Telah berkata Syeikh Ibn Ata’illah Iskandari dalam al-Hikam;

“Sebaik-baik permintaan yang seharusnya kamu mohon daripada Allah adalah kemampuan melaksanakan apa sahaja yang Allah perintahkan kepada kamu.”

Syeikh Said Hawa dalam mensyarahkan hikmah ini berkata;

“Apa yang dinyatakan oleh Syeikh Ibn Atha’illah ini seolah-olah ingin menarik perhatian manusia agar mengutamakan sebaik-baik permohonan dan hajat iaitu memohon kepada Allah S.W.T agar dikurniakan kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kepada-Nya serta menjauhi cinta dunia”

Masya-Allah! Dengan hati yang terikat dengan akhirat, sudah tentu hati tersebut mampu mengecapi kebahagiaan dan rasa ketenangan yang hakiki.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Kali ini, saya ingin berkongsi tujuh tips bagaimana kita mencapai nikmat ketenangan yang sebenarnya walaupun hidup kita tidak lari daripada ujian dunia.

#1 -Membaca Al-Quran

Dalam sebuah program khidmat masyarakat, saya berpeluang untuk bergaul dengan rakan-rakan daripada daerah yang berbeza di negara seberang Indonesia.

Saya pernah berkongsi dengan mereka tentang kepentingan membaca Al-Quran dalam kehidupan. Bagi saya, setiap individu perlu dididik agar menyedari hakikat kepentingan membaca Al-Quran dan beramal dengannya.

Ada yang menangis apabila mendengar ayat Al-Quran dialunkan. Ada yang tersentuh apabila mentadabbur (menghayati) makna setiap ayat di dalam Al-Quran. Ada yang mula bersungguh-sungguh mempelajari Al-Quran.

Subhanallah! Begitu hebatnya Al-Quran itu menyentuh setiap jiwa manusia. Al-Quran yang membawa seribu satu cerita yang banyak memberi tarbiyah (didikan) terhadap manusia agar sentiasa mengingati perintah Allah dan mengambil iktibar dari setiap kisah di dalam Al-Quran.

Mari kita muhasabah sebentar, bilakah kali terakhir kita menangis saat kita membaca Al-Quran ?

#2 -Kuasa Istighfar

Daripada Ibni Abbas R.A, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah S.W.T akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya.” Riwayat Abi Daud

Sahabat saya selalu berpesan, jika saya dilanda masalah ucaplah istighfar. Ia ubat mujarab yang memberi ketenangan kepada hati.

Benar! Istighfar mampu mengembalikan kita kepada hakikat seorang hamba yang sangat berserah diri kepada-Nya.

Hanya kepada Allah kita memohon keampunan. Mengapa setiap kali kita diuji, hati kita akan rasa gelisah, risau, keliru dan adakalanya kita berputus asa?

Hal ini kerana sifat manusia yang lemah dan memiliki hati yang berbolak-balik menjadikan kita perlu segera memuhasabah hati dengan memohon keampunan daripada-Nya.

#3 -Jaga Solat!

Solat merupakan tiang agama bagi setiap muslim. Rapuhnya tiang pastilah akan mudah roboh sesebuah bangunan yang dibina.

Menjaga solat fardu menjadikan kita seorang muslim yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah yang Allah berikan.

Allah S.W.T telah berpesan kepada hamba-Nya agar sentiasa sabar dan solat sewaktu menghadapi ujian hidup. Dari situlah dapat kita lihat bahawa solat merupakan elemen penting dalam meningkatkan ketaqwaan dalam diri.

Sikap negatif yang ada dalam diri kita seperti malas, panas baran, kecewa, putus asa dapat diubati dengan menjaga kewajipan solat lima waktu.

#4 -Zikrullah

Mari kita dengar apa kata ulama? Al-Hassan berkata;

“Sesungguhnya ahli bijaksana sentiasa menyilih gantikan antara zikir dan fikir, sehingga hati mereka menjadi subur, lantas mereka dapat bercakap dengan perkara yang berhikmah.” Ihya’ Ulum Al-Din: 5/6

Zikrullah bukan sahaja dapat memberi ketenangan pada hati malah dengan zikrullah dapat menjaga diri kita daripada godaan syaitan.

