Allah s.w.t yang Maha Agung telah berfirman:

 

Surah Humaza Ayat 1

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (Surah al-Humazah: 1-2)

 

Maka benarlah kata-kata Allah s.w.t yang Maha Agung. Maka celakalah, dan pasti celaka. Jika didunia celaka, diakhirat sana bagaimana? Waliyazubillah. Renung sedalamnya, si pengumpat itu sebenarnya siapa?

Mengumpat

Di dalam Islam, mengumpat adalah satu kelasahan yang amat besar. [Matt]

Dia insan biasa yang memperkatakan perihal buruk orang. Seolah-olah dirinya sempurna tiada cacat celanya. Oh manusia. Akibat lidah nan satu tidak bertulang.

Jika diperhatikan, golongan ini lazimnya memperkatakan perihal orang riuh sekali. Namun, jika terdengar di hujung telinga cerita buruknya tersebar, maka habislah melenting tak sudah. Dicanangkan kembali perihal orang yang memperkatakan tentangnya.

Alhasil, hati tidak tenang, dendam kesumat membara, kasih sayang tiada. Oh! Malangnya hidup yang sedemikian rupa. Ini golongan pengumpat tahap kritikal.

Pengumpat yang ‘ok’ sedikit lain pula caranya. Hati kata tidak mahu mengumpat, “tidak elok, umpama makan daging kawan sendiri”. Tetapi apabila mendengar seseorang berkata itu dan ini maka mulalah ingin menambah sekali sebagai penyedap rasa dalam perbualan seharian.

Aduh, lazimnya itu yang terjadi. Memeriahkan suasana, menghangatkan bicara. Oh! Lalu bagaimana wahai hati?

Ya Allah, jauhilah kami dari golongan pengumpat ini dan jangan biarkan kami termasuk dalam kalangan mereka. Kerana sesungguhnya, orang yang mengumpat punyai penyakit hati. Semakin hari, semakin merebak meracuni diri. Allah.

Berikut merupakan 3 tip yang boleh digunakan buat pencinta hati yang bersih dan lidah yang fasih.

Tip #1 – Bercakap Perihal Sendiri

Bila dua orang bertemu, pasti akan berbual berkaitan sesuatu perkara. Dalam perbualan itu, cuba kaitkan dengan hal pengalaman diri sendiri sahaja. Pastinya yang baik dan bermanfaat sahaja keluar apabila bercakap tentang diri.

Ataupun, ceritakan perihal ilmu yang telah dibaca. Jika dikongsikan, lagi melekat kuat di ‘kortex medulla oblongata‘ bukan?

Tip #2 – Jangan Bercakap Perihal Orang

Pasak pada jiwa. Niatkan dalam hati. Saya tidak boleh bercerita tentang orang lain. Melainkan orang itu ada didepan mata dan sedang menayang giginya.

Untuk tips ini, penetapan minda itu penting. Menjadi kebiasaan seseorang untuk tersasar dengan istilah “tapi”. Perkara ini menambahkan saham dosa mengumpat ketika menceritakan sesuatu yang kontra. Allahu. Sedih.

Menceritakan buruk orang itu tiada baiknya. Cerita itu jika benar maka dapatlah dosa mengumpat, manakala yang salah dapatlah dosa memfitnah. Akaun debit kredit pahala terus aktif serta merta hanya dengan sebab lidah yang “tergelincir” dari landasan.

Tip #3 – Diam, Berdoa & Membenci

Menjadi kebiasaan untuk para wanita berkumpul beramai-ramai. Maka dikala perjumpaan itu, jika terdengar perihal buruknya orang, teruslah berdiam diri. Mengiakan pun tidak, menidakkan pun tidak.

Kemudian, doakan si pulan binti pulan itu kerana dosa mengumpatnya. Semoga dosa lidahnya diampunkan Allah s.w.t. kerana dirinya mengumpat dalam keadaan jahil. Seterusnya, benci dalam hati perbuatan itu.

ceramah

Jika terdengar orang mengumpat, terus berdiam diri. Doakan dirinya dan benci dari hati.

Jangan ditegur si pulanah diwaktu itu, takut dirinya terasa dimalukan. Namun, jika berdua dan mampu untuk tegur, tegurlah secara berhemah.

Diakhirat kelak, lidah yang banyak cabangnya ini akan terkatup kelu dan bisu. Terkatup serapat-rapatnya.

 

Surah Yasin Ayat 65

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Surah Yasin: 65)

 

Sungguh, si bijaksana itu adalah yang mengkaji kurangnya diri sendiri. Bukannya mengaudit diri yang lainnya. Dalam memikirkan mati yang indah bertemu Allah.

Wabihi Wallahua’alam.

Tentang Juwairiyah Kamil

Juwairiyah Kamil

Seorang guru muda yang menyimpan hasrat besar untuk menyebarkan apa yang ada dalam jiwa. Bercita-cita menjadi hamba sebenar-benar hamba dan khalifah sebenar-benar khalifah sebelum sampai masa ke negara abadi di sana.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.