Pengenalan

Puasa merupakan satu manifeatasi keupayaan manusia sebenar kepada godaan nafsu selama sebulan. Rukun ketiga Islam ini dijelaskan dalam firman-Nya:


”Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu, supaya kamu bertaqwa.” Surah al-Baqarah, Ayat 183

Puasa itu hakikatnya bermanfaat. Malah, keadaannya lebih mencabar bagi mereka yang menetap di negara empat musim. Sebagai contoh, pada musim panas yang lalu, saya bersahur pada jam 2.45 pagi dan berbuka pada jam 9.45 malam.

Di sebalik kesukaran berpuasa di luar negara, terdapat beberapa manfaat berguna kepada mereka yang menyempurnakan ibadah yang mulia ini. 5 manfaat utama, mengikut hemah saya, seperti berikut:-

1. Siang yang panjang.


Pada musim panas, puasa dilaksanakan selama 19 jam di negara Eropah. Sweden dan Norway pula selama 22-23 jam. Nikmat siang membolehkan pelbagai aktiviti luar dapat dilaksanakan, di samping mendidik diri agar sentiasa mengingati-Nya setiap masa.

Setiap amalan yang dimulakan dengan basmalah dikira sebagai ibadah. Cuba bayangkan anda beribadah selama 19 jam setiap hari. Menarik, bukan?

2. Lebih menghargai Islam


Islam adalah agama minoriti di benua Eropah. Namun, begitu meriahnya suasana sekeliling surau dan komuniti. Setiap surau dan masjid dipenuhi jemaah, setiap kali waktu solat berjemaah dilakukan. Penduduk tempatan, tidak kira Muslim atau tidak, saling membantu dalam bulan mulia ini.

Sungguh, mereka lebih menghormati kita sebagai seorang Muslim, meski berbeza agama dan fahaman. Aktiviti malam dikurangkan. Pernah sekali, saya dikejutkan oleh jiran sebelah yang berjaga malam, untuk bersahur.

3. Kurangnya godaan makanan


Tidak meriahnya Ramadan tanpa adanya bazaar. Setiap hari, pelbagai disediakan dan dijual sebagai lauk-pauk berbuka dan bersahur. Namun, berbeza pula di sini (UK), bazaar jarang didapati. Adapun, ia anjuran persatuan komuniti Malaysia sendiri.

Ini menyebabkan seseorang tidak mudah merasa lapar dan terliur tatkala melihat aneka juadah di bazar. Malah, restoran yang menyediakan menu buffet jarang didapati di sini. Maka, nafsu lapar dan dahaga anda sangat minimal ketika menjalani ibadah puasa.

4. Mendidik diri bersifat pemurah


Ramadan bulan penuh barakah, bulan rezeki dan juga bulan pengampunan. Sebaliknya, lebihan harta milik kita disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Hal ini sekaligus bertepatan dengan konsep zuhud dalam Islam, yakni besederhana dalam kehidupan. Seimbang perihal duniawi dan ukhrawi.

Lebihan makanan berbuka diberikan kepada gelendangan (homeless). Lebihan wang saku disalurkan ke tabung kebajikan masjid/surau. Di sini, pihak kariah masjid sentiasa mengagihkan lebihan makanan kepada ahli jemaah selepas solat Maghrib. Mereka tidak membiarkan sisa atau baki juadah berbuka dibuang begitu sahaja.

5. Berpeluang melakukan sesuatu perkara baru bersama komuniti tempatan


Tahun ini, puasa di UK adalah ketika dalam musim panas. Maka, siangnya panjang, malamnya pendek. Kebanyakan pelajar undergraduate pulang ke Malaysia untuk bersama keluarga ketika dalam bulan Ramadan dan Syawal.

Adapun mereka yang berada dalam pengajian Masters dan PhD di UK terpaksa bertungkus lumus menyiapkan thesis dan laporan.

Namun, di sebalik kesibukan itu, mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti luar. Antaranya, membantu pihak masjid menyediakan makanan untuk Iftar, melaksanakan program tadarus berkala, kelas agama dan tajwid, serta mengemas dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Sungguh, perkara ini membina identiti kita sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab dan prihatin dengan kebajikan masyarakat tempatan.

Kesimpulan


Tidak kira di mana anda berada, di dalam atau di luar negara, pastikan anda mengisi masa lapang ketika berpuasa dengan aktiviti yang berfaedah, agar siang anda menjadi produktif dan aktif. Tidur itu sunnah, namun jangan terlebih tidur.

Akhir kata, jadikan Ramadan kali ini lebih bermanfaat buat diri anda berbanding Ramadan yang lalu. Sungguh, Ramadan itu menjadi lebih bermakna apabila anda merasai perbezaaan keadaan sekeliling ketika berpuasa di siang hari.

Tentang Haniff Nasir

Haniff Nasir

Haniff merupakan seorang Penulis, Traveler, Facilitator dan Freelancer. Kini pelajar universiti di United Kingdom. Beliau gemar membaca buku dan jurnal akademik. Beliau dalam persiapan dalam menerbitkan novel sulung beliau tahun ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari blog beliau.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.