Seorang suami adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk memimpin isteri dan anak-anaknya menuju ke syurga Allah. Tetapi hari ini, ramai daripada kalangan suami yang gagal menyempurnakan amanah tersebut, lalu memberi tanggapan negatif terhadap golongan lelaki.

Jadi, di sini terdapat beberapa tips yang dikongsikan untuk menjadi ketua keluarga yang soleh, iaitu;

#1 – Mentaati Allah SWT

Mentaati segala perintah Allah SWT adalah dengan meninggalkan segala yang dilarang oleh agama Islam. Ketua keluarga yang mengutamakan agama juga adalah contoh yang terbaik kepada isteri dan anak-anaknya dalam menjalani kehidupan sebagai muslim sejati.

#2 – Pendidik Isteri dan Anak-anak

Ketua keluarga yang baik juga adalah pendidik yang baik, iaitu dengan memberi contoh yang baik serta tidak menunjukkan kelakuan yang tidak elok kepada ahli keluarganya.

Selain itu, isteri dan anak-anaknya juga diberi didikan agama yang cukup untuk sama-sama mendalami Islam sebagai asas kehidupan. Dan sesekali tidak dibiarkan ahli keluarganya lalai dan melanggari perintah Allah SWT.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

#3 – Menyediakan Nafkah dengan Sebaiknya

Suami dan bapa yang soleh juga akan menyediakan tempat tinggal, makanan, serta pakaian buat isteri dan anak-anaknya, mengikut kemampuannya. Malah dia akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi tuntutan nafkah tersebut dengan sebaik-baiknya.

Ketua keluarga yang baik juga tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjwabnya terhadap keluarganya, kerana isteri dan anak-anak adalah amanah untuknya.

#4 – Penjaga Ahli Keluarga

Ketua keluarga juga bertindak sebagai penjaga keluarga, ini bermaksud setiap keselamatan ahli keluarga adalah tanggungjawab kepadanya. Setiap kesusahan yang dialami oleh keluarga harus segera diselesaikan, seperti anak atau isteri yang sakit mestilah diubati dengan secepat mungkin.

Begitu juga dengan apa-apa masalah yang melanda, sebagai ketua mestilah mencari jalan keluar bagi mengembalikan kesejahteraan seperti sediakala. Pendek kata, kebahagiaan keluarga menjadi amanah kepada ketua keluarga ini untuk memastikannya.

#5 – Peneman kepada Isteri dan Sahabat kepada Anak-anak

Suami yang baik adalah peneman di waktu isterinya kesedihan, gembira atau ketika susah ataupun senang, begitu juga terhadap anak-anak, bapa yang terbaik juga akan menjadi pendengar dan penasihat serta penghibur kepada ahli keluarga.

Tanggungjawab ketua keluarga bukan sahaja mendidik, tetapi juga sebagai sahabat dalam apa-apa jua aktiviti seharian, seperti bermain dan teman ketika menonton televisyen.

#6 – Menjaga Maruah Isteri dan Keluarga

Seperti isteri yang wajib menjaga aib suami, begitu juga suami yang wajib menjaga maruah dan aib isteri serta ahli keluarganya yang lain. Sudah menjadi tanggungjawab ketua keluarga untuk menyimpan rahsia keluarganya yang tidak perlu dihebah-hebahkan kepada orang lain.

Ini sangat penting bagi menjaga ahli keluarga dan diri sendiri daripada menjadi mangsa fitnah orang lain.

#7 – Tidak Keterlaluan dalam Menghukum

Dalam kepimpinannya terhadap isteri dan anak-anak, seorang ketua keluarga yang baik tidak akan bertindak kasar atau zalim walaupaun mereka melakukan kesilapan, tetapi mereka diberi nasihat ataupun hukuman yang setimpal dengan kesalahan itu, yang paling penting keberkesanannya untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Sesuai dengan firman Allah:

“Dan jika kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (Maka Allah akan berbuat demikian terhadap kamu), kerana sesungguhnya Allah amat pengampun lagi amat mengasihani.”al-Taghabun: 14

Tanggungjawab suami terhadap ahli keluarganya amatlah berat dan mencabar, namun sekiranya seseorang lelaki itu mampu menjalankan amanah tersebut dengan cemerlang pasti akan ada kebaikan dan pahala yang menanti. Pun begitu, ahli keluarga yang lain pun memegang peranan yang tidak kurang pentingnya untuk sama-sama membawa kebahagiaan kepada keluarga masing-masing.

Tentang Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.