Setiap manusia perlu meneruskan kehidupan berlandaskan pengetahuan dan pengalaman.

Seorang ayah menjadi ketua keluarga. Maka, dengan mempraktikkan ilmu yang sedia ada, lahirnya skil atau kemahiran yang memerlukan masa untuk dikuasai.

Ketahuilah, dengan menguasai dan mempelajari skil hidup ini, anda akan lebih kaya daripada mereka yang berharta, lebih kacak daripada jejaka idaman, lebih disukai mereka yang tercinta dan paling penting, meningkatkan imej anda sebagai seorang lelaki berkaliber.

Sebagai seorang lelaki, khususnya mereka yang bergelar suami dan bapa, terdapat beberapa skil hidup yang anda perlu tahu. Antaranya:-

1. Memasak

Bermula dari menanak nasi, memotong sayur-sayuran, hinggalah menghidangkan satu pakej menu masakan; kemahiran ini sangat berguna.

Bukan sahaja ini menggembirakan sang isteri atau ibu yang saban memasak setiap hari, malah anda boleh menunjukkan kepada anak-anak bahawa anda adalah seorang ayah yang hebat memasak.

Cara yang paling mudah untuk memulakan skil ini adalah berada di dapur setiap kali ibu/ si isteri mula memasak. Perhatikan cara ikan disiangkan, ayam dikunyitkan dan perencah ditambahkan. Gunakan buku resipi, rancangan memasak dan tips dapur sebagai panduan ketika memasak.

Lazimkan mencuba sesuatu resipi, berulang kali. Cubaan kali pertama tidaklah sesempurna yang disangkakan, tetapi itulah batu loncatan seorang tukang masak yang hebat! Chef yang terkenal seperti Chef Wan juga bermula daripada kegagalan resipi pertamanya.

Masakan yang terbaik datangnya dari kasih sayang dan keikhlasan.

2. Menjahit

Pernahkah baju kemeja anda kehilangan butang? Atau seluar panjang anda terkoyak di bahagian lutut?

Sama ada menggunakan mesin jahit atau tradisional (iaitu dengan jarum dan benang), menjahit adalah satu kemahiran yang memerlukan daya konsentrasi yang tinggi. Sedikit anda tersalah jahit, pakaian tersebut mungkin tidak dapat diguna pakai lagi.

Bahkan, dalam sejarah Nabawi, Rasullullah SAW pernah menjahit bajunya sendiri. Sekiranya anda berjaya menguasai skil ini, anda mungkin dapat menghasilkan skaf, baju dan seluar buat mereka yang tersayang.

Sebagai pendahuluan, hadirilah kelas menenun dan kursus permulaan jahitan yang terdapat di sekitar bandar utama. Jika tidak, mintalah tunjuk ajar daripada mereka yang berkemahiran. Belajarlah daripada makcik yang berada di kampung.

3. Pertukangan

Pertukangan di sini bererti sesuatu yang memerlukan kekuatan daya fizikal yang tinggi dan pengetahuan yang mendalam terhadap sesuatu bidang. Contohnya; pertukangan elektrik, elektronik, paip, kayu dan batu-bata.

Kesemua jenis pertukangan ini mempunyai satu faktor terpenting, iaitu memerlukan latihan dan konsistensi.

Contohnya, membaiki paip bukan senang, namun ia tidak sesusah yang disangka. Kesemua aktiviti pertukangan lebih dikenali sebagai Do-It-Yourself (DIY), yang memberikan panduan dan manual berpandukan alat dan bahan yang digunakan.

Kedai hardware menjual hampir kesemua alat dan bahan yang diperlukan untuk tujuan pertukangan. Perlu diingatkan, pertukangan merupakan skil serbaguna dan sangat bermanfaat, khususnya dalam pembinaan rumah impian dan sumber pendapatan sekunder.

Cuba bayangkan, mesin basuh di rumah anda rosak tiba-tiba. Dengan adanya skil ini, anda dapat membaiki kerosakan mesin basuh, lantas menjadikan ia berfungsi seperti biasa.

Maka, ahli keluarga anda akan bertambah sayang atas kebolehan anda menyelesaikan isu kerosakan peralatan elektrik di rumah.

