selepas Al-Fatihah) di dalam solat supaya kita lebih seronok untuk menghafal (dapat membaca ayat atau surah baru semasa solat) di samping menambahkan lagi ketajaman ingatan kita terhadap ayat-ayat yang telah dihafal.

Walaupun strategi dan kaedah ini kelihatannya seperti menghafaz secara sendirian, seseorang masih memerlukan seorang guru untuk membantu dalam mencapai target hafalan dan menyemak kelancaran hafalan tersebut.

Carilah seorang guru yang membolehkan kita hormat dan takut padanya. Beliau akan mendisiplinkan dan memotivasi kita untuk terus berjaya dalam perjalanan menghafal Al Quran.

#6 – Teruskan Tilawah

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar ra, bahawa Rasullullah S.A.W bersabda:

Sesungguhnya perumpamaan orang yang menghafal Al Quran itu seperti unta terikat. Apabila dia menjaganya, maka unta itu akan tetap ada ditempatnya dan apabila dia melepaskannya maka unta tersebut akan lari. Riwayat Al-Bukhari

Jadi, apabila telah memulakan perjalan menghafal Al Quran, jangan sesekali berhenti atau meninggalkannya.

Teruskan perjalanan dengan terus membaca ayat-ayat yang telah dihafal atau ayat-ayat baru yang akan dihafal setiap masa dan ketika.

Namun sekiranya kita berada di dalam keadaaan yang menyebabkan kita tidak mampu membaca Al Quran, kita masih boleh memilih untuk mendengar Al Quran.

Membaca dan mendengar Al Quran setiap masa dapat membiasakan diri kita dengan ayat-ayat Allah S.W.T supaya tidak terlupa atau terkeliru.

#7 – Adab Berdamping Dengan Al Quran

Al Quran tarafnya bukanlah sama dengan buku-buku lain yang boleh kita perlakukan dengan sesuka hati. Ia merupakan kalamAllah dan terdapat adab-adab yang perlu kita patuhi untuk berdamping dengannya.

Seseorang perlu berada dalam keadaan bersih, mempunyai wuduq, dan seboleh-bolehnya berada pada kedudukan mengadap kiblat apabila berhubung dengannya.

Antara masa terbaik untuk menghafal Quran pula adalah pada dini malam, di mana seisi rumah sedang nyenyak tidur dan suasana adalah aman dan tenang sekali.

#8 – Adab Pada Diri Sendiri Sebagai Bakal “Quran Bearer”

Sebagai seorang yang bakal “Pembawa Quran” di dalam diri, seseorang perlu bertaqwa dan menjaga diri (penglihatan, pendengaran, percakapan) daripada perkara maksiat.

Hati yang diharapkan untuk menampung kitabullah haruslah suci, bersih dan jauh daripada hal-hal yang mengotorinya.

Perkara-perkara maksiat boleh menjadi titik hitam pada hati dan ini menyukarkan diri sendiri untuk mengingati ayat-ayat Al Quran yang suci.

Di samping itu, makan makanan yang halal lagi berkhasiat (seperti madu, habatussawda, badam) untuk mempertajamkan ingatan.

#9 – Bersandar Hanya Pada Allah S.W.T

Berdoalah dengan yakin dan sabar hanya kepada Allah S.W.T, kerana setiap kemudahan datang daripada-Nya.

Nikmati setiap bait-bait ayat yang sedang dan telah dihafal. Perjalanan menghafal Al Quran jika dilakukan kerana Allah S.W.T semata-mata adalah satu perjalanan yang menyeronokkan dan penuh dengan pelajaran.

Antara pelajaran yang paling utama semasa proses penghafalan adalah mempelajari ayat yang dihafal dan mengamalkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Akan diseru kepada Shahib Al Quran : Bacalah dan naiklah ke tingkat darjat Syurga yang lebih tinggi (hampir dengan para nabi), bacalah dengan tartil (bertajwid dan yang berkaitan) sebagaimana kamu baca dengan tartil ketika di dunia. Sesungguhnya martabat dan darjat kamu di syurga adalah ayat terakhir yang telah kamu baca. Hadith Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud

Persoalannya: Berapakah tingkat darjat yang mampu kita daki pada Hari Kebangkitan kelak? Berapa pula tingkat darjat yang kita mahu daki sekarang?

*** Artikel ini saya tulis berdasarkan ringkasan pembacaan buku Sehingga Al Quran Terpahat di Hati tulisan Mohd Solleh Ab Razak dan buku Cara Mudah dan Cepat Menghafal Al Quran tulisan Dr Yahya n ‘Abdurrazzaq al-Ghautsani. Berkongsi pengalaman sendiri, saya baru sahaja memulakan perjalanan menghafal Al Quran awal tahun ini tatkala berusia 38 tahun.

Alhamdullillah, bergelumang dengan kesibukan sebagai seorang emak kepada 4 orang anak, menguruskan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan, di samping menghadiri beberapa kelas agama secara dalam talian, saya telah berjaya mengkhatam hafalan Juzuk Amma dan kini meneruskan hafalan kepada surah-surah lain.

Perjalanan saya masih jauh namun saya berharap perkongsian ini dapat memberi motivasi kepada pembaca di luar sana yang ingin turut sama menghafal Al Quran. Usia dan kesibukan bukan penghalang. Tekadkan hati, teruskan usaha, insya Allah, Dia akan membuka jalan dan memberi kemudahan. ***


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Neeza Zaini

Neeza Zaini

Seorang yang minimalis dan sangat suka membaca. Berkelulusan Sarjana Sains Mikrobiologi tetapi memilih untuk 'berkhidmat' sebagai seorang surirumah, di samping menjalankan perniagaan sambilan menjahit dan menjual baby-carrier jenama NeezaNeedles.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami