Setiap kali tibanya Ramadan, pasti soalan-soalan ini berputar dalam benak fikiran sebahagian daripada kita.

Memang lumrah bagi manusia perlu sentiasa diingatkan, sekalipun hal tersebut telah acapkali dibincangkan.

Justeru, tiada salahnya jika penulis mengulang kembali persoalan yang kerap ditanya ketika Ramadan, dengan cara yang ringkas, mudah-mudahan. Berikut dikongsikan bersama;

#1 – Soalan

Adakah wanita yang haid semasa bulan Ramadan perlu mengqada’ (menggantikan) solat seperti qada’ puasa?

Jawapan

Tidak perlu mengqada’ solat. Wanita yang haid ketika bulan Ramadan hanya perlu menggantikan puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sahaja.

“Seseorang pernah bertanya kepada Aisyah r.anha; ‘Adakah perlu seseorang mengqada’kan solat apabila suci?’ Aisyah r.anha menjawab; ‘Kami haid pada zaman Nabi s.a.w. Baginda tidak menyuruh kami melakukannya’.”Hadis Riwayat Bukhari

#2 – Soalan

Adakah sah puasa bagi seseorang yang lupa untuk berniat puasa keesokan harinya kerana terlambat bangun sahur?

#Jawapan

Niat adalah lintasan hati atau apa yang sudah diqasadkan oleh hati sebelum melaksanakan sesuatu perkara.

Dalam keadaan di atas, hukumnya masih sah kerana dia hanya terlambat bangun sahur dan pasti malam sebelum tidur itu dia sudah pun niat untuk bangun cuma terlambat.

Teruskan berpuasa dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

#3 – Soalan

Bolehkah kita berniat puasa untuk sebulan terus?

#Jawapan

Boleh, diharuskan. Dan, tidak menjadi kesalahan jika ingin berniat setiap hari.

#4 – Soalan

Jika seseorang terlupa hari itu adalah bulan Ramadan, bangun dari tidur terus bersarapan seperti biasa. Tiba di tempat kerja baru teringat. Bagaimana pula keadaan begini?

#Jawapan

Lupa adalah lumrah bagi setiap manusia dan ia termasuk hilang kewarasan sebentar.

Apabila seseorang itu sudah kembali ingatannya secara normal, maka wajib baginya untuk meneruskan puasa. Ini berbeza dengan orang yang hilang akal atau gila, yang memang gugur kewajibannya daripada berpuasa.

#5 – Soalan

Jika seorang wanita didatangi haid 5 minit sebelum berbuka puasa, adakah puasa pada siang harinya sebelum itu sah?

#Jawapan

Tidak sah dan puasanya terbatal. Dia wajib menggantikan puasanya. Ini kerana waktu tersebut masih dalam tempoh berpuasa.

Melainkan, jika haid datang selepas waktu berbuka puasa.

#6 – Soalan

Bolehkah seseorang itu berbuka puasa dengan hanya merokok?

#Jawapan

Merokok adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan, sama seperti memasukkan makanan atau minuman.

Cuma, sebaiknya perlu dielakkan demi menghormati bulan yang mulia ini. Merokok bukan hanya memudaratkan kesihatan bahkan, fatwa pernah mengharamkan benda ini.

#7 – Soalan

Memasukkan sesuatu ke rongga badan akan membatalkan puasa. Bagaimana pula jika seseorang itu menggunakan inhaler (alat bantuan pernafasan), terutama bagi pesakit asma?

#Jawapan

Menurut pandangan para ulama kontemporari kini, penggunaan inhaler bagi orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya.

Ini kerana kajian perubatan menunjukkan bahawa 80% gas inhaler akan masuk ke dalam rongga badannya melalui saluran pernafasannya.

Adapun, bagi mereka yang menggunakan alat ini bagi tempoh tertentu hendaklah menggantikan puasanya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Manakala bagi mereka yang memerlukan alatan ini sepanjang hidupnya dan tiada harapan sembuh, maka hendaklah digantikan puasa tersebut dengan cara fidyah.

Moga perkongsian secara ringkas ini dapat menjawab beberapa persoalan yang bermain di benak kita tatkala menjelangnya Ramadan.

Jika terdapat persoalan lain, bolehlah dirujuk kepada para asatizah lain yang lebih faqih dalam membahaskan mengenainya. Moga penulisan ini memberi manfaat walau sedikit. Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.