Ibadah

5 Kelebihan Buat Anda ‘Raja Sedekah’

Oleh Aslam  •  10 Jun 2018  •  4 min baca

Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, berikanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi syafaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat.” Surah al-Baqarah :254

Jom kita ketahui apakah 5 kelebihan buat yang ringan tangan bersedekah;

#1- Merasakan Kelazatan Iman

Abdullah bin Mu’awiyah al-‘Amiri dari Nabi S.A.W, beliau bersabda;

“Ada tiga perkara yang sesiapa yang melakukannya, maka sungguh dia telah merasakan lazatnya iman, iaitu: Orang yang menyembah Allah yang Maha Esa dan sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali Allah, menunaikan zakat hartanya dengan baik hati yang datang kepadanya setiap tahun.”

Bersedekah adalah satu perkara yang boleh dijadikan sebagai ujian dan cubaan. Mengapa tidak, ketika diri diuji dengan ketiadaan harta, amalan bersedekah dinilai. Adakah kita mampu untuk bersedekah di saat kita juga memerlukannya.

Godaan terhadap jalan sedekah juga dibentangi dengan pelbagai cubaan seperti bisikan takut harta menjadi berkurang.

#2- Menghapuskan Dosa

Dalam satu hadis dijelaskan, bahawa Nabi S.A.W. berkata kepada Mu’az;

“Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Mu’az menjawab: “Tentu ya Rasulullah.” Beliau bersabda: “Puasa itu benteng dan sedekah itu dapat menghapus kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api.”Riwayat At-Tirmizi

Siapa di antara kita tidak pernah melakukan dosa sepanjang hidupnya? Mustahil jika tiada, pasti sahaja tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Namun, bergantung kepada peranan masing-masing bagaimana ingin menghapuskan dosa tersebut.

Tidak seseorang yang disucikan daripada perbuatan dosa selain para nabi. Maka, jika ingin terhapus daripada kesalahan yang pernah dilakukan, tidak lain tidak bukan, hendaklah bersedekah di jalan kebaikan.

#3- Merasa Aman Hari Kiamat

“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sembunyi (rahsia) atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.” Surah al-Baqarah :274

“Dan tidak pula mereka bersedih hati” menurut Ibnu Katsir, ia bermaksud tidak ada kekhawatiran terhadap anak-anak yang mereka tinggalkan dan bukan terhadap kehidupan dunia serta kemewahannya yang hilang.

Perkara ini amat penting agar Allah sentiasa memelihara kita kerana seorang mukmin amat memerlukan-Nya semasa berada di alam kematian, di dalam kubur dan hari kebangkitan kelak.

Oleh kerana itu, orang yang bersedekah itu mempunyai masa depan secerah matahari yang menyinar sewaktu di akhirat kelak.

#4- Memanjangkan Umur

Rasulullah S.A.W bersabda;

“Tidak ada yang dapat menghalang qada (ketentuan Allah) kecuali doa dan tidak ada yang memanjangkan umur kecuali amal baik”

Umur juga telah ditentukan melalui qada’ Allah S.W.T dan tidak ada sesiapa yang boleh menambahkan umurnya sendiri walaupun mempunyai segunung emas di tangannya.

Namun, umur boleh ditambahkan apabila kita menambahkan untuk berbuat kebajikan. Hakikat umur yang panjang itu perlu difahami dengan lebih teliti, bukan hanya disajikan dengan kesenangan. Adakah itu makna utama umur yang panjang? Tidak sama sekali.

Maksud ditambah atau dipanjangkan umur itu ada tiga menurut buku Rahsia dan Kelebihan Sedekah hasil tulisan Syahrin Jasah.

Pertama adalah keberkatan umur itu sendiri. Bertambah umur dengan sebab bersedekah ialah keberkatan umur bilamana seluruh waktu, selama masih ada kesempatan untuk bernafas, itulah keberkatan dalam kehidupan.

Kedua, namanya akan dikenang. Kenapa? Jika orang yang meninggal dunia adalah seorang yang suka bersedekah, namanya tetap dikenang walaupun telah meninggal dunia dan namanya sentiasa menjadi contoh dan ikutan masyarakat lain.

Ketiga, pahala yang dilakukan terus mengalir, dan tidak mustahil ini menjadi ikutan orang selepas kematiannya.

#5- Memadamkan Kemurkaan Allah

Dari Anas bin Malik R.A, katanya Rasulullah S.A.W. bersabda;

“Sesungguhnya sedekah itu benar-benar dapat memadamkan murka Tuhan dan mengelakkan mati dalam keadaan buruk (su’ul khotimah).”Riwayat Tirmizi

Bersedekah juga mampu memadamkan kemurkaan Allah kerana kita tidak sedar perlakuan manakah yang mengundang kemurkaan Allah dan dosa mana yang tidak lagi dihapuskan oleh Allah, jika ini berterusan, takut sengsara hidup kita di akhirat kelak.

Kesimpulannya, semua orang menginginkan syurga dihadiahkan padanya di akhirat kelak.

Kehidupan dunia adalah wasilah bagaimana untuk mendapatkan syurga di akhirat sana dan tidak lain tidak bukan, memastikan diri kita untuk mendapatkan rahmat daripada Allah.

Salah satu cara untuk mendapatkan hadiah tersebut adalah dengan bersedekah. Insyaa Allah sama-sama amalkan dan praktikkan amalan bersedekah ini. Ayuh!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Aslam

Aslam

Seorang yang suka membaca buku motivasi dan lebih kepada Sejarah Islam. Minat dalam mengeluarkan ayat yang puitis. Pernah memenangi Anugerah Artikel Peringkat IPG Kampus Dato’ Razali Ismail di tempat ketiga. Beberapa langkah untuk menjadi pendidik anak bangsa di bumi Malaysia ini!

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami