Keluarga

5 Tip Memikat Hati Pasangan Anda Yang Anti Kucing

Oleh Zyza Backy  •  15 Feb 2018  •  3 min baca

Ini adalah kisah pengalaman peribadi saya. Saya sangat sayangkan kucing namun suami saya tidak berminat dengan kucing.

Semua anak-anak kami sayangkan kucing namun apabila suami mempunyai kuasa veto, hati pencinta kucing memang merana.

Saya berkongsi tip memujuk hati agar keharmonian rumahtangga terjaga dan dalam masa yang sama kita dapat menyayangi juga si kucing tersebut.

#1 – Belajar Bertolak-Ansur

Apabila tidak dibenarkan membela kucing, saya memujuk suami agar membenarkan saya menjaga kucing di luar rumah sahaja.

Kucing tidak dibenarkan masuk ke rumah. Memberi makan kucing di luar rumah. Pilih satu sudut di halaman rumah yang tidak mengganggu laluan utama dan jauh sedikit dari pandangan suami.

Berdekatan pasu bunga juga boleh menghindar bekas makanan kucing kelihatan terlalu ketara.

#2 – Elak Perbalahanan

Jangan membalas leteran atau kemarahannya berkaitan kucing. Jika dia sedang marah, tunggu kemarahannya reda dan jelaskan apa yang anda boleh buat untuk atasi situasi yang tidak disukainya.

Contoh jika dia tidak suka kucing datang padanya, halaukan kucing tersebut semasa dia ada. Jangan merungut-rungut marah di belakangnya kerana anda hanya menambah dosa. Tingkatkan kesabaran.

#3 – Minta Maaf Jika Melanggar Peraturan

Hati yang terlalu sayangkan kucing berasa tidak puas apabila tidak dapat membelai kucing, jadi kadang kala kucing masuk ke dalam rumah tatkala kita membuka pintu rumah dan kita biarkan sebentar di dalam rumah untuk dimanjakan.

Jika melanggar peraturan, segera meminta maaf. Jika suami benarkan untuk sekali sekala, jangan ambil kesempatan dan buat selalu. Jaga hati pasangan anda.

#4 – Tegaskan Pendirian Tanpa Menjejaskan Hubungan

Apabila dipaksa membuang kucing, tegaskan kasih sayang anda kepada haiwan kesayangan Rasulullah S.A.W itu.

Ada seorang sahabat Rasulullah S.A.W diberikan gelaran Abu Hurairah (bapa kucing) kerana disifatnya yang sangat menyayangi kucing. Beliau perawi hadis yang terkenal.

Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah R.A bertemu Rasullullah S.A.W, beliau ditanya oleh baginda apakah yang ada di dalam lengan bajunya.

Apabila dia menunjukkan anak kucing di dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah oleh Rasullullah S.A.W. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah.

Berikan perhatian lebih kepada keperluan suami, tunjukkan kasih sayang yang lebih kepadanya agar dia faham bahawa dia lebih disayangi berbanding kucing yang dibencinya itu.

Jangan melayan kucing berlebihan hingga dia menjadi semakin benci kepada kucing.

#5 – Ingat Bahawa Suami Anda Adalah Ketua

Sentiasa ingat bahawa suami adalah ketua keluarga dan kewajipan kita taat padanya. Pujuk suami dengan berhemah untuk menangani permasalahan berkaitan kucing kesayangan anda.

Jangan memaksa suami suka apa yang kita suka kerana kadangkala kita juga tidak suka apa yang suami suka.

Benarkan suami jadi pemimpin kita dan jika ada yang kita tidak setuju, berbincang adalah lebih baik daripada merajuk atau menyimpan amarah dalam hati.

Akhir kata, hidup ini terlalu singkat untuk kita menyimpan marah atau bersedih di dalam hati. Kemarahan dan kesedihan yang terlalu lama di pendam akan menjejaskan hubungan suami isteri.

Nikmati kehidupan dengan kasih sayang dan toleransi. Hidup tanpa tekanan lebih bermakna daripada makan hati atas perkara remeh yang boleh diselesaikan secara baik.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Zyza Backy

Zyza Backy

Seorang penulis sambilan, sambil bekerja sebagai Pengurus Pejabat di firma guaman. Menubuhkan Grande Myriad Multimedia Sdn Bhd, menjalankan perniagaan berkaitan multimedia antaranya penggambaran drama dan video, penyuntingan filem, drama dan video, rekaan grafik serta pengurusan majlis.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami