Umar al-Khattab sememangnya dikenali sebagai antara pemerintah yang terbaik dalam sejarah pentadbiran Islam.

Kecemerlangan beliau dalam memerintah juga sangat berkait rapat dengan sifat dan sikap peribadinya.

Antara ciri-ciri keperibadian Umar al-Khattab yang menjayakan pemerintahan dan menjadikannya seorang tokoh yang terbaik dan sangat wajar dicontohi adalah;

#1 – Tegas Dalam Urusan Kewangan Negara

Umar al-Khattab begitu tegas dan amat teliti dalam hal gaji serta harta setiap gabenor dan pegawainya.

Setiap pegawai wajib mengumumkan harta, dan peningkatan harta mereka akan disemak dengan kerap.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Jika ada peningkatan, Umar al-Khattab akan mengambil separuh untuk baitulmal dan dalam beberapa keadaan beliau akan mengambil kesemuanya.

Contohnya, Saad Abi Waqqas iaitu gabenor di Kufah pernah dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya (ketika itu amat jarang rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya), sehingga orang ramai menggelarnya ‘Istana Saad’.

Dinyatakan bahawa Saad membina agar itu kerana rumahnya berhampiran dengan pasar dan amat bising, lalu dibina agar terhalang dari kebisingan.

Apabila hal itu sampai kepada pengetahuan Umar al-Khattab, beliau melihat lebih banyak keburukan pembinaan pagar itu lebih besar daripada kebaikannya, lalu segera Umar al-Khattab menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut.

Umar al-Khattab pernah membuat lawatan mengejut ke rumah pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah.

Yazid bin Abi Sufyan juga pernah menjemputnya datang ke rumahnya di Syria, ketika beliau memasuki rumahnya, kelihatan rumahnya penuh dengan hiasan dinding. Umar al-Khattab mengambilnya sambil berkata,

“Barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas.”al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/128

#2 – Mengutamakan Rakyat

Umar al-Khattab menetapkan bahawa semua kekayaan negara adalah untuk kegunaan rakyat.

Sesuai dengan keperluan ketika itu, harta negara juga digunakan untuk mendirikan tembok dan benteng bagi melindungi kaum Muslimin dari ancaman musuh, selain untuk pembangunan dan kemudahan rakyat.

Beliau tidak pernah sesekali terfikir untuk mengambil kesempatan dari keuntungan kewangan negara bagi kesenangan diri dan keluarganya.

Suatu ketika berlaku krisis makanan di Madinah, dengan jumlah golongan miskin terus bertambah.

Khalifah Umar al-Khattab berasa paling bertanggungjawab terhadap musibah itu, lalu beliau memerintahkan agar disembelih haiwan ternakan untuk dibahagikan kepada para penduduk.

Ketika tiba waktu makan, para petugas memilih bonggol dan hati unta iaitu bahagian kegemarannya Umar al-Khattab.

“Dari mana kau dapatkan ini?”

Tanya Umar al-Khattab.

“Dari unta yang baru disembelih tadi,”

jawab mereka.

“Tidak! Tidak!”

Kata Umar al-Khattab sambil menjauhkan hidangan lazat itu dari hadapannya.

“Aku akan menjadi pemimpin paling buruk seandainya aku memakan daging lazat ini dan meninggalkan tulang-tulangnya untuk rakyatku.”

“Angkatlah makanan ini, dan ambilkan aku roti dan minyak biasa.”ar-Rijal Haula ar-Rasul, Khalid Muhammad Khalid

#3 – Zuhud

Umar al-Khattab sangat terkenal dengan kehidupannya yang zuhud dan langsung tidak tertarik dengan kemewahan harta benda.

Bahkan, pakaian Umar al-Khattab sendiri tidak pernah berubah dari sewaktu beliau belum menjadi Khalifah sehingga beliau meninggal dunia.

Beliau juga hanya memakai pakaian dari kain yang kasar, sudah koyak dan bertampal-tampal.

#4 – Menjunjungi Kebebasan

Umar al-Khattab sangat mementingkan kebebasan. Baginya, semua orang memiliki kemerdekaan sejak lahir ke dunia.

