Keluarga

11 Perkara Ini Boleh Mengeratkan Hubungan Adik-Beradik

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  23 Jul 2017  •  4 min baca

“Tidak masuk syurga orang yang memutus keluarga.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Melalui hadis ini sudah dijelaskan tentang betapa pentingnya menjaga hubungan silaturahim dalam kekeluargaan. Dalam hubungan adik beradik ini pasti ada pasang surutnya, terkadang ada tersalah faham dan terselisih pendapat. Namun semuanya itu boleh dibaiki dan dipulihkan semula, bak kata pepatah, ‘air yang dicincang tidak akan putus’.

Jadi bagaimana peranan setiap adik-beradik bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan agar ianya sentiasa subur dan erat selalu? Mari kita ikuti tips ini.

#1 – Solat Berjemaah

Solat secara berjemaah juga ialah cara yang terbaik untuk mengeratkan silaturahim. Apatah lagi selepas bersolat kita akan bersalaman sesama adik-beradik dan berdoa bersama-sama. Dengan itu hubungan kekeluargaan akan lebih diberkati oleh Allah SWT.

#2 – Makan Bersama

Waktu makan ialah waktu yang tepat bersama-sama atau berkumpul beramai-ramai. Tambahan lagi jika melibatkan adik beradik dan ahli keluarga yang ramai, keraplah makan bersama-sama.

Selain itu jika terdapat apa-apa majlis seperti kenduri dan keraian, berkunjunglah agar hubungan sesama adik-beradik setiasa rapat dan tidak terputus.

#3 – Peranan Ibu bapa

Dalam usaha mengeratkan hubungan sesama keluarga, peranan ibu bapa sangat penting. Jangan sesekali mengabaikan anak-anak dan yang paling penting elakkan sikap pilih kasih dan berat sebelah terhadap anak-anak.

Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh hubungan yang baik sesama pasangan selain banyak meluangkan masa dengan anak-anak. Dengan itu barulah anak-anak juga akan ikut sama berkasih sayang.

#4 – Berkongsi Masalah Dengan Adik-Beradik

Kebanyakan orang kerap menjadikan sahabat karib sebagai tempat meluahkan masalah, tetapi ahli keluarga juga adalah tempat yang lebih sesuai untuk menjadi penasihat dan pendengar yang baik.

Ini kerana faktor mereka lebih mengenali kita berbanding orang lain. Dengan itu sudah tentu mereka dapat memberi nasihat yang lebih tepat dan yang terbaik untuk kita sebagai ahli keluarganya.

#5 – Melakukan Aktiviti Bersama-sama

Jangan selesa apabila bersendirian tanpa keluarga dan adik-beradik. Lakukanlah apa-apa jua aktiviti secara bersama-sama. Ambillah waktu untuk bercuti bersama-sama ataupun melakukan aktiviti riadah dengan ahli keluarga seperti berkelah, membeli-belah dan sebagainya. Paling terbaik, adakan hari keluarga.

#6 – Menyambut Hari Penting

Ahli keluarga juga boleh mengeratkan hubungan dengan meraikan hari-hari penting bagi setiap ahli keluarga. Contohnya meraikan ulang tahun setiap adik-beradik, ulang tahun perkahwinan ibu dan ayah dan sebagainya.

Tindakan ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi sebagai tanda penghargaan kepada ahli keluarga tersebut. Mereka juga akan berasa bahagia dan gembira.

#7 – Memberi Hadiah Dan Buah Tangan

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk sentiasa memberi. Iaitu sebagai bentuk buah tangan atau hadiah. Contohnya jika pulang dari bercuti atau melancong, belilah apa-apa sahaja untuk ahli keluarga, biarlah tidak mahal tetapi tetap ada untuk mereka.

Jenama, harga dan rupa tidaklah penting, tetapi pemberian tersebut yang ikhlas akan memberi kesan. Dari Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda,

“Barangsiapa bertemu saudaranya dengan membawa sesuatu yang dapat menggembirakannya, pasti Allah akan menggembirakannya pada hari kiamat.”(Hadis Riwayat Thabrani)

#8 – Sentiasa Berkomunikasi

Seringlah berhubung antara satu sama lain walaupun berada di tempat yang berjauhan. Dengan kemudahan teknologi hari ini sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak berhubung.

Contohnya aplikasi whatsapp, facebook yang memudahkan kita menghubungi adik-beradik dan keluarga bila-bila masa sahaja. Tidak seperti zaman dahulu yang memerlukan sepucuk surat sampai berhari-hari lamanya.

#9 – Saling Menghormati

Hal yang sangat perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah rasa hormat antara satu sama lain, terutamanya bagi adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT.

Namun ni tidak bermakna abang dan kakak tidak perlu menghormati adik-adiknya. Hormat menghormatilah antara satu sama lain daripada aspek percakapan, perbuatan menjaga perasaan dan sebagainya. Jangankan kita sahaja mengharapkan orang lain menghormati kita tanpa kita menghormati orang lain terlebih dahulu.

#10 – Menghargai Dan Mencari Kelebihan Mempunyai Adik-Beradik

Ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak untuk bersyukur kerana diberi adik-beradik. Ajarlah mereka mensyukuri apa yang ada dan membandingkan diri dengan mereka yang tidak mempunyai adik-beradik.

Jangan sesekali berasa tertekan dan mengangap bilangan adik beradik yang ramai sebagai bebanan dan sukar, sebaliknya anggaplah kehadiran adik-beradik sangat memeriahkan dan tidak sunyi.

#11 – Mudah Memaafkan

Adalah perkara biasa jika terdapat perselisihan antara adik-beradik. Namun, hal tersebut jangan dipanjangkan dan segera diselesaikan daripada dibiarkan berlarutan. Segeralah memohon maaf dan mudahkanlah menghulurkan kemaafan.

Jangan ego dan terlalu meninggi diri dengan adik-beradik, tetapi keraplah bertolak ansur dan bersangka baik. Jika ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah dan lemah lembut. Cara itu adalah lebih baik dalam menjaga keharmonian kekeluargaan.

Menjaga keharmonian institusi keluarga sangat penting dan dituntut dalam agama. Walaupun sering berselisih faham, bergaduh dan berebutkan benda, adik-beradik tetap mempunyai hubungan yang istimewa antara satu sama lain.

Disebabkan itulah jangan sesekali mengacuhkan hubungan kekeluargaan ini dengan tidak menjaga hubungan silaturahim bersama. Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah menyambung keluarga (silaturahim).”(Hadis Riwayat Bukhari)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami