Theresa Corbin merupakan seorang wanita yang baru memeluk Islam. Beliau telah menulis dalam muslimmatters.org mengenai perkara-perkara yang tidak dijangkanya selepas memeluk Islam.

Antaranya ialah beliau tidak menyangka yang beliau masih boleh bergaya dalam berpakaian walaupun secara bersederhana, berjimat dalam perbelanjaan menghias rambutnya, hidup bermasyarakat, dan disayangi di mana-mana sahaja di mana adanya umat Islam.

Itu hanyalah sebahagian kecil keistimewaan yang diterima oleh seorang wanita muslimah. Ini kerana wanita menerima banyak keistimewaan sejak kedatangan Islam.

Kedudukan wanita selepas itu adalah lebih baik dan tinggi. Mereka dihormati dan dilindungi. Ia menolak dakwaan banyak pihak mengenai kezaliman ke atas mereka sedangkan Islam amat membenci kezaliman. Apakah keistimewaan wanita muslimah?

#1 – Keududukan Wanita Diangkat Dalam Al-Quran

Hal mengenai wanita disebut dengan banyak dalam Al-Quran dan hadith. Al-Quran menyebut tentang keistimewaan yang diperolehi wanita merangkumi hak dalam menuntut ilmu, bimbingan dalam pergaulan, perkahwinan, semasa perceraian, sebagai saksi, dan mewarisi harta juga disebut dalam Al-Quran.

Ini menunjukkan yang Islam tidak eksklusif kepada lelaki sahaja. Islam menyuruh kita membesarkan anak perempuan dengan sebaiknya, berbuat baik dengan isteri, manakala ibu mendapat kedudukan tertinggi di sisi Allah dan wajib dihormati serta diutamakan permintaannya selagimana tidak bertentangan dengan kehendak Islam.

#2 – Wanita Dihormati Sama Seperti Lelaki

Wanita muslim selalu digambarkan sebagai lemah dan hanya tunduk kepada lelaki dalam keluarganya, sedangkan ramai wanita muslim yang berdikari, berpendidikan tinggi, mempunyai kerjaya hebat, dan aktif.

Dalam Islam, lelaki dan wanita saling menghormati dan mempunyai tanggungjawab masing-masing sebagai khalifah Allah. Peranan wanita amat penting untuk saling melengkapi antara satu dengan yang lain.

#3 – Wanita Bebas Memilih Apa Jua Pakaian Yang Menutup Aurat

Wanita Islam boleh memakai apa jua pakaian dan bukan terhad kepada jubah dan abaya serta purdah dan burqa. Ini kerana Islam itu sendiri meluas di merata dunia dengan Asia mempunyai populasi umat Islam terbesar dan bukannya negara Arab. Maka pemakaian seorang wanita muslimah bukanlah terhad kepada gaya tertentu.

Namun, pakaian yang dipakai oleh wanita muslim hendaklah selari dengan kehendak Islam itu sendiri iaitu menutup aurat. Menutup aurat bukanlah bermakna wanita Islam tidak dibenarkan bebas memilih kerana kreativiti dalam berfesyen masih tidak terhalang.

Malah, dengan berpakaian mengikut syariat Islam, rata-rata wanita Islam mengakui diri mereka lebih bebas dan tenang.

#4 – Wanita Tidak Dihalang Dalam Berurusan

Wanita muslim tidak dihalang dalam berurusan dengan lelaki. Kerana itu ada di antara mereka yang menjadi pemimpin dalam pengurusan sesebuah syarikat. Khadijah iaitu isteri Rasulullah pun merupakan seorang ahli perniagaan.

Aishah juga menjadi rujukan dalam hal fiqah oleh para sahabat dari kalangan lelaki. Cuma, semasa berurusan dengan mereka, perlulah menjaga batas pergaulan agar tidak menimbulkan fitnah.

#5 – Wanita Punya Hak Dalam Perkahwinan

Ada pihak yang menyangka wanita muslimah dizalimi dalam perkahwinan sehingga dia tidak boleh diceraikan atau meminta cerai. Rasulullah membenci kezaliman dan menyeru suami untuk berbuat baik kepada isteri mereka.

Sebenarnya budaya yang selalu menganggap perceraian sesuatu yang memalukan dan memaksa wanita yang dizalimi bertahan di dalam perkahwinan yang tidak membahagiakan dirinya. Walaupun perceraian memang dibenci agama, namun ia adalah perkara yang dibenarkan. Ini kerana Islam amat menjaga kebajikan wanita.

#6 – Wanita Boleh Bekerja

Wanita Islam boleh bekerja dan menceburi pelbagai bidang termasuklah bidang professional selagimana ia tidak diharamkan di sisi agama. Terdapat juga wanita muslimah yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Ini kerana suami mereka mampu memberikan cukup nafkah kepada mereka.

Walaupun begitu, tugas seorang isteri muslim bukanlah sesuatu yang boleh diperlekehkan. Mereka memainkan peranan mendidik dan menguruskan rumah tangga. Malah, wanita muslim menjadi tulang belakang kejayaan seorang suami, Sekali lagi Khadijah dijadikan contoh dalam perkara ini. Khadijah sentiasa menyokong Rasulullah semasa susah dan senangnya.

#7 – Wanita Membantu Perkembangan Islam

Mengikut sejarah, wanita muslimah juga memainkan peranan penting dalam perkembangan Islam. Mereka berjihad dengan memberi sokongan moral dan bertindak sebagai jururawat yang merawat tentera-tentera yang cedera di dalam peperangan.

Walaupun begitu, ada juga wanita muslimah yang ikut berperang seperti Umm Ummarah yang menyertai Perang Uhud. Ini adalah bukti wanita muslimah turut diperlukan dalam hal-hal yang penting. Keupayaan mereka tidak dipandang ringan dan kekuatan mereka diakui Islam.

Begitulah istimewanya wanita di dalam Islam. Mereka mendapat kebebasan dalam keadaan maruah dan harga diri mereka terpelihara.

Tentang Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.