Beliau pernah bertanya pada dirinya sendiri;

‘Sejak bilakah engkau memperhambakan manusia, sedangkan mereka dilahirkan ibunya dalam keadaan merdeka?’

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Umar al-Khattab sangat menjaga kedudukan golongan hamba dengan menggubal syarat dan undang-undang berkenaan golongan ini.

Antaranya, hamba-hamba dilarang ditindas, dan hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan.

#5 – Bersedia Dikritik Dan Menerima Pandangan Orang Lain

Dalam bermusyawarah, Umar al-Khattab tidak pernah meletakkan dirinya sebagai pemerintah. Tetapi sebagai ahli yang sama kedudukannya dengan anggota musyawarah lain.

Begitu juga jika ditanya tentang pendapatnya, Umar al-Khattab tidak sesekali menunjukkan bahawa beliau adalah yang paling berkuasa dengan jawatannya ketika itu, bahkan menganggap mereka adalah guru yang menunjukkan kesalahannya.

#6 – Mengatasi Masalah Rakyat Dengan Sendiri

Umar al-Khattab adalah seorang pemimpin yang sangat mengambil berat akan rakyatnya.

Setiap malam ketika semua orang sedang tidur, Umar al-Khattab akan melakukan rondaan dan intipan untuk melihat sendiri kehidupan rakyatnya.

Pernah suatu ketika beliau menemui sebuah rumah dan terlihat akan seorang ibu dengan anak-anaknya yang menangis kerana lapar.

Kelihatan dalam rumah itu juga tidak ada apa-apa makanan. Tanpa berlenggah, serta merta Umar al-Khattab segera ke Baitul Maal dan memikul sendiri sekarung gandum untuk keperluan keluarga tersebut.

Beliau juga selalu berfikir bahawa ada dalam kalangan umatnya yang tidak dapat tidur kerana kelaparan.

#7 – Adil Dan Saksama

Suatu hari dilaporkan Abdul Rahman bin Umar al-Khattab, iaitu anaknya yang berada di Mesir melakukan kesalahan meminum arak.

Beliau kemudiannya meminta Amru bin al-‘As selaku gabenor di Mesir untuk melaksanakan hukuman terhadap anaknya itu.

Namun Amru al-‘As berasa serba salah kerana Abdul Rahman adalah anak khalifah, lalu menjatuhkan hukuman ringan dan berbeza dengan pesalah lain, iaitu mencukur kepala dan disebat secara tertutup di rumahnya. Sepatutnya hukuman itu dijalankan di hadapan khalayak

Hal itu sampai kepada Umar al-Khattab, lalu beliau menghantar surat kepada Amru al-‘As;

“Engkau telah menyebat dan mencukur Abdul Rahman di rumahmu dan kamu tahu ia bertentangan dengan apa yang aku harapkan (hukuman seperti orang lain). Abdul Rahman adalah salah seorang yang berada di bawah tanggungjawabku (di akhirat), dan kamu beralasan bahawa dia adalah anak Khalifah, sedangkan kamu tahu aku tidak sesekali berkompromi dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah terhadap Allah!”

Demikian sifat terpuji dan kepimpinan yang ada pada Umar al-Khattab sangat membantu dalam menjalankan pimpinan yang cemerlang.

Sewaktu kepimpinan beliau, Islam bukan sahaja sebagai agama yang dipandang tinggi tetapi turut ditakuti oleh kaum kafir.

Disebabkan itulah semasa pemerintahan Umar al-Khattab, Islam begitu gemilang dan belum berlaku pada mana-mana pemerintahan lainnya.

RUJUKAN

1. Zaharuddin Abd Rahman (http://www.zaharuddin.net)
2. Muhayudin Hj Yahya, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam, Oxford Fajar: Shah Alam.
3. Abdul Latip Talib, 2009, Umar Al-Khattab: Reformis Dunia Islam, PTS: Selangor.
4. Musthafa Murad, 2009, Umar ibn al-Khattab, terj. Ahmad Ginanjar Sya’ban dan Lulu M.Sunman, Kisah Hidup Umar Bin Khattab Zaman: Jakarta.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Tentang Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.