Setiap bulan ada keistimewaannya yang tersendiri. Selain tiga bulan utama iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadhan yang diketahui umum bahawa bulan tersebut adalah bulan untuk beramal ibadah.

Namun kita juga perlu merebut gandaan ganjaran yang disediakan oleh Allah S.W.T di dalam bulan Islam yang lain.

Salah satunya, di dalam bulan Rabiulawwal. keistimewaan bulan ini sudah pun dibincangkan terlebih dahulu sebelum ini.

Kini, dikongsikan pula apakah amalan yang digalakkan untuk kita melaksanakannya pada bulan istimewa ini?

#1 – Memperbanyakkan Selawat Ke Atas Rasulullah S.A.W

Banyak kelebihan bagi mereka yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. Bahkan, Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas Baginda.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), ‘Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya’.” Surah Al-Ahzab : 56

#2 – Berpuasa Sunat

Kita sedia maklum, bahawa kelahiran Rasulullah S.A.W jatuh pada hari Isnin; 12 Rabiulawwal dan ada yang berpandangan, tarikh kelahiran Baginda adalah pada 9 Rabiulawwal. Wallahua’lam.

Apa yang pasti, setiap tahun semasa hayatnya Baginda S.A.W akan berpuasa sunat pada hari kelahirannya.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Abi Qatadah al-Ansari r.a, bahawa Rasulullah S.A.W ditanya sebab Baginda S.A.W berpuasa pada hari Isnin. Lalu, dijawab olehnya;

“Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu pula aku (untuk pertama kali) menerima wahyu.” Hadis Riwayat Muslim

#3 – Memperbanyakkan Bersedekah

Sedekah adalah satu pemberian yang diberikan oleh seorang Muslim kepada orang lain secara sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu.

Hukumnya adalah sunat dan sangat digalakkan. Ini merupakan salah satu sifat mulia Baginda Nabi S.A.W iaitu, gemar bersedekah.

Banyak kelebihan yang diperolehi daripada bersedekah. Salah satunya sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” Surah Al-Baqarah : 274

#4 – Menghidupkan Rumah Allah

Rabiulawwal yang sinonim dengan bulan Rasulullah S.A.W ini wajar dijadikan peluang buat seluruh kaum muslimin untuk mengumpulkan komuniti di rumah Allah seperti masjid atau surau.

Seterusnya, ‘menghidupkannya’ dengan aktiviti berfaedah yang dapat memberi manfaat bersama

Sebagai contoh mengadakan majlis ilmu, ceramah perdana berkaitan kisah Rasulullah S.A.W dan apa-apa jua aktiviti yang dapat mendekatkan kita dengan Allah juga Rasul-Nya. Juga menambahkan pengetahuan kita terhadap agama yang kita anuti ini.

#5 – Memperingati Baginda S.A.W

Bulan Rabiulawwal sewajarnya diingati sebagai bulan memperingati Rasulullah S.A.W sekalipun hakikatnya, kita tidak perlu menunggu tempoh masa tertentu baru mahu mengingati Baginda.

Sungguhpun begitu, dengan kedatangan bulan ini saban tahun ia secara tidak langsung mengingatkan kepada kita akan kelahiran manusia agung yang mulia; pembawa ajaran suci Islam ke atas muka bumi ini.

Sekaligus kekasih Allah yang melimpahkan rahmat buat sekalian alam, iaitu Muhammad S.A.W.

Banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menzahirkan ingatan juga mahabbah kepada Baginda antaranya dengan memperbanyakkan selawat, menghadiri majlis ilmu yang menceritakan tentang kisah Baginda dan memuji Baginda dengan alunan qasidah.

#6 – Melaksanakan Sunnah Baginda S.A.W

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;

“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara. Maka, barangsiapa yang berpegang teguh pada keduanya maka tidak akan tersesat iaitu kitabullah (Al-Quran) dan sunnahku.” Riwayat Imam Malik

Sunnah adalah segala perakuan, percakapan serta perbuatan Baginda Nabi S.A.W. Jika diikuti atau dilaksanakan maka akan beroleh pahala, jika ditinggalkan tidak mendapat dosa.

Hakikatnya, dalam satu hari banyak sunnah yang boleh kita lakukan sejak dari bangun tidur hingga kita kembali ke tempat tidur semula.

Ia bukanlah ‘wajib’ dilaksanakan dalam bulan Rabiulawwal, akan tetapi bulan mengenang Rasulullah S.A.W ini wajarlah diambil peluang bersama untuk menghidupkannya dalam kehidupan seharian walaupun sekali seumur hidup.

Diharapkan dengan perkongsian yang sedikit ini dapatlah kita bersama-sama menghayati kedatangan bulan mulia ini sekaligus melipatkan gandakan amal untuk dijadikan bekalan di sana nanti. Moga bermanfaat. Sollu alan nabiy. Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.