1

Sponsored

1. Masjid Sheikh Lotfollah, Iran

Masjid yang berada di Isfahan ini masih kurang diterokai dan dikunjungi pelawat-pelawat dari seluruh dunia akibat sekatan tertentu dalam struktur politik dan ekonomi yang mengehadkan aktiviti pelancongan di Iran. Masjid yang dibina pada awal kurun ke-17 di bawah pemerintahan Shah Abbas I ini, tidak mempunyai laman atau menara seperti kebanyakan struktur seni bina masjid lain.

2

2. Masjid Nasir al Molk, Shiraz, Iran

Pasti ramai belum mengetahui kewujudan Masjid Nasir al Molk, sebuah masjid yang ter‘sorok’ di dalam kawasan Universiti Bandar Shiraz di selatan Iran. Uniknya masjid ini pada materialnya, iaitu serpihan kaca berwarna-warni, sesuatu yang sangat jarang didapati dalam seni bina masjid mahupun seni bina Islam!
(Bayangkan rupa di dalam masjid ini apabila cahaya matahari pagi dan petang menembusi tingkap kaca berwarna-warni ini!)

3

3. Masjid Biru, Istanbul, Turki

Megah berdiri, tersergam indah, namun selalu dekat di hati. Masjid Biru ini mempunyai enam menara yang menjadi mercu tanda ruang udara Istanbul. Ruang dalamannya pula menyerlah dengan jubin-jubin Iznik berwarna biru, satu ciri khas yang mendorong kepada nama Masjid Biru ini. Masjid yang dibina pada zaman pemerintahan Ahmed I (sekitar 1609 dan 1616) ini dibuka setiap hari kepada pengunjung bukan Muslim kecuali pada waktu solat.

4

4. Aya Sofya, Turki

Aya Sofya yang berusia lebih 1,000 tahun ini, asalnya adalah sebuah gereja dan masih utuh berdiri walaupun dibina sejak kurun ke-6 lagi. Apabila Empayar Uthmaniyah mula mengambil alih pemerintahan, bangunan ini mula ditukar fungsi sebagai masjid. Sepanjang kurun ke-16 dan 17, mihrab dan mimbar mula ditambah pada struktur asal Aya Sofya, sehingga hari ini kita dapat melihat mozek berkilauan dari Empayar Byzantine dan inskripsi tulisan Arab daripada Al-Quran.

Sponsored

5

5. Masjid Amir Aqsunqur, Kaherah, Mesir

Masjid yang wujud sejak kurun ke-14 di Kaherah ini dibuka semula pada bulan Mei 2016 setelah menjalani proses baik pulih selama 13 tahun akibat gempa bumi. Masjid ini juga terletak dalam kompleks perkuburan dan juga lokasi makam Shams El-Din Aqsunsuqur dan anak-anak lelakinya. Kualiti estetikanya mencerminkan gaya seni bina Empayar Uthmaniyyah, terutamanya pada jubin-jubin Iznik yang berupa pepohon sipres dan pasu terkandung bunga tulip.

6

6. Masjid Ibn Tulun, Mesir

Masjid yang bersifat sederhana namun tidak kurang cantiknya ini terletak di tengah-tengah bandar Mesir. Mula dibina pada Era Abbasiyah, masjid ini pernah menjadi lokasi penggambaran filem James Bond dalam episod ‘The Spy Who Loved Me’. Masjid yang dipercayai sebagai yang tertua di Kaherah ini pernah melalui beberapa kali proses pemuliharaan.

7

7. Masjid Hassan II , Maghribi

Masjid Hassan II mempunyai menara masjid tertinggi di dunia, pada ketinggian 210 meter. Masjid ini juga ketiga terbesar di dunia dan satu-satunya bangunan masjid yang boleh dimasuki bukan Muslim. Keindahan masjid ini turut diangkat dengan lokasi strategik di pinggiran Kota Casablanca. Selain itu, masjid ini juga mempunyai lantai kaca yang memberi visual dan emosi seolah-olah anda berjalan di atas air!

8

8. Masjid Al Aqsa, Jerusalem

Masjid ketiga paling suci dalam Islam ini tersenarai dalam bangunan bersejarah UNESCO. Masjid Al-Aqsa pernah musnah akibat gempa bumi dan dibina semula beberapa kali. Dahulunya berfungsi sebagai sebuah istana, namun khalifah-khalifah Islam telah membaik pulih dan menggunakannya sebagai rumah ibadah.

9

9. Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi

Diisytihar sebagai masjid paling suci dalam Islam, Masjidil Haram yang terletak di bumi Mekah ini adalah masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bermaksud masjid yang dihormati atau dimuliakan. Sejak tahun ke-8 kerasulan Nabi Muhammad SAW, Masjidil Haram telah dijadikan sebagai tempat ibadah umat Islam. Sejak itu, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam dari berbagai-bagai penjuru dunia untuk melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu.

10

10. Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi

Masjid yang turut dikenali sebagai masjid nabi ini dibina oleh Rasulullah SAW sekitar tahun 622 Masihi, iaitu tahun pertama penghijrahan Nabi dan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Di sinilah terletaknya Makam Nabi, iaitu di bawah kubah berwarna hijau. Selain itu, ia turut menempatkan makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Masjid ini juga merupakan Masjid terbesar ke-2 di dunia, selepas Masjidil Haram di Mekah.

11

11. Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Malaysia

Dibina sekitar tahun 1913-1917, masjid ini adalah antara masjid tercantik di Malaysia. Masjid dengan struktur 4 buah menara dan kubah emas, masjid ini sangat sinonim dengan julukan Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak. Masjid ini direka oleh arkitek British, Arthur Benison Hubback, yang turut mereka bentuk Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.

12

12. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor, Malaysia

Dibina dengan menitipkan unsur Melayu Moden, masjid ini mempunyai kapasiti bagi menempatkan 24,000 jemaah dalam satu-satu masa. Masjid ini dihias indah dengan kehalusan kaligrafi beserta tingkap kaca berwarna biru. Kubah aluminium menjadi karakter penting dalam seni binanya, dan diperkukuhkan pula dengan panel-panel keluli yang diukir dengan ayat-ayat Quran.

13

13. Masjid Faisal, Pakistan

Sekali pandang, tentu ramai yang terpegun dengan senibina moden masjid ini. Struktur bumbung konkrit bersegi lapan ini diinspirasikan daripada kombinasi bentuk khemah badwi dan juga Kaabah. Terletak di Islamabad, masjid ini berdiri megah berlatarbelakangkan Bukit Margalla. Masjid Faisal pernah disebut dalam sebuah buku yang terkenal, ‘The Kite Runner’. Arkitek yang bertanggungjawab ke atas reka bentuknya ialah seorang arkitek dari Turki, Vedat Dalokay.

14

14. Masjid Wazir Khan, Pakistan

Diibina di bawah pemerintahan Shahabuddin Muhammad Shah Jahan pada kurun ke-17, setiap biji batu bata yang menegakkan masjid ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Maka, tidak hairanlah masjid ini berada dalam senarai tentatif UNESCO bagi tapak bersejarah dunia sejak 1993. Terletak di bandar Lahore, masjid ini cukup berwarna-warni dengan lukisan ‘fresco’ beserta jubin-jubin berwarna biru, hijau, oren, kuning, dan ungu.

15

15. Masjid Badshahi, Pakistan

Inilah sebuah lagi masjid yang terdapat di bandar Lahore dan turut dibina sekitar kurun ke-17. Namun, berbeza daripada masjid Wazir Khan, Masjid Badshahi ini menggunakan bata pasir merah dan marmar sebagai bahan utamanya. Pada asalnya, menara masjid yand besar ini sepatutnya digunakan untuk menyimpan senjata sebagai persiapan menghadapi Perang Saudara Sikh pada tahun 1841.

16

16. Taj-ul-Masjid – Bhopal, India

Nama masjid yang bermaksud “Mahkota Antara Masjid-masjid” ini adalah antara masjid yang terbesar di Asia. Masjid ini gah berdiri dengan warna jingga pada bahagian hadapan, dua menara oktagon setinggi bangunan 18 tingkat, ruang laluan setinggi bangunan 2 tingkat, dan kubah diperbuat daripada marmar. Kapasitinya mampu memuatkan 175,000 jemaah, menjadikan masjid ini masjid terbesar di India.

17

17. Masjid Jama, Delhi, India

Masjid ini turut dikenali sebagai Masjid Jahan-Numa yang bermaksud Masjid Cermin Dunia. Masjid utama yang berada di kawasan Delhi lama ini didirikan Kaisar Mogul, Shah Jahan, yang terkenal dengan pembangunan Taj Mahal.

18

18. Masjid Sheikh Zayed, Abu Dhabi, Arab Saudi

Masjid ini menggabungkan stail seni bina Mamluk, Uthmaniyah, dan Fatimid, dan semestinya mesti termasuk dalam senarai pasti lawat bagi penggemar seni bina. Mana tidaknya, ketika dibina, sebanyak 1,200 artisan telah dikerahkan bagi membuat karpet masjid ini selain memiliki lampu chandelier seberat 12 tan!

19

19. Masjid Sultan Qaaboos, Oman

Lokasinya yang terletak bersebelahan lebuh raya di Muscat mungkin tidak nampak menenangkan. Tetapi, sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam taman masjid ini, sangkaan anda pasti meleset! Masjid ini mempunyai laman luar yang menakjubkan, pintu-pintu gerbang yang elegan, dan kubah – kubah ‘muqarnas’ yang begitu indah. Maka, tidak hairanlah Masjid Sultan Qaaboos diangkat sebagai salah sebuah bangunan tersohor di negara teluk ini.

20

20. Masjid Samarra, Iraq

Wah, uniknya rekabentuk masjid ini bukan? Sebenarnya, apa yang anda lihat hari ini cumalah sebahagian daripada keseluruhan masjid yang dibina seawal kurun ke-9. Menara ‘Malwiya’ berbentuk kon berlingkar ini berketinggian 52 meter tinggi dan 33 meter lebar pada tapak paling bawah. Masjid ini pernah menjadi mangsa kemusnahan pada tahun 1278 dan terakhir sekali pada 2005. Kini, ia termasuk dalam senarai tempat bersejarah yang perlu dijaga UNESCO.

21

21. Masjid Lala Mustafa Pasha, Cyprus

Dibina sekitar 1298-1400, bangunan ini adalah antara bangunan zaman pertengahan terbesar di Famagusta. Sebenarnya, masjid ini sememangnya berasal daripada sebuah gereja bergelar ‘St Nicholas’s Cathedral’ sebelum bandar ini ditakluki Empayar Uthmaniyah pada 1571. Masjid ini juga pernah dikenali sebagai ‘Ayasofya Mosque of Magusa’. Apabila ditukar fungsi kepada sebuah masjid, semua ikon, simbol dan lukisan binatang atau manusia telah dialih, dibuang, atau digantikan.

22

22. Masjid Umayyad, Syria

Masjid yang turut dikenali sebagai ‘The Great Mosque of Damascus’ ini adalah salah sebuah bangunan yang tercantik pernah didirikan dalam sejarah pembangunan Islam. Siap dibina seawal 715 Masihi semasa pemerintahan Khalifah al-Walid I, di sinilah juga terletaknya makam Nabi Yahya AS.

23

23. Masjid Besar Herat, Afghanistan

Walaupun asas bangunan ini telah dibina sejak tahun 1200, namun masjid ini mengalami pelbagai proses pembangunan penambahbaikan dan perluasan ruang keseluruhannya. Lihatlah saja betapa halusnya senibina masjid ini. Ciri keistimewaan masjid ini terdapat pada kemasan lapis lazuli (sejenis permata berharga) yang digunakan pada bahagian hadapan bangunan ini. Lapis lazuli adalah sebuah permata purba dan pernah dianggap lebih berharga berbanding emas pada suatu masa dahulu!

24

24. Katedral-Masjid Cordoba, Sepanyol

Biarpun bangunan ini memperlihatkan keagungan seni bina Moor, Katedral-Masjid tidak lagi berfungsi sebagai sebuah masjid pada hari ini. Pada tahun 600, bangunan ini asalnya dibina sebagai sebuah gereja Kristian Katolik, kemudian dikongsi kedua-dua penganut Islam dan Kristian melalui pembahagian ruang. Selepas itu, bangunan ini dijadikan masjid pula selama beberapa era, namun akhirnya menjadi gereja roman katolik sejak kurun ke-16 hingga sekarang.

25

25. Masjid Koutoubia, Maghribi

Seandainya berpeluang menjejakkan kaki di Marrakesh, jangan lepaskan peluang melawat masjid ini, terutamanya bagi melihat struktur menara yang dibina dengan teliti dan kaya dengan seni pertukangan halus. Ia adalah antara struktur menara Almohad tertua di dunia. Bukan itu saja, kompleks masjid ini turut dikelilingi taman yang menenangkan! Nama lain bagi masjid ini ialah ‘Mosque of the Booksellers’, sempena berlangsungnya aktiviti perdagangan buku-buku di sekitarnya pada suatu masa dahulu.

Kongsikan Tazkirah Ini


Nazurah Hassan

Nazurah Hassan
Saya seorang surirumah dan penulis topik kekeluargaan. Sedang merantau dan kini menetap di Sarawak.