Menjadi seorang muslimah yang hebat sepatutnya adalah impian bagi setiap wanita muslimah. Islam sendiri mempunyai contoh wanita muslimah yang hebat dalam sejarahnya seperti Khadijah, Aishah, Hafsah bint Umar, Zainab bint Khazeemah, Sumayyah binti Khabat, Umm Haram bint Malhan, Asma bint Abu Bakar As-Siddique dan ramai lagi.

Berikut diberikan secara ringkas akan ciri-ciri wanita muslimah yang hebat:

#1- Hamba Allah Yang Patuh

Seorang muslimah yang hebat menjaga solatnya dengan baik. Selain mengerjakan solat lima waktu, dia juga mengerjakan solat sunat. Dia memastikan solatnya dilakukan dengan khusyuk dan berdoa agar ibadatnya diterima Allah s.w.t.

Dia juga rajin membaca Al-Qur’an, berpuasa di bulan Ramadan termasuk puasa-puasa sunat, membayar zakat, dan menunaikan haji sekiranya mampu. Oleh itu, muslimah yang hebat amat patuh kepada perintah Allah. Dia memakai pakaian yang baik dan tidak mendedahkan auratnya kepada bukan muhrim, apalagi bercampur dengan bukan muhrim tanpa sebab.

Perkara utama oleh dirinya adalah mencapai redha Allah. Jadi, dia sentiasa kembali kepada Allah dalam semua urusan. Dia sentiasa memohon keampunan dari Allah dan menerima qada dan qadar Allah dengan hati yang terbuka.

Muslimah yang hebat meletakkan kesetiannya hanya untuk Allah. Maka dia sentiasa berusaha menjaga agamanya dengan baik.

Justeru, melihat dirinya, membuatkan ramai orang tahu dialah seorang Muslim sebenar.

#2- Cantik Luar Dan Dalam

Muslimah yang hebat bukan sahaja menjaga kecantikan luaran, malah dalamannya juga amat penting. Dia makan makanan yang baik-baik dan tidak makan dengan keterlaluan. Kebersihan tubuh menjadi keutamaannya selain apa yang disarungkan pada tubuhnya. Penampilannya sentiasa kemas dan menyejukkan hati yang memandang. Kecantikan yang keterlaluan bukanlah minatnya.

Muslimah yang hebat rajin menuntut ilmu. Begitulah cara dia menjaga mindanya. Kisah-kisah kejayaan wanita menjadi sumber inspirasinya. Jiwanya pula disucikan dengan ibadah. Maka dia suka bergaul dengan para ilmuwan, orang alim dan majlis ilmu. Rutin hariannya diserikan juga dengan zikir dan doa.

#3- Anak Solehah Kepada Ibu Bapa

Menjadi anak solehah bermaksud seorang muslimah yang hebat tidak kekok melayani ibu bapanya dengan kebaikan dan penuh rasa hormat.

Walaupun kedua ibu bapanya mungkin tidak seagama dengannya, namun rasa hormat dan berbuat baik kepada mereka tetap menjadi keutamaan. Dia seorang anak yang bertanggungjawab.

#4- Isteri Solehah Kepada Suami

Perkara pertama yang dipilih oleh seorang muslimah yang hebat adalah memilih seorang suami yang baik. Dengan itu, dia juga patuh dan hormat kepada suaminya untuk hal-hal kebaikan. Nasihatnya dituruti di samping dia sering berada di sisi suaminya.

Dia juga turut menggalakkan suaminya melakukan kebaikan untuk Allah dan membantunya agar patuh kepada suruhan Allah.

Dia menjaga hati suaminya dan membuat suaminya bahagia, Rasa hormat itu disalurkan juga kepada ibu bapa dan keluarga suaminya. Apa yang menjadi rahsia suami dan rumahtangganya dijaga dengan rapi.

