“Tiada duka yang abadi di dunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan dijalani”

Lagu dari Opick terngiang-ngiang. Terlalu banyak perkara di atas dunia ini yang boleh membuatkan kita gusar dan sedih bukan? Dada tiba-tiba menjadi sesak seakan tidak dapat bernafas. Segala perasaan menyerbu lalu membuatkan pandangan menjadi kabur dan air mata pun menitis.

Kita hamburkan segala sedu sedan dalam tangis mengharapkan segalanya akan habis. Atau ada yang memilih untuk tidur untuk melupakan segala masalah. Mengharapkan setelah bangun masalah akan hilang dan hidup akan berjalan seperti biasa.

Namun hakikatnya masalah tetap masalah. Ada masalah yang mampu dihadapi dan diselesaikan dengan segera. Pasti ada juga masalah yang menemui jalan buntu. Tidak ada pintu segera yang boleh kita buka untuk meloloskan diri darinya.

Maka pada titik inilah manusia kerap kembali pada Tuhan, menukar semula arah pandangan kepada Yang Maha Kuasa dan Yang Paling Mampu melakukan apa saja. Itulah bezanya antara orang yang yakin dan sebaliknya.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Orang yang yakin dan percaya tahu bahawa di sebalik segalanya, ada Allah Yang Maha Mengatur urusan hamba-hambaNya. Bahawa tidak ada daya dan upaya melainkan dari Allah jua.

#1 – Dengan Al-Quran, Allah Mengingatkan Bahawa Kesedihan Dan Kegembiraan Juga Suatu Yang Sementara

“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri” (Al Hadid: 22-23)

Ayat di atas menerangkan suatu hal yang kerap kali kita lupa, bahawa segala yang ada di sekeliling kita, yang kita punya, yang kita miliki hakikatnya adalah sesuatu yang sementara. Maka itu bermakna perasaan juga termasuk hal yang tidak akan kekal kerana sifat hati hakikatnya sesuatu yang berbolak balik.

Kegembiraan dan kesedihan akan sentiasa datang silih berganti. Sekejap kita merasai kegembiraan, dan sekejap pula kita merasai sedih. Maka, pilihlah yang sekadarnya sahaja.

#2 – Selawat Sebagai Penenang Jiwa

Bukan sahaja Allah menyediakan ayat-ayat penenang di atas, malah Allah juga menyarankan hamba-hambanya untuk sentiasa berselawat ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW.

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”( Surat Al-‘Aĥzāb: 56)

Rasulullah bersabda;

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali.”

Imam at-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ubay bin Ka’ab, daripada ayahnya Radhiyallahu anhuma, beliau berkata:

“Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, aku hendak memperbanyak selawat kepadamu, berapa banyakkah aku harus berselawat kepadamu?

Rasulullah SAW menjawab: ‘Berapa saja sekehendakmu.’ Aku katakan: ‘Seperempat?’ Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Terserah engkau, dan jika engkau menambahnya, maka itu adalah suatu kebaikan bagimu.’ Aku katakan: ‘Setengah?’

Rasulullah SAW menjawab: ‘Terserah engkau, dan jika engkau menambahnya, maka itu adalah sebuah kebaikan bagimu.’ Aku katakan: ‘Dua pertiga?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Terserah engkau, dan jika engkau menambahnya, maka itu adalah sebuah kebaikan bagimu.’

Aku kata-kan: ‘Aku akan menjadikan selawat kepadamu seluruhnya.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika demikian, maka semua keinginanmu terpenuhi, dan dosamu akan diampuni.’”

Al-Imam ath-Thaibi ketika menjelaskan sabda SAW : “Jika demikian, maka semua keinginanmu akan dipenuhi,” beliau berkata: “Maknanya adalah semua keinginan dunia dan akhiratmu akan terpenuhi, karena berselawat kepada beliau mencakupi berzikir kepada Allah SWT sekaligus penghormatan kepada Rasulullah SAW, juga merupakan sebuah pengorbanan hak diri sendiri dengan tulus dari hati mereka.

Sungguh sebuah amal mulia yang keluar dari hati yang agung dan merupakan sebuah amal yang memiliki akibat yang terpuji. – Syarh ath-Thaibi (3/1046)

Lihatlah betapa besarnya manfaat selawat ke atas seseorang yang mengucapkannya. Selawat bukan hanya untuk Nabi malah kebaikannya kembali kepada kita sendiri. Selawat menjadi asbab kepada terangkatnya doa dan terampunnya dosa. Selawat ibarat hadiah kepada seseorang yang dimuliakan Allah walaupun dalam masa yang sama kita sedang bersedih.

Allah bukan tidak tahu bahkan Allah lebih tahu, bahawa kita memerlukan sedikit ketenangan dan pertolongan namun berkat kita mengingati Rasulullah yang jauh lebih besar ujian semasa hayatnya, maka Allah menghadirkan ketenangan dan melapangkan dada orang yang berselawat.

Dalam hadis di atas terkandung harapan bahawa permasalahan yang kita hadapi akan dipermudahkan Allah, InsyaAllah.

#3 – Sujudlah Tanda Penyerahan

Sujud di sini bermakna menunaikan solat. Apa yang kita rasa setiap kali menunaikan solat? Pasti berbeza rasanya apabila kita memperoleh khusyuk dalam solat dan sebaliknya. Ada yang mencadangkan agar kita memahami setiap apa yang kita tuturkan dalam solat supaya khusyuk mudah hadir. Supaya solat kita bermakna dan tidak hanya perbuatan tunduk bangun semata-mata.

Selain itu, sematkanlah dalam hati, kesedaran sebenar-benarnya bahawa kita sedang menghadap Pencipta, dan seolah-olah sedang bercakap denganNya. Bahawa kita sedang meluahkan sesuatu.

Kita mohon dalam bacaan Al-Fatihah agar dikurniakan pertolongan dan ditunjukkan jalan yang lurus. Bermakna kita memohon agar dikeluarkan dari permasalahan yang dihadapi. Orang yang sedang bercakap dan meluah pasti ingin didengari, maka lakukanlah solat kita dengan sebaiknya,dengan penuh tertib dan merendah diri.

“Maka bersabarlah untuk (melaksanakan) ketetapan TuhanMu, dan janganlah engkau ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.

Dan sebutlah nama TuhanMu pada waktu pagi dan petang.
Dan pada sebahagian dari malam, maka bersujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari” (Al-Insan: 24-26)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhya hal itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ , (iaitu) orang-orang yang menyakini, bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”(Al-Baqarah 2:45-46)

Sebagaimana yang dikatakan Muqatil bin Hayyan dalam tafsirnya mengenai ayat ini, “Hendaklah kalian mengejar kehidupan akhirat dengan cara menjadikan kesabaran dan mengerjakan berbagai kebajikan dan solat sebagai penolong.”

Ibnul Mubarak meriwayatkan dari Sa’id bin Jubair, katanya, “Kesabaran itu adalah pengaduan hamba kepada Allah atas apa yang menimpanya, dan mengharap keredaan dari sisiNya dan menghendaki pahalaNya. Terkadang seseorang merasa cemas tetapi ia tetap tegar, tidak terlihat darinya kecuali kesabaran.”

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Imam Ahmad meriwayatkan dari Hudzaifah bin al-Yaman, katanya,

“Rasulullah SAW jika ditimpa suatu masalah, maka segera solat.(Riwayat Abu Daud)

Dr Aidh Al-Qarni dalam salah satu videonya mengatakan bahawa di antara masalah dan jalan penyelesaian ibarat dahi dan tempat sujud. Maka bersujudlah!

Kesimpulan

Doa, selawat dan solat bukanlah escapism(jalan melarikan diri) dari masalah. Bahkan itulah salah satu jalan untuk kita keluar dari permasalahan yang sedang di hadapi iaitu dengan memohon pertolongan kembali kepada Yang Maha Mengatur urusan hambaNya. Yang Maha Mengetahui setiap keluh kesah, setiap bisik yang jauh di lubuk hati manusia.

Diriwayatkan dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

اَللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَ أَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً

“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah. Dan apabila Engkau berkehendak, Engkau akan menjadikan kesusahan menjadi kemudahan.”

Amalkan juga doa khusus di atas agar ketenangan yang hadir selepas itu akan membuatkan fikiran kita lebih terang dan terpandu dalam menyelesaikan masalah yang di hadapi. InsyaAllah.

Tentang Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.