Islam sangat menuntut persaudaraan dan pertalian silaturahim sesama umatnya. Dalam beberapa hadis, turut ditegaskan bahawa sesiapa yang memutuskan tali silaturahim, tidak akan memasuki syurga.
Antaranya, dari Jubair Ibnu Muth’im r.a, berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tidak akan masuk syurga seorang pemutus, iaitu pemutus tali kekerabatan.”

Dengan itu, silaturahim harus dijaga sebaik-baiknya agar tidak terputus dan juga tidak dihumban ke neraka kelak.

Islam sangat mementingkan perhubungan silaturahim atas beberapa sebab, antaranya;

#1 – Membuktikan Ketaatan Kepada Allah S.w.t

Hamba yang taat adalah hamba yang melakukan apa-apa saja perintah Allah s.w.t. Antaranya dengan menjaga hubungan sesama manusia turut mendapat keredaan Allah s.w.t kerana perintah Allah yang tidak sukakan perpecahan dalam kalangan umatnya. Rasulullah s.a.w bersabda;

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah ia menyambung tali silaturahim.”Hadis Riwayat Bukhari

Lalu, golongan yang gemar memecahbelahkan masyarakat dan memutuskan hubungan persaudaraan Islam sudah tentulah mereka yang tidak mentaati Allah s.w.t, iaitu dengan tidak mengendahkan arahan Allah.

#2 – Dipanjangkan Umur Dan Dimurahkan Rezeki

Rasulullah SAW bersabda;

“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.”Hadis Riwayat Bukhari.

Selain dipanjangkan umur, Allah juga memberikan keberkahan pada umur, menganugerahkan kekuatan pada diri, dan kejernihan pada akal orang yang menyambung tali silaturahim. Limpahan kasih sayang Allah s.w.t itu adalah dengan kesihatan yang baik, keluarga yang bahagia dan kenalan yang ramai dan menyayanginya.

#3 – Mendapat Ganjaran Syurga

Dengan menyambung silaturrahim sesama insan juga, Allah s.w.t akan memberi ganjaran syurga,

“‘Dari Abu Ayyub al-Anshori r.a bahawasanya ada seorang laki-laki yang berkata Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku akan amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan diriku dari api neraka’. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan sabda beliau. ‘Engkau beribadah kepada Allah semata dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apapun, menegakkan sholat, menunaikan zakat, dan menyambung tali silaturahim’.”Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, wajib untuk kita semua menjaga dan berusaha agar hubungan persaudaraan, persahabatan tidak terputus agar menjadi satu ‘jalan’ dan cara memasuki syurga Allah s.w.t.

#4 – Disayangi Allah S.w.t

Allah s.w.t sangat menyayangi dan memuji umatnya yang menyambung tali silaturrahim. Sesungguhnya begitu mulia hamba-Nya yang mendapatkan pujian dan sanjungan dari Allah s.w.t, dan sungguh celaka bagi hamba yang mendapatkan cercaan dari-Nya.

#5 – Allah Akan Menyambung Hubungan Dengan Orang Yang Menyambung Silaturrahim

Sesungguhnya Allah s.w.t akan menyambung hubungan-Nya dengan golongan hamba-Nya yang menyambung tali silaturrahim, tapi Allah juga akan memutuskan hubungan dengan golongan yang memutuskannya. Dalam sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesungguhnya Allah menciptakan makhlukNya, hingga apabila Dia selesai dari menciptakan mereka, rahim akan berdiri dan berkata, ‘Ini adalah tempat berdiri orang yang berlindung kepada-Mu dari memutuskan tali silaturrahim.’ Allah berfirman: ‘Ya, tidakkah engkau reda bila Aku menyambung orang yang menyambungmu dan memutuskan orang yang memutuskanmu?’ Rahim berkata: ‘Tentu saja.’ Allah berfirman: ‘Maka, itu menjadi milikmu’.”Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

#6 – Disayangi Oleh Manusia

Selain mendapat pujian dan disayanyai oleh Allah, sudah tentu sesiapa yang menjaga silaturahim dengan ikhlas akan disayangi pula sesama manusia. Dia juga akan mendapat pujian di tengah manusia, sedangkan orang yang memutuskannya akan mendapat celaan dari mereka.

Contohnya, jika seseorang itu sering membantu saudaranya, pemurah, mudah menghulurkan pertolongan, tidak sombong pasti orang tersebut akan disayangi oleh sesiapa pun, bahkan memujinya. Dengan itu terbinalah rasa kecintaan dan kasih sayang, dan kesejahteraan dalam keluargan dan masyarakat.

Sesungguhnya banyak kebaikan dan rahmat yang diperoleh daripada perbuatan menjaga silaturahim ini. Oleh itu, sebagai umat Islam telah diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk menjaga hubungan silaturahim, wajib bagi kita untuk mentaatinya.

Sambungkanlah tali silaturahim dan berhati-hatilah agar tidak terputus yang pastinya menyumbang kemurkaan Allah s.w.t. Semoga silaturahim kita dengan keluarga, sahabat handai dan seluruh umat manusia tetap terpelihara.

Tentang Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.