#5- Ibu Mithali Kepada Anak-anak

Sebagai seorang ibu, dia memahami tanggungjawabnya kepada anak-anak. Dia cuba mendidik mereka dengan baik dan sentiasa belajar serta mencari kaedah terbaik bagi mendidik mereka. Apa jua perkara luar yang boleh mempengaruhi anak-anaknya secara negatif akan cuba ditangani dengan penuh hikmah.

Oleh itu, dia berusaha untuk menyemai benih sifat dan tingkah-laku yang baik di dalam diri anak-anaknya. Kasih-sayangnya tidak berbelah-bahagi dan cintanya kepada mereka juga tidak sampai kepada memilih kasih.

#6- Ibu Mithali Kepada Menantu

Seringkali ibu mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Justeru, dia bijak dalam menimbang wanita terbaik untuk dijadikan menantunya. Walaupun begitu, dia tidak dengan melulu mencampuri urusan anak dan menantunya. Baginya, nasihat yang baik itu penting tetapi anak dan menantunya berhak untuk belajar membuat keputusan terbaik bagi keluarga mereka.

Maka, seorang ibu mithali amat menghormati menantunya selain melayani mereka dengan baik selagi mana mereka tidak membuat kerosakan yang dibenci Allah. Dia juga bersikap adil dalam menghakimi mereka. Sekiranya timbul masalah, ia diatasi dengan penuh hikmah.

#7- Saudara Islam Yang Berhati Mulia

Islam amat mementingkan tali persaudaraan. Umat yang bersatu akan memberikan kekuatan kepada kelompok tersebut. Banyak masalah yang boleh diatasi dan banyak kebaikan boleh dibina dan dikekalkan.

Oleh itu, muslimah yang hebat akan menjaga hubungan persaudaraan ini sebaik mungkin. Dia akan berusaha untuk tidak menyakiti mereka walaupun dengan saudara yang bukan Islam.

#8- Jiran Yang Baik Hati

Sebagaimana seorang muslimah baik kepada saudaranya, begitu juga dengan jiran-jirannya. Dia baik dan mesra dengan mereka tanpa memilih agama dan bangsa. Dia memahami kedudukan seorang jiran dalam Islam di mana seorang muslim yang baik adalah jiran terbaik bagi jirannya.

#9- Rakan Yang Disayangi

Cinta kepada rakan-rakannya adalah cinta kerana Allah. Oleh itu dia bersifat bertimbangrasa dan pemaaf di saat berlakunya salah faham. Jika rakannya berada dalam kesusahan, dia tidak mengabaikannya malah memberikan bantuan walaupun sekadar kata-kata yang baik. Apabila bertemu, dia tidak bermasam muka. Malah, dia gembira dan berbuat baik kepada mereka.

Sebagai seorang rakan, dia tidak memburukkan rakannya, mengumpat, atau memfitnah mereka. Begitu juga perkara-perkara lain yang boleh menyakitkan hati mereka. Dalam senyap, dia mendoakan yang terbaik untuk rakan-rakannya.

#10- Masyarakat Yang Mengambil Berat

Memandangkan diri seorang muslimah itu sudah sebati dengan kebaikan, secara tidak langsung dia juga adalah seorang rakyat yang bagus. Hidup bermasyarakat memerlukan sifat-sifat mulia. Maka dia menjaga kesemua itu seperti dianjurkan Al-Quran dan Sunnah.

Dia mengambil berat tetapi tidak terlalu mencampuri urusan orang lain, dia tegas tetapi tidak sombong, tidak menzalimi orang lain, seorang yang ringan tulang, dia bersifat merendah diri, sering mengambil berat dalam hal kemasyarakatan atau hubungan sesama muslim, dan pelbagai lagi nilai mulia dalam bermasyarakat.

Menjadi wanita muslimah yang hebat bermaksud menjadi umat yang dicintai Allah dan RasulNya. Ia memerlukan usaha berterusan namun tidak mustahil untuk digapai oleh semua wanita muslimah. Wanita muslimah yang cemerlang bukan sahaja berjaya di dunia, malah akhirat sudah lebih dahulu hidup di dalam hatinya.

Tentang Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.