4. Komunikasi

Mengapa komunikasi diletakkan sebagai skil keempat dan bukannya skil pertama? Kerana tiga skil hidup yang dijelaskan terdahulu memerlukan latihan, pengetahuan dan pengalaman.

Rata-rata remaja berusia awal 20-an tidak memiliki tiga skil hidup yang dijelaskan di atas, kecuali bagi mereka yang mengambil kursus kemahiran dan kulinari sebagai subjek dalam pengajian universiti.

Komunikasi menggunakan daya intuitif dan kemahiran lisan, yang sering diabaikan. Kebanyakkan institusi kekeluargaan yang runtuh berpunca daripada lemahnya komunikasi sesama ahli keluarga, berlakunya salah faham dan pertengkaran lidah.

Maka, sebagai seorang lelaki, anda harus yakin dan sentiasa berwaspada akan kata-kata yang dilontarkan dari bibir.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk akibatnya.

Begitu juga dengan mesej yang cuba disampaikan kepada seseorang. Pastikan ia benar, tepat, tidak terselindung maksudnya dan tidak berputar-belit. Anda pasti tidak mahu berkelahi dengan yang tersayang gara-gara tersalah bicara.

Malah, komunikasi yang berjaya antara ahli keluarga menjamin kesejahteraan dan keharmonian keluarga tersebut. Hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga dan sahabat handai juga bertambah erat dengan adanya skil komunikasi yang efektif.

Skil ini memerlukan latihan verbal, serta kemahiran sebagai seorang pendengar yang baik.

5. Pengurusan

Seorang manusia yang berjaya adalah mereka yang dapat memaksimumkan potensi diri dan penggunaan masa. Begitu juga halnya dengan pengurusan. Anda perlu melatih diri bersikap professionalisme dan berdisiplin dalam mengatur rutin dan gerak kerja seharian.

Ini termasuk pengurusan diri, pengurusan kewangan, pengurusan masa dan pengurusan rumah tangga (jika sudah berkeluarga). Percayalah, dengan pengurusan yang teratur, skil ini dapat menyelamatkan anda daripada belenggu kerisauan dan mimpi ngeri yang berpanjangan.

Untuk mempelajari skil ini, terdapat beberapa kelas dalam talian yang menawarkan kursus pengurusan secara berbayar atau percuma. Dengan adanya pengurusan yang baik, hal ini menjamin keselesaan anda, tak kira sebagai seorang ketua, seorang pekerja mahupun sebagai seoang manusia.

Percayalah, pengurusan yang baik menjamin kelangsungan hidup yang lebih efisyen dan bermakna.

Kesimpulan

Dengan menguasai 5 skil hidup yang dimaksudkan di atas, anda bakal mempeoleh beberapa faedah. Pertama, ia dapat menjimatkan kos dan masa, khusunya dalam perkara yang melibatkan tenaga kerja (manpower) dan sumber (resources).

Seterusnya, anda dapat membantu mereka yang tersayang, seperti keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Hal ini secara tidak menambahkan keyakinan dan kepercayaan mereka kepada anda. Sudah pasti dalam apa sahaja, apabila ia dilakukan atas hasil usaha tangan sendiri dan titk peluh kudrat, pasti membuahkan seribu satu kepuasan dan keseronokan.

Cuba bayangkan, membina sebuah rumah dengan kemahiran diri sebagai seorang jurutera. Menarik, bukan?

Tambahan pula, dengan mempelajari dan mengetahui selok-belok sesuatu ilmu atau kemahiran, anda dapat menyelamatkan diri daripada masalah peribadi, rumah tangga dan kewangan.

Elakkan diri daripada ditipu dek kekurangan dan kedangkalan diri dalam sesuatu perkara. Bahkan, penguasaan sesuatu ilmu atau kemahiran dapat dijadikan sebagai daya penarik seseorang individu, di samping menambah dan menjana sumber pendapatan sekunder, jika berkemampuan.

Tentang Haniff Nasir

Haniff Nasir

Haniff merupakan seorang Penulis, Traveler, Facilitator dan Freelancer. Kini pelajar universiti di United Kingdom. Beliau gemar membaca buku dan jurnal akademik. Beliau dalam persiapan dalam menerbitkan novel sulung beliau tahun ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari blog beliau.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.