Kasih sayang dan belaian dalam kekeluargaan merupakan fitrah kehidupan yang menjadi dambaan setiap manusia.

Sama ada lelaki atau perempuan, mereka memerlukan perhatian sebagai pemangkin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun bukan semua kemahuan dan idaman dapat dinikmati. Ada manusia yang hidup penuh dengan derita dan duka lara.

Tidak kurang juga yang kehilangan kasih sayang di kala mereka amat memerlukannya daripada insan tersayang.

Begitu pun ada yang tidak mensyukuri nikmat hidup dikurniakan ibu bapa dan keluarga yang penyayang.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Sebaliknya melebihkan orang lain yang hanya mencintai fizikal semata-mata dan bukan daripada hati sanubarinya.

Inilah resam kehidupan yang memerlukan manusia mempelajarinya agar tidak tersasar dari jalan kebenaran.

Kehilangan kasih sayang terutamanya daripada ibu bapa dan keluarga kian menjadi kebiasaan pada masa kini.

Kesibukan mengejar kemewahan, pangkat dan kedudukan menjadikan manusia lupa tanggungjawab dan kewajipan kepada anak-anak dan keluarga.

Keseronokan kehidupan yang sementara membuatkan manusia alpa dan terpukau dengan segala yang dimiliki.

Hakikatnya, sekalipun anak-anak adalah perhiasan kehidupan di dunia. Namun itulah ‘harta’ yang perlu dijaga untuk manfaat di ‘negeri’ yang kekal abadi.

Pun begitu, awas! jangan sampai anak-anak menjadi penyebab kepada kelalaian untuk kita beribadah.

Justeru, didiklah mereka sebaik mungkin agar mereka tidak menjadi beban sebaliknya sebagai penyelamat kita di akhirat kelak.

Satu kurniaan Allah kepada ibu bapa ialah perasaan kasih dan belas kepada anak-anak, simpati kepada mereka serta melayani mereka dengan penuh perhatian dan kasih sayang.

Perasaan yang berupa fitrah ini akan mendatangkan kesan positif kepada kehidupan anak-anak agar mereka membesar sebagai manusia yang bersyukur kepada Penciptanya.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Bukanlah daripada golongan kami sesiapa yang tidak merasa kasihan belas kepada kanak-kanak kami (golongan kecil kami) dan tidak mengetahui hak orang-orang tua kami (tidak menghormati golongan tua kami.” Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi

Justeru, apabila ibu bapa mempunyai perasaan kasihan belas serta sikap prihatin kepada anak-anak mereka akan sentiasa menjalankan hak dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Bahkan, perlakuan kasih sayang ibu bapa akan mencerminkan akhlak yang mulia kepada anak-anak, sekali gus menjadikan mereka manusia yang berbudi kepada ibu bapa apabila dewasa kelak.

Namun demikian, memanjakan anak-anak jangan sampai melupakan keutamaan keagamaan yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud;

Tiga sifat jika ia terlaksana pada seseorang, pasti orang itu akan merasai kemanisan iman iaitu (Pertama) ia mesti menyayangi Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada sesiapa yang lain. (Kedua) jika ia sayang kepada sesiapa ia menyayangi orang itu kerana Allah sahaja. (Ketiga) amat membenci untuk kembali kepada kufur, sebagaimana bencinya ia dibuang ke dalam api neraka. Riwayat Bukhari

Tip Daripada Kaunselor

#1 – Mendidik Dan Memberi Segala Keperluan Asas

Tunaikan nafkah untuk kehidupan anak-anak seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan juga pendidikan.

Demikian juga anak-anak perlu diberikan nafkah kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya demi perkembangan anak-anak yang lebih baik untuk masa hadapan mereka.

#2 – Mengasihi Dan Dikasihi

Anak-anak yang dibesarkan dengan perasaan kasih sayang serta belas kasihan akan membesar menjadi manusia yang tahu menghargai orang lain.

Mereka juga akan mengasihi orang lain sebagaimana ibu bapa memberikan mereka kasih sayang ketika mereka sedang memerlukan.

#3 – Sempurnakan Fitrah Kehidupan

Fitrah manusia di dunia ini memerlukan lima keperluan yang asasi iaitu kasih sayang (love), keseronokan (fun), kebebasan (freedom), penghargaan (appreciation) dan keperluan untuk hidup termasuk keselamatan (survival).

Justeru apabila manusia kehilangan salah satu daripadanya, mereka akan menghadapi masalah dalam kehidupan mereka.

#4 – Dekati Dengan Kasih Sayang

Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kehidupan sosial sehingga mengabaikan kasih sayang kepada anak-anak dan keluarga, tidak akan menguntungkan diri mereka.

Sebaliknya ia satu kerugian kerana anak-anak ketika itu akan mula menjauhkan diri daripada ibu bapa sebagaimana yang pernah mereka lalui tatkala mereka amat memerlukan kasih sayang.

Anak-anak yang kehilangan kasih sayang akan mencari kekurangan itu melalui pelbagai sumber yang sudah pasti berisiko. Antaranya bergantung harap kepada rakan-rakan.

Andai baik teman yang dipilih maka baiklah hasilnya. Namun apabila sebaliknya, maka kita sebenarnya telah memudaratkan kehidupan mereka.

Paling menakutkan apabila anak-anak ini lebih bahagia apabila menjadikan dadah dan kehidupan yang melampaui batas sebagai ganti kasih sayang yang dicari.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Kesimpulannya, doa dan harapan yang digantungkan kepada Allah menjadi penawar kedukaan jiwa akibat kealpaan anda ibu bapa sepanjang lalai dalam menjalankan tanggungjawab mengasihi anak-anak.

Tentang Ustaz Iqbal Zain

Ustaz Iqbal Zain

Ustaz Iqbal Zain merupakan seorang penceramah bebas, penterjemah ulama dari luar dan panel penceramah Pertubuhan KEMUDI. Mendalami pengajian khusus Feqah Imam Syafiee, Ilmu Tarbiyah dan Fiq-hudda’wah di Pusat Pengajian Darul Mustafa, Yamen. Kini menyambung pengajian di peringkat Master dalam bidang Ketamadunan Dan Falsafah Islam di Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS) di Universiti Teknologi Malaysia.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.