“Aiman, dah Maghrib. Boleh solat!

Ok Ma!”

Selang beberapa minit, Aiman masih tak bergerak juga. Mama suruh Aiman solat, dan Aiman pun kata Ok. Perbualan ini berulang lagi seperti alarm handphone yang disnoozekan.

Sebenarnya, Mama pun dari tadi asyik menonton slot Akasia sahaja.

Anak-anak kecil kita dari usia 5-8 tahun biasanya telah diajar asas solat fardhu di sekolah. Di sana, mereka melakukannya kerana arahan guru. Tetapi, apabila kembali ke rumah, kitalah yang akan mencorakkan budaya bersolat si dia.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut
Kitalah yang akan mencorakkan budaya bersolat si dia.

Kitalah yang akan mencorakkan budaya bersolat si dia. [Flickr]

Ia tidak mudah, tetapi kita boleh cuba 7 tip ini untuk buatkan si kecil kita lebih gembira untuk bersolat.

1. “Comelnya anak Mama pakai telekung ni!”

Hadiahkan anak kita telekung, ketayap serta sejadah yang comel dan berwarna-warni. Biarkan jika si dia ingin memakainya sewaktu berangan-angan di rumah.

Koleksi pakaian solat untuk si kecil ini istimewa kerana kita dapat melatih si dia untuk menutup aurat juga. Jangan lupa sentiasa puji si dia sangat comel dan handsome bila mengenakannya.

2. Ini surau kecil kita

Pilih satu sudut di rumah sebagai surau kecil kita. Letakkan hamparan yang selesa untuk kita sekeluarga solat dan berehat sebentar. Solat bersama-sama dan ajarnya mengaji di sini. Jadikan surau ini sangat selesa untuknya dengan kusyen besar, dan kotak berisi buku cerita, alatan mewarna serta projek kraf mudah yang diimpikannya.

3. Inspektor Solat

Lantik si dia menjadi Inspektor Solat. Tugasnya seperti pengawas yang mengingatkan semua orang apabila waktu solat tiba. Cipta satu ayat kod seperti “Warning, warning, dah azan! Nak Allah sayang kita tak?”.Inspektor Solat sangat dihormati dan berkuasa menutup televisyen serta menyorokkan semua gajet di rumah.

4. “Jom solat! 5 minit aje”

Beritahu si kecil kita solat ini mudah, 5 minit sahaja. Walaupun keluar shopping atau bercuti, kita boleh berhenti solat di mana-mana asalkan pakaiannya sesuai dan tempatnya bersih. Kanak-kanak memang tidak sabar untuk berjalan-jalan dan bermain tetapi pujuk si dia, 5 minit sahaja. Kita juga bersiap dengan segera setelah selesai solat.

5. “Congratulations. You did it!”

Beli stiker comel di kedai buku untuk menghargai usaha si dia bersolat. Ia boleh berbentuk bintang, kereta, atau pun tulisan “Sangat Baik”. Gunakan kalendar, atau diari untuk menampal stiker ini dengan kreatif setiap hari. Beri hadiah istimewa kesukaannya jika si dia solat dengan konsisten, dan lebih istimewa, jika tanpa perlu disuruh lagi.

6. Hugs and kisses

Kanak-kanak akan sentiasa menjadi kanak-kanak. Kadangkala, mereka akan menjadi moody jika letih dan merajuk. Jika si dia enggan bersolat, berikan pelukan dan ciuman untuknya. Ucapkan terima kasih kerana rajin bersolat sebelum ini. Kita akan tunggu si dia menjadi rajin semula. Minta si dia berehat di tepi dan tunggu kita bersolat sebentar.

7. Solat itu doa

Sekiranya anak kita inginkan sesuatu seperti permainan, buku dan sebagainya, beritahu si dia untuk minta terus pada Allah. Jika hajatnya tercapai, beritahu si dia ia adalah kerana solatnya.

Begitu juga jika si dia merasa sedih atau takut, minta dia dating dan bercerita dengan Allah selepas solat nanti. Bukan mudah membuatkan anak kecil kita gembira dan rela hati untuk bersolat.

Tetapi, hati kecil mereka ini sangat penyayang, suci dan sentiasa mahu membuat kita ketawa dan gembira. Beritahu si dia, dengan bersolat, si dia akan menghantarkan kotak-kotak berisi hadiah istimewa kepada kita, setelah kita tiada nanti.

Jadikan saat kita solat bersamanya, satu kenangan yang sangat manis untuk dikenang.

Jadi, sudahkah kita buatkan anak kecil kita gembira untuk bersolat hari ini?

Tentang Dalin Ali

Dalin Ali

Seorang peguam yang jatuh cinta dengan menulis. Minimalis dan gemar belajar dari universiti kehidupan. Mencari bahagia yang pasti dengan mereka yang dikasihi.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.