Rabiulawwal adalah bulan ketiga dalam susunan takwim Hijrah umat Islam. Saban tahun, dengan izin Allah S.W.T, kita melalui bulan ini.

Tahukah kita, bulan Rabiulawwal ini mengandungi pelbagai keistimewaan yang wajar kita ketahui. Antaranya seperti berikut;

#1 – Bulan Kelahiran Rasulullah S.A.W

Tahukah kita, Baginda Nabi S.A.W iaitu pemimpin dan pembawa ajaran Islam di muka bumi ini telah dilahirkan pada bulan ini, iaitu pada 12 Rabiulawwal 570 M bersamaan hari Isnin, Tahun Gajah di kota Mekah al-Mukarramah.

Tahun Gajah ini adalah tahun di mana tentera Abrahah datang ke kota Mekah untuk menyerang dan berusaha menghancurkan Ka’bah dengan pasukan penunggang gajah.

Ini merupakan tarikh bersejarah yang perlu diingati oleh seluruh umat Islam atas kedatangan penghulu segala nabi ini.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Namun begitu, ada beberapa ulama yang berselisih pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Baginda, antaranya ada yang mengatakan pada 9 Rabiulawwal. Wallahua’lam.

#2 – Bulan Kewafatan Rasulullah S.A.W

Bulan ini juga menjadi tarikh penting buat seluruh umat Islam bagi mengingati pemergian Baginda Nabi S.A.W, iaitu pada hari Isnin dalam bulan Rabiulawwal tahun 11 H.

Wafatnya Baginda ketika itu adalah pada waktu Dhuha. Adapun tarikh sebenar baginda wafat menjadi perselisihan dalam kalangan ulama. Ada yang mengatakan pada 1 Rabiulawwal da nada pula yang mengatakan pada 12 Rabiulawwal. Wallahua’lam.

Namun begitu, kini, umat Islam boleh datang menziarahi makam Baginda S.A.W yang ditempatkan di Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah.

#3 – Bulan Menambah Amal Kebajikan

Amal kebajikan tidak semestinya perlu ditunggu masa tertentu untuk dilaksanakan. Ia boleh dilakukan bila-bila masa.

Namun begitu, kedatangan bulan Rabiulawwal saban tahun ini menjadi momentum bagi setiap umat Islam untuk menggandakan lagi amalan soleh mereka. Antaranya, dengan memperbanyakkan selawat kepada junjungan Nabi S.A.W.

Bahkan, dengan memperbanyakkan selawat juga dapat menjadi asbab kepada kita untuk menerima syafaat dari Baginda S.A.W di hari akhirat kelak.

Hal ini sepertimana sabdanya;

“Manusia yang paling utama (iaitu paling berhak) terhadapku (mendapat syafaatku) ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku.” Riwayat Imam Tirmizi

#4 – Bulan Mahabbah Rasulullah S.A.W

Diketahui bahawa bulan Rabiulawwal juga dikenali sebagai bulan Rasulullah S.A.W. Justeru itu, kecintaan terhadap Baginda Nabi S.A.W juga perlu diterapkan dalam diri setiap umat Islam.

Pelbagai cara boleh kita lakukan bagi membuktikan mahabbah atau cinta kita padanya antaranya dengan mengikuti sunnah yang diajarkan dalam hidup seharian, mendengar kisah mengenai Baginda, berselawat atau berqasidah (memuji Baginda S.A.W).

Bahkan orang kafir juga berhak mendapat manfaat di hari akhirat nanti apabila mereka juga mengungkapkan kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W sepertimana Abu Lahab;

Bapa saudara Nabi S.A.W tatkala menerima khabar berita akan kelahiran Baginda Nabi S.A.W. Beliau telah membebaskan Tsuwaibah iaitu hamba perempuan yang dimilikinya atas sebab gembiranya beliau dengan khabar tersebut. Dengan kegembiraan tersebut, Allah S.W.T akan meringankan seksa ke atas dirinya setiap hari Isnin pada hari kiamat kelak. Riwayat Bukhari

Juga renungi sabdanya yang bermaksud;

“Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada anaknya, orang tuanya dan seluruh manusia.” Riwayat Bukhari dan Muslim

#5 – Bulan Rahmat Dan Berkat

Lahirnya Rasulullah S.A.W di muka bumi ini adalah sebagai rahmat buat sekalian alam.

Justeru itu, bulan Rabiulawwal ini dianggap sebagai bulan pembawa rahmat yang penuh dengan barakah di dalamnya atas sebab kelahiran junjungan Rasulullah S.A.W.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan, tiadalah Kami mengutuskan Engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah al-Anbiya’: 107

#6 – Bulan Maghfirah (Keampunan)

Dengan memperbanyakkan selawat kepada junjungan Nabi S.A.W juga dapat membersihkan diri kita daripada segala dosa (kecil). Hal ini sepertimana sabda Baginda Nabi S.A.W yang bermaksud;

“Hendaklah kamu berselawat ke atasku, kerana sesungguhnya selawat ke atasku adalah kebersihan (keampunan) bagi (dosa) kamu dan mintalah kepada Allah untukku akan wasilah.” Al-Samarqandi dari kitab Tanbih Al-Ghafilin

Adapun dosa-dosa besar hanya akan terampun dengan cara bertaubat kepada Allah S.W.T dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

Diharapkan dengan perkongsian ini dapatlah kita hayati bersama akan keistimewaan yang terkandung di dalam salah satu bulan Islam ini. Moga bermanfaat. Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.