Masih ingat lagikah pembaca dengan nama Ammar atau nama sebenarnya, Ahmad Ammar bin Ahmad Azzam. Beliau telah mencetuskan satu fenomena luar biasa suatu masa dahulu, sama ada dalam Malaysia mahupun negara luar.

Ammar adalah satu-satunya pemuda Malaysia yang terpilih untuk mati syahid di bumi Turki. Apakah yang menarik mengenai Ahmad Ammar sehingga beroleh darjat yang begitu tinggi sebegitu? Apakah yang dilakukan sewaktu kehidupannya? Berikut dikongsikan bersama;

#1 – Memiliki Keperibadian Dan Akhlak Yang Mulia

Ammar amat disenangi oleh rakan-rakan, guru mahupun mereka yang mengenalinya. Ini kerana akhlak Islam yang ditonjolkan dalam dirinya menyerlahkan lagi kemuliaan dirinya.

Senyuman, gelak tawa yang sopan, kata-kata yang tersusun rapi keluar dari mulutnya, suka membantu dalam diam dan pelbagai lagi sifat mahmudah lain ‘melekat’ pada dirinya. Hal ini diakui sendiri oleh mereka yang pernah bertemu dan berteman dengannya.

#2 – Memiliki Visi Dan Misi Yang Begitu Besar

Ahmad Ammar semasa hayatnya berhasrat untuk menyebarkan pemahaman dan penghayatan agama Islam melalui apa yang diperolehi melalui kitab Tafsir Risalah An-Nur; tinggalan berharga Imam Badiuzzaman Said Nursi yang digelar ‘Penyelamat Akidah Bangsa’ pada zaman pemerintahan kejam Kamal Ataturk.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

#3 – Latarbelakang Keluarga

Ibu bapa Ammar merupakan mereka yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan melalui NGO PKPIM, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD).

#4 – Meminati Bidang Sejarah

Ammar amat meminati bidang Sejarah dan memilih bidang ini ketika melanjutkan pengajian di Turki. Ini kerana bidang inilah kita boleh mengutip segala pengajaran yang berlaku pada zaman dahulu agar tidak berulang pada masa ini.

Ammar gemar mengkaji sejarah Khilafah Uthmaniyyah dan menghayati perjuangan Imam Badiuzzaman Said Nursi yang mempertahankan bangsa Turki daripada pemerintahan yang kejam waktu itu.

#5 – Kehidupannya Seperti Biasa

Siapa sangka, pemuda ini pada masa hidupnya hanyalah seperti anak muda yang lain. Bergiat aktif dalam aktiviti sukan, kemasyarakatan, sering berulang alik ke masjid atau surau, bersenda gurau dengan teman ini tidaklah disanjung ketika hidupnya.

Bahkan, dia bukannya gemar bercakap melainkan hanya yang bermanfaat dan ketika perlu sahaja.

#6 – Kematiannya Memberi Inspirasi

Tanggal 2 November 2013, Ammar meninggal dunia iaitu ketika usianya 20 tahun dan serta merta berita pemergiannya tersebar ke seluruh dunia.

Bahkan, kematiannya itu juga menghidupkan jiwa anak muda lain yang ingin menjejaki gaya hidupnya yang berpaksikan akhirat.

#7 – Dikebumikan di Perkuburan Eyyub Sultan, Turki

Ammar dikebumikan pada 1 Muharram 1435 H bersamaan 4 November 2013 di kawasan Perkuburan Abu Ayyub Al-Ansari.

Seperti kita tahu, bulan Muharram adalah bulan yang cukup istimewa dalam kalendar Hijrah dan banyak peristiwa agung berlaku pada bulan ini suatu masa dahulu.

#8 – Mati Syahid

Terdapat tanda-tanda khusnul khatimah pada wajah Ammar sebelum dikebumikan.

Hal ini turut diakui sendiri oleh ibu bapa dan orang ramai yang menziarahinya apabila mendapati wajah Amar berpeluh di dahi dan sekeliling matanya sekalipun dia telah berada selama dua hari dalam bilik mayat. Rasulullah s.a.w bersabda;

“Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat (berpeluh) dahinya.”Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasai, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan At-Thayalusi daripada Abdullah bin Mas’ud

Ternyata kisah mengenai Ammar tiada kesudahannya sekalipun sudah bertahun dirinya pergi meninggalkan kita.

Fenomena Ahmad Ammar ini bukan sekadar berkongsi mengenai keperibadian mulianya sahaja, akan tetapi ia sebagai batu loncatan dan simbol kebangkitan pemuda pemudi Islam untuk menjadikan Islam sebagai panduan hidup dan akhirat adalah tempat rehat yang abadi.

Benarlah, jika seseorang itu berniat ikhlas dan jujur dalam menyampaikan kebaikan, pasti Allah swt memberkatinya.

Unik bukan, seorang anak muda yang bukan siapa-siapa di mata masyarakat, tidak memiliki pangkat atau apa jua pencapaian dunia boleh ‘menempa’ nama ketika dirinya sudah tiada.

Sungguh, dirinya begitu istimewa di sisi Allah s.w.t bahkan sehingga kini cerita mengenai dirinya juga seakan tidak puas untuk didengar berulang kali.
Renungilah sabda Rasulullah s.a.w ini yang bermaksud,

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain.”

Moga kita juga dapat mencontohi keperibadian mulianya dalam melayari sisa-sisa kehidupan yang berbaki ini. Dirinya telah tiada tetapi semangatnya tetap membara. Al-Fatihah buat Allahyarham Ahmad Ammar bin Ahmad Azzam (15 Februari 1993 – 2 November 2013).

Tentang Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.