Siapa yang tidak mahu bahagia? Semua orang menginginkan kebahagiaan. Ramai orang berfikir dengan kaya dan harta melimpah ruah maka dia akan bahagia, tapi dia silap.

Ada juga yang fikir dengan ada pangkat dan jawatan pula mereka akan jadi bahagia dan ternyata mereka juga silap.

Sesungguhnya kebahagiaan itu tidak datang dengan banyaknya harta atau tingginya pangkat dan jawatan kita.

Tetapi kebahagian itu akan datang apabila kita menjaga hak-hak Allah dan hak-hak manusia lain.

Di sini izinkan saya untuk berkongsi tentang 9 tips untuk mencari kebahagiaan dalam hidup;

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

#1 – Bersyukur Dengan Setiap Pemberian

Sikap kita adalah sentiasa meminta lebih daripada apa yang Allah kurniakan kepada kita. Kita mempersoalkan kenapa kita tidak dapat itu, kenapa kita tak dapat ini, kenapa orang lain ada dan kenapa aku tidak ada?

Kita meminta lagi dan lagi tanpa kita sedari untuk mensyukuri dan menerima apa yang sudah ada dengan kita.

Kita sudah punya motor kita marah kenapa kita tidak ada kereta seperti orang lain, setiap kali hujan bila naik motor kita akan basah sedangkan masih ramai lagi insan di sekeliling kita yang hanya berjalan kaki. Motor pun tidak mampu untuk mereka miliki.

Apabila kita inginkan sesuatu yang lebih, pandanglah kebawah. Lihatlah masih ada ramai insan yang lebih perit ujiannya.

Masih ingatkah kita pada Rasulullah S.A.W? Rasulullah insan yang agung namun tidur baginda hanya beralaskan belulang iaitu kulit yang diisi pelepah tamar.

Rasulullah kekasih Allah namun Rasulullah selalu menahan lapar sehingga terpaksa mengikat batu di perut kerana ketiadaan makanan.

#2 – Reda Dengan Sesuatu Yang Terjadi

Ada yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan ditimpa kecelakaan. Manakala ada pula yang diuji dengan kehilangan mereka yang disayangi.

Namun sebagai manusia, kita hendaklah reda dan menerima suratan yang telah terjadi.

Cuba kita imbas kembali sejarah Nabi Muhammad S.A.W yang mana baginda sejak kecil telah kehilangan ayahanda tercinta, tidak lama selepas itu, Baginda telah kehilangan ibunya, datuknya, bapa saudaranya dan isteri tercinta.

Di mana kehilangan demi kehilangan ini telah Rasulullah terima dengan reda dan berlapang dada.

Baginda kehilangan isteri tercinta dan bapa saudaranya yang mana khadijah dan Abu Thalib merupakan penyokong utama dalam dakwah baginda.

Sehingga apabila kematian kedua pendokong utama ini, baginda lebih teruk dikecam oleh masyarakat pada waktu itu. Kematian yang bertubi-tubi ini menyebabkan tahun itu telah digelar Aamul Huzni (Tahun dukacita).

Namun Rasulullah tetap tabah dan kuat dalam menghadapinya.

#3 – Tidak Dengki Dengan Kelebihan Orang Lain

Untuk mencapai kebahagiaan, kita haruslah mendidik hati kita untuk tidak dengki dengan kelebihan orang lain.

Jangan berkata “kalau”. Contohnya;

“Kalaulah aku pandai macam dia, kalaulah aku cantik macam dia, Kalaulah aku kaya macam dia”.

Sebaliknya cuba teliti diri kita. Kita sebenarnya sudah Allah jadikan dengan cukup sempurna. Allah memberikan sesuatu sesuai dan tepat dengan keadaan diri kita.

Mungkin saja jika Allah jadikan kita kaya-raya maka dengan kekayaan itu kita akan gunakan ke arah kebatilan.

Jika kita dengki, ianya seolah-olah kita memperkecilkan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Rasulullah bersabda;

“Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan”Riwayat Muslim

#4 – Tidak Sombong Dengan Apa Yang Dimiliki

Kita kaya, kita berpangkat tinggi. Tetapi apabila berjumpa orang miskin kita jijik melihat mereka.

Kita selalu menengking pekerja bawahan kita, bahagiakah kita? Ya tepat sekali jawapannya adalah tidak.

Kesombongan hanyalah membawa kepada kebinasaan. Sekalipun kelebihan yang ada pada kita melebihi apa yang ada pada orang lain itu bukanlah alasan untuk kita menyombongkan diri.

Gunalah kelebihan yang kita ada untuk manfaat dan kebaikan orang lain. Lupakah kita kepada kisah Fir’aun?

Yang mana firaun yang memiliki kekayaan dan kekuasaan namun akibat kesombongannya akhirnya ianya membawa kepada kemusnahan dirinya sendiri.

