Hari itu adalah hari istimewa dalam hidup Halimah. Kalau tiga bulan lalu, dia hanya sibuk termenung di ruang tamu, memandang deretan selendang yang tidak terjual.

Jika 90 hari sebelum hari itu, dia melihat deretan selendang pelbagai warna itu sambil mencari kesilapan para pelanggan yang tidak pernah mahu membeli barang jualannya.

Tetapi cara hidup Halimah berubah, selepas dia bertemu seorang wanita hebat pada bulan lalu. Deretan tudung itu bukan lagi masalah besar dalam hidupnya. Malah, ia menjadi cabaran yang mengujakan untuk disahut.

Halimah tersenyum nipis, mengenangkan perubahan yang sudah dibuat. Sejak sebulan lalu, dia menyediakan servis penghantaran dan pengambilan selendang di surau taman-taman perumahan di sekitar Sabak Bernam, dengan persetujuan ahli jawatankuasa surau.

Minggu hadapan, dia akan melebarkan langkah dengan menyediakan khidmat menambah aksesori pada selendang lama.

Sudah seminggu, Halimah sibuk menguruskan dua pekerja baru yang mahir menjahit dan membuat sulaman manik. Pada awalnya, ia hanya projek cuba-cuba yang diilhamkan anak perempuannya yang baharu selesai semester pertama di Politeknik Merlimau.

Puncanya, dia bosan melihat deretan tudung sama di almari dan mahukan sesuatu yang baru.

Siapa sangka, itulah kunci pintu kekayaan untuk keluarga Halimah. Buat kali pertama dalam hidupnya, dia mampu membayar harga tiket untuk kursus dua hari di ibu kota anjuran Puan Raihana. Harga tiket itu mahal, tetapi Halimah tahu, isi majlis itu jauh lebih berharga daripada jumlah yang dilaburkan.

Tidak seperti dirinya yang lama, Halimah dengan yakin mengambil tempat di barisan hadapan. Mahu duduk dekat dengan para penyampai ilmu, mahu bertentang mata dengan mereka. Menyerap aura positif pada jarak sedekat yang mampu.

Memulakan acara, Puan Raihana bercerita mengenai sikap. Sesi pemanas badan yang menghadirkan banyak rasa di dalam hati.

“Terima kasih kepada semua yang datang. Saya suka melihat tuan dan cikpuan di sini pada hari yang orang lain lebih selesa mahu berehat di rumah.

Saya seronok mahu menghabiskan sebahagian hari ini bersama tuan dan cikpuan yang hebat ini. Insya-Allah, kita sama-sama mencipta kejayaan.”

Getus hati Halimah,

PUJI. Puan Raihana suka memuji sikap baik. Teknik Nabi. Itu perangai orang berjaya.”

Kata Puan Raihana lagi,

“Tingkah laku orang berjaya adalah mereka BERTANGGUNGJAWAB. Bagaimana mahu kenalpasti ciri-ciri ini? Mudah sahaja, orang berjaya tidak menyalahkan orang lain apabila gagal.

Mengapa? Sebab mereka sedar kesan keputusan yang diambil dan bersedia bertanggungjawab jika ia tidak menjadi seperti yang diharapkan. Ia membawa kepada satu lagi sikap orang berjaya, iaitu tidak berhenti menilai kualiti diri dan membaiki kekurangan.

Sebab Allah menilai usaha walaupun yang dilakukan tanpa pengetahuan sesiapapun di atas dunia.”

TEKUN, Halimah membuat catatan. Seketika kemudian, dia menumpukan perhatian kepada bicara Puan Raihana lagi,

“Keempat, orang berjaya adalah kumpulan individu yang MENGHARGAI MASA. Mereka tidak melibatkan diri dengan perkara sia-sia. Informasi tidak bermanfaat bukan perkara yang menjadi keutamaan dalam hidup orang berjaya.

Tanpa perlu bercakap mengenai orang lain, orang berjaya memilih BERCAKAP PASAL IDEA untuk maju. Ini resam kelima orang-orang yang berjaya. Sebab mereka tahu, langkah pencegahan dan pemulihan perlu digerakkan.”

Diam sejenak, Puan Raihana berdeham. Matanya menyeluruhi wajah-wajah yang hadir dalam sesi itu. Kemudian dia menyambung,

“Seperti yang diajarkan oleh Allah, orang berjaya akan MEMBERSIHKAN DIRI DAN HARTA. Ini satu lagi sifat orang berjaya. Dengan semangat ini, mereka belajar memaafkan dan membuang dendam jauh dari hati.

Sebab dia tahu, semua perkara itu tidak menguntungkan. Dari sini, orang berjaya menarik orang lain berjalan di atas jalan yang sama kerana mereka mahu melihat orang lain berjaya bersama-sama.

Lagi, apa sikap orang berjaya? Resmi terakhir, orang berjaya TIDAK TAKUT PERUBAHAN.

Contohnya, selama ini puan menjual tudung secara online sepenuhnya. Selepas bengkel ini, puan cuba pula cara baru seperti membuka khidmat penghantaran dari rumah ke rumah, di kawasan tertentu di dalam kemampuan capaian jarak puan.”

Halimah mengangguk-angguk. Catatannya dibaca sekali lalu,

“Tujuh sikap orang berjaya. Tujuh sikap orang optimis. Aku mahu ada semua ciri ini, moga Allah izinkan.”

Apabila Halimah mengangkat mata, dia bertatapan dengan Puan Raihana yang sedang memandang. Mereka saling berbalas senyum.

“Alhamdulillah ya Allah. Rezekikan aku istiqamah di jalan ini. Amin.”

Tentang Siti Rahmah

Siti Rahmah

Beliau merupakan kolumnis Ruangan Cerpen Majalah Usrati dan usahawan sepenuh masa. Mengusahakan bisnes aksesori sulam secara online sejak 2008 di laman blog ini. Penulis turut aktif menghasilkan karya fiksyen yang diterbitkan di majalah dan antologi cerpen.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.