Ada manusia, diuji dengan ujian harta benda. Ada juga, yang diuji dengan hal rumahtangga.

Tidak terlepas, ada yang diuji dengan jodoh yang tidak kunjung tiba walaupun sudah berkali-kali usaha.

“Bila giliran awak pula?”

Ini satu persoalan biasa yang diterima apabila seseorang itu sudah menginjak umur dewasa. Soalan ini juga boleh jadi satu isu yang sensitif malah traumatis buat mereka yang masih belum berkahwin.

Apatah lagi, yang masih belum ketemu dengan calon pasangan hidup mereka. Bahkan, buat mereka yang sudah merancang masa depan dengan calon yang ada, namun timbul masalah lain pula yang membantutkan langkah mereka.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Sebagai seorang hamba kepada “Tuan” yang paling baik, Allah S.W.T Yang Maha Mencinta, Yang Maha Mengasihi hamba-hambaNya, maka tidak mungkin bagi Dia menguji untuk menyiksa jiwa kita.

Bahkan, ujian yang dicampakkan merupakan satu petanda bahawa Dia yang paling mencintai diri kita. Hanya kita yang perlu bersangka baik denganNya.

Oleh itu, buat anda yang pernah atau sedang merasai ujian ini, marilah sama-sama reset jiwa dengan memahami 5 Hikmah Diri Diuji Dengan Ujian Jodoh.

#1- Peluang Berbakti Kepada Ibu Bapa

Yakini bahawa salah satu hikmah Allah menetapkan lewatnya jodoh kerana mahu memberi peluang untuk kita mencintai orang tua yang sudah lama menjaga dan menyayangi kita dari kecil sehinggalah dewasa.

Mungkin dahulu, kita terlalu sibuk menuntut ilmu dan segala aktiviti di zaman remaja, sehingga kurangnya masa bersama orang tua kita. Nanti bila sudah berkahwin pula, bakal sibuk dengan rumahtangga pula.

Maka, inilah peluang terbaik untuk berkhidmat kepada mereka dengan sebaiknya. Sekiranya anda merupakan seorang anak perempuan, anggaplah bahawa mentaati ibu bapa merupakan latihan buat diri sebelum beralih mentaati seorang lelaki yang bergelar suami.

#2 -Peluang Memperbaiki Diri

Sebenarnya, ramai yang sangka pernikahan itu mudah dan indah. Namun, sebenarnya, pernikahan merupakan satu tanggungjawab yang besar.

Ibaratnya, ia adalah peralihan kehidupan seorang hamba ke suatu tahap yang dirinya bakal lebih lagi diuji daripada hidup yang sebelumnya bersendiri.

Manakan tidak, kehadiran bukan cuma seorang, malah lebih ramai manusia yang bakal masuk ke dalam diari hidup yang seterusnya nanti.

Maka dengan itu, banyak persediaan yang perlu dilakukan sebelum menjejakkan diri ke alam pernikahan.;

#1. Mantapkan kewangan: Menghadiri kelas-kelas atau seminar mengenai pengurusan kewangan

#2. Mantapkan ibadah: Sekiranya benar-benar mahu bernikah, siap sediakanlah diri dengan ibadah yang mantap dan istiqamah. Kerana perubahan ke arah kebaikan itu bukan senang untuk bermula sekelip mata selepas majlis walimah.

#3. Mantapkan ilmu: Antara ilmu yang penting untuk dipelajari sebelum ke alam rumahtangga adalah tanggungjawab sebenar suami dan isteri dan pendidikan anak-anak di dalam Islam

Ilmu-ilmu ini sangat penting sehingga adanya buku-buku dan bahan bacaan yang boleh dijadikan rujukan.

Sebagai contoh, Kitab Muhimmah, karangan Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani dan Kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam, karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan.

#3- Pengalaman Mengajar Diri

Apabila ada yang diuji dengan percubaan mencari jodoh berkali-kali, ini sebenarnya membuahkan satu pengalaman berharga buat diri. Bukankah ujian itu mematangkan?

Ada orang, sudah siap berkenalan. Tiba-tiba, terputus pula di tengah jalan.

Ingatlah, Allah pertemukan dengan si dia, pasti ada hikmahnya. Setiap manusia yang hadir dalam kehidupan kita sebenarnya telah Allah hadirkan bagi mengajar sesuatu buat diri kita.

Sama ada mengajar bahawa wujudnya manusia yang berperangai sebegitu dan sebegini, atau mengajarkan sesuatu yang lebih bermakna, iaitu jangan mengharapkan selain Dia sahaja.

Sebab itu, pentingnya apabila hadir seseorang yang mahu berkenalan dengan kita, jangan gelojoh memikirkan ‘Dialah jodohku sebenarnya!’

Tetapi fikirkan, ‘Adakah yang datang ini jodohku atau ujian?’

#4- Allah Mahu Hadiahkan Yang Lebih Baik

Adakala, kita terlalu mengharap pada seseorang. Hati kuat mengiyakan bahawa dialah jodoh kita yang sebenarnya.

Tetapi, rupa-rupanya, takdir Allah tidak menentukan. Kita rebah sendiri dalam kesedihan. Awas, jangan terlalu ikutkan perasaan.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” Surah al-Baqarah: 216

Sekiranya Allah mengambil sesuatu, sebenarnya Dia mahu memberikan sesuatu yang lebih baik. Anggaplah usaha yang sudah pun dilakukan itu sebagai satu ujian.

Kemudian, apabila gagal, jangan mudah putus asa. Yakini bahawa ada yang lebih baik yang Allah simpankan buat kita.

Amalkanlah doa yang Rasulullah pernah ajarkan kepada kita. Semoga ada pengganti yang lebih baik Allah berikan semula.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

#5- Belajar Mencintai Allah

Apabila jodoh belum ditakdirkan buat kita, pasakkan dalam diri bahawa ini peluang untuk kita mula bercinta dengan Allah, mendekatkan diri dengan Allah.

Sebenarnya Allah sedang memberikan peluang buat kita untuk belajar mencintai Allah Yang Maha Esa sebelum mencintai manusia yang penuh dosa.

Hakikatnya, cinta Allah tidak pernah mengecewakan, sedangkan cinta manusia selalunya menghampakan.

Allah jualah pemilik sebenar cinta. Dia jugalah yang mencintai hambaNya dengan sebenar-benar cinta.

Yakinlah bahawa Allah terlalu sayangkan kita sehingga Dia memberi peluang untuk kita mantapkan cinta padaNya dahulu sebelum mencintai manusia ciptaanNya.

Kesimpulan

Semoga dengan memahami hikmah-hikmah yang disebutkan tadi, anda menjadi lebih berlapang dada apabila diajukan dengan soalan ‘sensitif’ seperti tadi.

Biarlah orang mahu mengatakan apa. Manusia tidak memahami apa-apa. Hanya Allah yang berhak ke atas diri setiap hamba-Nya. Jadi, balaslah dengan perkataan yang baik-baik sahaja

Tentang Hanisah Zainoren

Hanisah Zainoren

Merupakan graduan perubatan di sebuah universiti di India. Minat menulis, membaca, dan menginspirasi manusia. Sudah berjaya menghasilkan dua buah buku kompilasi di bawah penerbitan KataPilarBooks (Selamat Datang Ke Wad Tarbiah dan Aku Budak Medik 3.0)

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.