Ini persoalan hidup atau mati. Tersilap kata padah menunggu. Hajar Aswad atau ‘batu hitam’ mesti diletakkan semula di tempat asalnya. Tetapi siapa yang paling berhak mengalihkannya?

Hinggalah seorang pemuda muncul dengan satu idea yang unik. Serban dibentang lalu Hajar Aswad diletakkan di tengah-tengah. Semua ketua kabilah dijemput mengangkat serban ini bersama-sama. Kini semua orang sudah boleh tersenyum. Pemuda ini telah menjadi hakim yang bukan sahaja adil tetapi genius juga.

Siapakah pemuda dengan idea super kreatif ini? Beliau sebenarnya adalah baginda Nabi Muhammad saw yang telah menawan hati seluruh penduduk Mekah dengan peristiwa Hajar Aswad ini.

Seronok juga jika kita dapat berfikir dengan kreatif kan? Masalah dapat diselesaikan dengan mudah dan bagi mereka yang bekerja dalam bidang kreatif, idea adalah segala-galanya. Tetapi idea tidak pula selalu datang mencurah-curah. Ada kalanya otak kita menjadi beku seperti iceberg juga.

Jangan risau, ini perkara biasa bagi orang yang sentiasa memerah idea. Kita cuma perlukan sedikit atau mungkin beberapa cara untuk mencairkan iceberg ini!

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

1. Masa Untuk Kemaskan Meja!

Meja yang kemas memudahkan kita mencari alatan penting jika idea muncul secara tiba-tiba. Ketepikan alatan yang jarang digunakan dan letakkan tugasan utama sahaja di atas meja. Hadiahkan diri sendiri buku nota, set pensel warna, sketch book baru atau apa sahaja yang boleh buat kita lebih gembira untuk memulakan eksperimen.

2. Sentiasa Tuliskan Idea

Idea boleh muncul di meja kerja mahu pun sewaktu kita sedang makan di restoran. Biasakan diri untuk menulis di buku nota atau telefon bimbit idea-idea kecil yang terlintas di fikiran. Kita memang semakin pelupa dari sehari ke sehari, jadi catitkan idea ini manalah tahu jika ini keratan jigsaw puzzle terakhir yang kita cari nanti.

3. Tulis Secara Spontan

Cuba tulis secara spontan di dalam diari, buku nota atau blog. Salin ayat dari buku kesukaan, lirik lagu kegemaran atau perbualan yang mencuit hati. Lukis doodle sewaktu berbual di telefon atau menunggu giliran. Cara ini melatih sel-sel otak kita untuk sentiasa berhubung. Idea yang kreatif terhasil dari cetusan tulisan dan lakaran-lakaran yang diperbaiki setiap hari.

4. Log Out Dari Internet

Bertanya Google dan melayari media sosial memang mudah dan menghiburkan. Tetapi adakalanya idea-idea baru hanya diperolehi sewaktu kita berhadapan dengan realiti hidup yang sebenar. Cuba log out media sosial kita, tutup komputer dan tinggalkan gajet di rumah. Dapatkan idea segar dengan berbual dengan orang di sebelah ataupun dengan berlari-lari anak di taman.

5. Balik Kampung!

Pulang ke kampung atau kembali ke pangkuan ibu bapa kita. Zaman kanak-kanak adalah paling menggembirakan kerana kita sentiasa panjang akal sewaktu menyelesaikan masalah. Telusuri denai yang kita lalui, pokok yang kita panjat dan tempat kita jatuh sewaktu belajar naik basikal dahulu. Dan, jangan lupa minta mak ayah doakan kita juga.

6. Kemaskan Bagpack

Berkunjung ke tempat orang lain membuka fikiran kita dengan lebih luas. Tidak perlu percutian mewah atau selesa, percutian backpackers misalnya memberikan rasa berdikari, survival dan lebih menghargai peluang yang muncul dalam hidup ini. Peluang untuk dapatkan idea baru? Infiniti.