Tips agar terhindar daripada godaan syaitan;
#1- Beristi’azah (memohon perlindungan Allah daripada godaan syaitan). Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah.”Surah Al-A’raf 7:200

#2- Membaca 3 Qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas.

#3- Membaca ayat Kursi sebelum tidur.

#4- Membaca surah al-Baqarah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” (Riwayat Muslim)

#5- Membaca dua ayat yang terakhir daripada surah al-Baqarah setiap malam.

#6- Banyak mengingati Allah S.W.T.

#7- Berwuduk dan melakukan solat.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

#8- Menahan diri daripada melihat, berbicara, makan dan bergaul yang melampaui had dan batas kerana syaitan dapat menguasai manusia melalui empat perkara iaitu pandangan, ucapan, makanan dan pergaulan.

*Sumber: Isham bin Muhammad al-Syarif, al-Jami’ al-Sahih min Ahadith al-Nisa’

#5 -Jauhi Syirik Kecil Dan Besar

Syirik merupakan satu kezaliman kerana manusia menghumbankan dirinya yang telah dimuliakan oleh Allah ke kancah penyembahan terhadap sesuatu yang langsung tiada harga dan nilai.

Syirik besar boleh menyebabkan pelakunya keluar daripada Islam dan menjadikannya kekal di dalam neraka, jika ia meninggal dunia dan belum bertaubat.

Ia membabitkan perbuatan ibadat yang bertentangan dengan tauhid; iaitu seseorang yang menyekutukan Allah dengan tuhan yang lain pada zat dan sifatnya atau ia menyembah selain daripada Allah S.W.T.

Tiga keadaan yang menyebabkan syirik iaitu menerusi iktikad seperti mempercayai bahawa terdapat kuasa lain selain Allah S.W.T yang boleh memberikan manfaat dan menolak mudarat.

Selain itu, menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan, bintang atau objek tertentu.

Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik.

Seterusnya, menerusi lidah atau perkataan seperti bersumpah dan bernazar selain daripada Allah S.W.T, dengan berkata: (semua yang berlaku ini dengan kehendak Allah dan kehendakmu) dan sebagainya.

Syirik kecil pula ialah syirik yang tersembunyi iaitu tidak menyebabkan pelakunya keluar daripada Islam, tetapi ia mengurangkan iman dan merupakan wasilah (perantara) kepada syirik besar.

Ia membabitkan syirik pada pegangan kepercayaan, seperti sifat riyak dalam ibadat, ujub, takabbur, nazar bagi selain daripada Allah dan sumpah dengan sesuatu selain Allah.

Diriwayatkan daripada Mahmud Bin Labib, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan terhadap kalian adalah syirik kecil.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Apakah syirik kecil itu, ya Rasulullah ?” Baginda S.A.W menjawab: “Iaitu riyak”. Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan al-Tabrani

Subhanallah, marilah kita sentiasa memperbaharui syahadah kita agar terhindar daripada perkara syirik.

Hal ini kerana hati yang suci adalah hati yang bebas daripada perkara yang mensyirikkan Allah dan dari segala perkara yang membawa kepada menyekutukan Allah.

#6 -Doa

Kuasa doa ini sangat memberi aura positif dalam hidup kita. Jangan pernah malas untuk berdoa, kita tidak mahu menjadi orang yang sombong dengan Allah. Mengapa saya kata begitu?

Allah telah berpesan kepada kita, mintalah apa sahaja daripada-Nya. Insya-Allah pasti akan dikabulkan. Allah S.W.T tidak tergamak untuk menolak permohonan doa hamba-hamba-Nya.

Cepat atau lambat sahaja. Sudah pasti Allah S.W.T akan mengabulkan setiap permintaan kita tepat pada masanya.

Di sini, saya ingin berkongsi adab-adab ketika berdoa;
#1- Dalam keadaan suci (berwuduk).
#- Berdoa dengan hati yang penuh tawaduk dan khusyuk.
#3- Perincikan setiap doa dengan sungguh-sungguh.
#4- Memulakan doa dengan tasbih kepada-Nya.
#5- Yakin doa akan dimakbulkan.

Mintalah apa sahaja kepada pencipta kita, hanya kepada-Nyalah kita meminta. Percaya, yakin dan istiqamah.

Insya-Allah pasti doa kita termakbul. Jangan lupa mintalah agar dikurniakan hati yang lapang dan tenang walau sesukar apapun ujian hidup yang kita hadapi. Senyum.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

#7 -Pekerjaan Yang Halal

Bila kita sebut soal pekerjaan, hal ini perlu dititik beratkan. Sesuatu pekerjaan yang hilang berkat akan mempengaruhi seluruh kehidupan kita sehingga akhirat nanti sekaligus meragut ketenangan di dalam hati.

Pekerjaan yang halal dan suci dari segala penyelewengan itulah matlamat yang ingin kita capai dalam mencari rezeki.

Kita perlulah sedar dan sentiasa memuhasabah setiap perkerjaan yang kita lakukan agar tidak terpalit dengan perkara-perkara yang haram.

Fenomena dalam masyarakat kita perlu diambil iktibar, situasi pekerjaan yang tidak menepati waktu, banyak berbual sesama rakan sekerja berbanding menyiapkan tugasan, penyelewengan duit syarikat dan sebagainya telah banyak berlaku di dalam masyarakat kita hari ini.

Dari situlah bagaimana untuk mengecapi ketenangan hidup jika setiap perbuatan kita tidak mendapat kerberkatan dan keredaan Allah S.W.T.?

Maka, binalah kerjaya kita dengan asa yang kukuh iaitu dengan adanya keberkatan waktu, kualiti kerja dan muamalat yang baik.

Barulah hasil yang diperoleh suci dan halal. Mari kita buat checklist ya agar kita bekerja bukan hanya mendapat lelah tetapi berkerjalah kerana Allah!

Ayuh! Mari kita lihat profesional dan unggulnya para Nabi dan Rasul dalam menjadi mukmin yang profesional dalam mengerjakan pekerjaan sehari-hari.

Kepakaran Hidup Para Nabi Dan Rasul

Bukan sahaja Rasulullah S.A.W, rasul-rasul yang lain juga mempunyai kedua-dua keunggulan itu. Kadang-kadang, sejarah keunggulan yang bersepadu itu terlepas pandang apabila kita membaca, mengkaji dan menceritakan kisah para rasul.

Selalunya kita lupa tentang faktor kepakaran para rasul dalam bidang masing-masing. Sedarkah kita?

#1- Nabi Adam A.S : Pakar dalam bidang pertanian (yang memulakan tamadun dalam kehidupan manusia generasi pertama).

#2- Nabi Nuh A.S : Pakar dalam bidang pengangkutan- arkitek dan jurutera – Pembina kapal besar yang mampu menahan banjir besar.

#3- Nabi Harun A.S : Pakar komunikasi

#4- Nabi Daud A.S : Pakar dalam industri besi.

#5- Nabi Idris A.S : Pakar dalam bidang tekstil (Jahit-menjahit pakaian)

#6- Nabi Isa A.S : Pakar perubatan.

#7- Nabi Yusuf A.S : Pakar ekonomi dan pentadbiran.

Semua itu mengajarkan kita bahawa untuk berjaya di dunia dan akhirat perlu memiliki dua keunggulan.

Pertama, kelakuan yang baik. Bekerja dengan jujur dan amanah. Kedua, kepakaran yang tinggi. Supaya dapat membangunkan umat Islam bagi mentadbir dunia dengan bercorakkan kepimpinan Islam.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara dalam hidup yang boleh membimbing hati dan peribadi kita. Segala perbuatan kita perlulah dalam acuan Allah agar dapat mencapai ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

7 tips ini hanya sebahagian daripada rahsia ketenangan yang boleh kita gali dan gali lagi. Banyakkan membaca dan beramal insya-Allah setiap apa yang kita lakukan mendapat keredaan Allah S.W.T. Semoga bermanfaat.

Rujukan :
Majalah Solusi Isu No. 21, Buku Wasiat Luqman Al-Hakim karya Ahmad Hasan Mohd Nazam, Mukmin Profesional karya Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Tentang Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.