Kenapa hari perkahwinan dipanggil hari bahagia? Ini kerana ia merupakan detik paling manis bagi seorang gadis. Angan-angan perkahwinan yang dibina sejak kecil sedaya-upaya dilaksanakan. Kata orang, lautan dalam pun sanggup direnangi!

Tidak ada gadis yang ingin kelihatan suram di hari perkahwinannya. Saat yang manis ini pasti ingin dikongsi seindahnya bersama keluarga dan sahabat handai tersayang. Perkara paling sukar adalah menetapkan busana kahwin itu sendiri.

Biasanya, orang perempuan yang akan menetapkan tema yang akan dipilih. Moden atau tradisi, warna terang atau natural? Seiring dengan perkembangan dunia fesyen pada hari ini, terdapat 1001 pilihan busana perkahwinan yang boleh dipilih.

solemnization wedding malay

Setiap gadis pastinya ingin kelihatan cantik di hari perkahwinannya. [Zulfadli]

Sukar pula nak memilih kan! Bagaimana hendak memilih warna, material, perlu ditempah atau disewa sahaja? Tetapi, apakah panduan sebenar untuk memilih busana perkahwinan yang menawan untuk hari bahagia anda?

Busana yang menyerlahkan keayuan di sisi suami tersayang, menjaga nama baik keluarga yang sebenarnya sedang sayu melepaskan anda, dan yang penting sekali, mematuhi lunas-lunas Islam?

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Islam mengangkat darjat wanita begitu tinggi dan menjaga kehormatan wanita dengan sebaik-baik panduan.

“Sesungguhnya dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.”
Riwayat Muslim

#1 – Pemilihan Pakaian

Asas pemilihan busana muslimah ini telah diterangkan dengan begitu nyata dan lengkap di dalam Al-Quran:

 

annur31

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah An-Nur: 31)

 

Sewaktu majlis perkahwinan, sudah pasti ramai tetamu yang terdiri dari bukan mahram. Saudara-mara lelaki dan rakan-rakan pasti akan hadir. Selalunya pengantin akan merakam gambar kenangan bersama untuk kenang-kenangan.

Pakaian Busana Pengantin

Wanita yang cantik sentiasa kelihatan sopan dan kemas. [anissaku]

Busana yang dipilih hendaklah secara asasnya melindungi keseluruhan tubuh kecuali muka dan kawasan pergelangan tangan. Dress labuh, jubah moden dan baju kurung memberikan pilihan pakaian yang sopan.

Ia perlu longgar, material kain tebal (tidak jarang dan perlu memakai inner) serta tidak menampakkan susuk tubuh wanita muslimah (melekap).

Pilih pakaian yang akan membuatkan anda merasa selesa sepanjang hari serta kelihatan anggun juga pada masa yang sama.

#2 – Pemilihan Tudung

Tudung adalah item kedua terpenting yang melengkapkan penampilan anda. Anda boleh menyesuaikan bentuk muka dengan jenis dan material tudung yang dipilih.

Perkara paling utama adalah ia perlu dilabuhkan menutupi keseluruhan bahagian dada, begitu juga di bahagian belakang. Sekiranya ia selendang, lilit dengan ringkas kerana konsep less is more itu lebih menawan.

Elakkan juga material selendang yang jarang dan tipis sebagaimana diriwayatkan:

Daripada Aisyah rha katanya Asma’ binti Abu Bakar rhuma masuk ke rumah Rasulullah saw dengan mengenakan pakaian yang agak nipis. Lalu Rasulullah saw memalingkan pandangan ke arah lain sambil berkata: “Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang wanita apabila dia sudah baligh, tidak boleh lagi kelihatan kecuali ini dan ini, sambil Baginda mengisyaratkan muka dan tapak tangan.”
Riwayat Abu Daud

Sekiranya selendang agak jarang tetapi hati anda sudah pun tertawan, gunakan anak tudung labuh bertutup (inner neck). Terdapat pelbagai pilihan inner neck labuh di pasaran dan pastikan anda memilih selendang yang labuh juga. Apa yang penting, tudung yang dipilih dapat menutupi bahagian dada, belakang, leher dan juga anak rambut anda.

#3 – Pemilihan Kasut

Kasut kalau boleh mesti hendak secantik kasut Cinderella kan? Kata orang, wanita memang sukakan kasut apatah lagi untuk hari bahagia. Sebaiknya pilih kasut yang bertutup dengan stokin yang sesuai agar kaki anda tidak melecet (kerana kasut baru) dan selesa sehingga majlis selesai.

Kasut Pengantin

Pemilihan kasut yang tepat adalah kasut yang selesa dan sesuai. [farid]

Pilih juga yang mudah disarung dan tidak terlalu tinggi agar anda mudah bergerak nanti. Sekiranya anda memilih untuk membeli atau menempah sendiri busana perkahwinan anda seperti baju, tudung dan kasut, pilih item yang boleh digunakan semula.

Majlis akan datang seperti jamuan tahunan pejabat, perkahwinan sahabat baik, anda boleh mix and match item-item tersebut semula. Ia menjimatkan dan anda sentiasa cantik bergaya!

#4 – Pemilihan Mekap & Aksesori

Tiada siapa yang ingin kelihatan pucat dan lesu di hari pernikahannya. Pemilihan mekap yang tipis dan natural pasti akan menaikkan seri wajah secara semulajadi. Aksesori seperti cincin, rantai tangan sebaiknya disusuli juga dengan memakai sarung lengan pilihan.

Bahagian tangan biasanya menjadi sasaran lensa kamera dan mata tetamu sewaktu sesi menyarung cincin dan banyak lagi. Elakkan juga memakai haruman dan aksesori yang terlalu menarik perhatian.

“Setiap mata yang memandang dikira membawa kepada zina. Sesungguhnya orang perempuan apabila memakai wangi-wangian kemudian berjalan di suatu majlis, maka dia begitu dan begitu (seperti atau menjadi punca zina).”
Riwayat At Tirmizi

Rumusan – Perkahwinan Yang Diredhai

Sesungguhnya, busana perkahwinan yang tertutup mencerminkan kehormatan dan keindahan peribadi pemakainya. Jika reda Allah yang dicari sewaktu memilih busana di hari yang paling bahagia ini, mudah-mudahan keredaanNya akan diperolehi di sepanjang usia perkahwinan itu kelak.

 

albaqarah207

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. (Surah Al-Baqarah: 207)

 

Berjalan penuh tenang di hari bahagia anda dengan dia yang dikasihi dan lemparkan senyuman paling ikhlas.

Selamat menempuh saat paling manis dalam kehidupan anda. Selamat pengantin baru!

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Tentang Dalin Ali

Dalin Ali

Seorang peguam yang jatuh cinta dengan menulis. Minimalis dan gemar belajar dari universiti kehidupan. Mencari bahagia yang pasti dengan mereka yang dikasihi.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.