“Travelling is about letting go what you know in search of something you don’t know”.
Waida Yusof, Traveller

7. Jadi Ulat Buku

Tahu tak dengan membaca kita boleh mengembara tanpa perlu bergerak seinci pun? Jika kita ada kekangan untuk pergi bercuti apa kata cuba baca buku dalam pelbagai genre. Jika berjiwa romantik, baca buku cerita seram. Pergi ke perpustakaan, atau duduk di bangku paling selesa di taman dan tenggelam dalam cerita dan pengembaraan orang lain.

8. Ambil Risiko

Idea yang unik terhasil jika kita mula keluar dari zon selesa. Cuba dengar saluran radio lain atau ambil laluan lain sewaktu memandu ke satu-satu destinasi. Manalah tahu, kita mungkin terjumpa warung pisang goreng yang tersedap di dunia. Jika perlu lakukan bungee jumping atau mendaki gunung, lakukan sahaja! Kita pasti terkejut mengetahui kita ini berani juga orangnya.

9. Pilih Untuk Gembira

Sebelum menggembirakan orang lain, buat sesuatu untuk diri sendiri dahulu. Jika kita suka berkebun, bercucuk-tanam sambil bernyanyi. Jika berbual dengan rakan lama menggembirakan kita, hubungi mereka sekarang juga! Rasa gembira tidak boleh dibuat-buat. Selami dasar hati dan buat sesuatu yang boleh buat kita senyum lebar hingga telinga.

10. Jangan Putus Asa

Rasa putus asa adalah virus wajib yang menyerang setiap orang di dunia ini. Cubaan kali ke-115, kritikan dan kegagalan kadangkala mematahkan semangat juga. Belajar dari setiap kegagalan dan jangan berhenti mencuba. Orang yang kreatif adalah seperti pemain jigsaw puzzle, selagi kepingan terakhir tidak ditemui kita tidak akan berpuashati. Kita mungkin perlu ubah strategi atau mulakan semula, tetapi putus asa bukanlah satu pilihan.

11. Selalu Jumpa Dia

Cetusan idea kreatif merupakan rezeki dan anugerah dari Dia kepada kita. A. Ubaidillah Alias dalam bukunya Ingin Menjadi Penulis? menyebut bahawa solat fardhu yang sempurna ditambah dengan solat sunat dhuha setiap hari membuat kita berasa tenang dan fokus dalam mencari ilham. Semakin buntu kita mendapatkan idea baru, semakin dekatkan diri kita dengan pemilik semua idea ini.

“Dan Dia menemuimu dalam kebingungan, lalu Dia memberikan petunjuk” Surah Dhuha, Ayat 7

Apa yang akan berlaku jika 10,000 tentera membedil 3,000 tentera? Sudah pastilah 3,000 tentera akan kalah kan? Tetapi siapa sangka 3,000 tentera ini menggali parit di sekeliling bandar dan telah mematahkan serangan 10,000 tentera berkuda ini!

Kuda dan parit yang besar memang tiada chemistry.

Berisiko tetapi sangat kreatif! Ingin kenal siapa komander perang paling hebat ini? Beliau adalah baginda Rasulullah saw di dalam Perang Khandaq pada tahun kelima hijrah.

Setiap dari kita telah diberikan akal untuk berfikir. Seperti kata-kata iklan yang terkenal, biarkan sel-sel otak kita berhubung dengan aktif agar semua perkara dapat diselesaikan dengan mudah.

Rasulullah saw meninggalkan kisah-kisah ini kepada kita agar kita dapat berfikir dengan kreatif, lain sedikit, out of the box, dan tidak mudah mengalah. Idea akan datang menari-nari di fikiran jika kita terus berusaha dan tidak kenal erti putus asa.

Jika kita merasa buntu mencari idea, jadi kreatif juga dalam usaha mencarinya semula. Menjadi seorang yang kreatif adalah satu hadiah istimewa dari Dia kepada kita. Hargai pemberian ini dengan berterima kasih dan menggunakannya untuk perkara yang memberi manfaat kepada orang lain.

Sebenarnya hidup ini pendek sahaja kan, jadi jangan fikir biasa-biasa!
Nordiana Ali, 14/3/16, Melaka

Tentang Dalin Ali

Dalin Ali

Seorang peguam yang jatuh cinta dengan menulis. Minimalis dan gemar belajar dari universiti kehidupan. Mencari bahagia yang pasti dengan mereka yang dikasihi.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.