Luqman al-Hakim merupakan insan istimewa yang disebut oleh Allah SWT menerusi kitabullah, dalam surah Luqman yang berkisar mengenai pelbagai nasihat yang ditujukan buat anaknya.

Beliau adalah seorang hamba abdi berkulit hitam yang berasal dari Afrika, iaitu di negeri Sudan/Habsyah/Nubia (nama tempat yang sama). Sungguhpun begitu, terdapat pelbagai pendapat mengenai asal usul Luqman al-Hakim.

Menurut Ibnu Kathir, Luqman adalah seorang lelaki yang soleh, kuat beribadat, suka memberikan nasihat dan mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa.

Luqman al-Hakim mendapat gelaran ‘al-Hakim’ dek kerana kebijaksanaan dan butir-butir hikmah yang sentiasa keluar dari tutur katanya. Menariknya, kisah beliau menasihati anaknya turut dimuatkan dalam al-Quran. Apakah antara nasihat beliau kepada anaknya? Berikut dikongsikan;

#Nasihat 1 – Tidak Mempersekutukan Allah

“Dan, ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, ‘Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.”(Surah Luqman ayat 13)

#Nasihat 2 – Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Bapa

“Dan, Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.”(Surah Luqman ayat 13)

#Nasihat 3 – Menolak Ajakan Ibu Bapa Dengan Cara Yang Baik Jika Bertentangan Dengan Syariat

“Dan, jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan bergaullah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian, hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahu kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”(Surah Luqman ayat 15)

#Nasihat 4 – Allah SWT Akan Membalas Setiap Perbuatan Kita Walau Sekecil Zarah

“Wahai anakku! Sungguh, jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau langit atau bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya, Allah Maha Halus, Maha Teliti.”(Surah Luqman ayat 16)

#Nasihat 5 – Melaksanakan Solat, Amar Makruf Nahi Mungkar Dan Sabar Hadapi Ujian

“Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) dari perkara yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa-apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.”(Surah Luqman ayat 17)

#Nasihat 6 – Tidak Sombong Dan Angkuh

“Dan, janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak akan menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”(Surah Luqman ayat 18)

#Nasihat 7 – Bersederhana Dan Elokkan Percakapan

“Dan, sederhanakanlah dalam berjalan (tidak terlalu cepat, tidak terlalu lambat) dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya, seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”(Surah Luqman ayat 19)

Begitulah 7 nasihat penuh hikmah yang diberikan oleh Luqman Al-Hakim buat putera kesayangannya. Bertuahnya Luqman, ini kerana namanya diabadikan dalam risalah-Nya dan menjadi tatapan oleh umat Islam sepanjang zaman.

Bahkan, nasihat yang diungkapkan kepada puteranya ini turut menjadi pengajaran dan panduan berguna buat para ibu bapa dalam mendidik anak-anak pada masa kini.

Diharapkan semoga perkongsian yang sedikit ini memberi kebaikan kepada para pembaca seterusnya menerapkan nasihat ini dalam pembentukan diri anak-anak. Moga kita sentiasa dilindungi daripada sebarang kejahatan, serta dianugerahkan maghfirah dan rahmat dari Allah SWT. InsyaAllah. Amin. Wallahua’lam.

“Tidak ada sesuatu pun yang lebih baik daripada lidah dan hati apabila ia digunakan dengan baik. Dan, tidak ada yang lebih buruk daripada lidah dan hati apabila digunakan dengan cara yang tidak baik.”(Kata Mutiara Luqman al-Hakim)

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.