Apabila kita berpangkat, gunalah pangkat kita untuk memudahkan orang bawahan kita, buatlah sesuatu untuk kebajikan mereka nescaya kita akan bahagia.

#5 – Sentiasa Membantu Dan Menolong Orang Lain

Pernah dengar tak yang apabila kita lebih banyak memberi kita akan mendapat lagi banyak dari apa yang kita beri?

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Sama halnya dengan apabila kita membantu orang lain yang sedang berada dalam kesusahan, kita membantu keperitan yang sedang mereka hadapi maka dengan sendirinya kita akan merasa bahagia.

Kita akan merasa bahagia kerana mampu untuk menghadiahkan senyuman kepada orang lain.

Oleh itu, untuk mencari kebahagiaan carilah peluang untuk menolong orang lain tidak kisahlah dari segi tenaga, wang ringgit, idea dan sebagainya mengikut kadar kemampuan kita.

Dari Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah S.A.W bersabda;

“Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan di akhirat”Riwayat Muslim

#6 – Melebarkan Senyuman

Tahukah kita sebenarnya apabila kita senyum kita akan menyebarkan aura positif di sekeliling kita?

Rasulullah adalah antara orang yang sangat suka senyum. Terdapat di dalam satu hadis;

“Saya tidak pernah melihat seseorang yang lebih sering tersenyum daripada Rasulullah S.A.W” Riwayat Tirmidzi dan Ahmad

Setiap hari bermula bangun daripada tidur, berikan senyuman kepada sesiapa yang kita jumpa. Melebarkan senyuman adalah sama seperti menyebarkan kebaikan.

Berilah senyuman kepada sesiapa sahaja walaupun orang itu pernah menyakiti hati kita. Percayalah ada yang akan mendapat kebahagiaan dengan senyuman kita.

#7 – Tidak Berdusta Dan Berbohong

Sesungguhnya penyakit bicara itu adalah pembohongan. Biasanya jika seseorang itu pernah melakukan pembohongan maka orang akan susah untuk mempercayainya lagi.

Bercakap dan bertindaklah dengan jujur. Jika kita mula berbohong, kita akan mula mengurangkan kepercayaan orang lain kepada kita.

Lama kelamaan kita akan disisihkan dan ditinggalkan. Percayalah jika kita jujur, akan ada hikmah dan kebaikan disebaliknya nanti.

Tirulah Rasulullah S.A.W yang tidak pernah berbohong. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud;

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya,sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati,semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”Surah Al-Isra ayat 36

#8 – Meletakkan Allah Yang Utama

Ini adalah cara dan petua yang utama untuk meraih kebahagiaan. Letakkan Allah sebagai yang utama dihati kita, di setiap tingkalaku dan gaya hidup kita.

Ketika hendak berbuat sesuatu, cuba tanya diri kita adakah ini yang Allah mahu? Jika ya, maka lakukanlah.

Selain itu, letakkan Allah sebagai pergantungan yang utama. Bergantunglah kepada-Nya. Ketika menghadapi sesuatu kesulitan dalam hidup, rujuklah Allah. Bersangka baiklah kepada Allah supaya kita tahu di setiap kesulitan yang kita hadapi.

Apabila semua perkara kita sandarkan kepada Allah, maka apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita tidak akan menimbulkan kerisauan dan kegelisahan.

#9 – Mendekatkan Diri Dengan Al-Quran Dan Sunnah Nabi

Di dalam al-quran banyak menceritakan kisah-kisah dan kata-kata hikmah yang boleh menjadi panduan hidup kita.

Bukankah al Quran itu merupakan surat cinta dari Allah? Dekatkanlah diri kita dengan al Quran.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Al Quran juga mampu memberikan ketenangan kepada hati-hati yang dilanda keperitan kerana setiap kalimah di dalam al Quran itu sendiri adalah perkataan-perkataan indah daripada Allah kepada hamba-Nya.

Di samping itu jangan lupa untuk sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W. Sekiranya tidak mampu, maka lakukanlah sekadar yang kita mampu.

Contohnya wajibkan diri kita membaca al Quran sekurangnya sehelai sehari, berselawat kepada Rasulullah S.A.W sekurangnya 30 kali dalam sehari.

Dengan kita mendekatkan diri dengan al Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W. Kita pasti akan mendapatkan kebahagiaan.

Saya percaya dan yakin sekiranya kita benar-benar mengamalkan 9 tips kebahagiaan yang saya kongsikan di atas kita akan mampu mencari cahaya kebahagiaan dalam hidup.

Ingatlah Allah sentiasa akan bersama-sama dengan hamba-Nya di dalam apa jua keadaan kita. Berdoalah setinggi langit sekalipun, Allah tidak akan pernah meninggalkan kita.

Tentang Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.