Ramai yang masih belum sedar akan kepentingan kaum wanita sebagai tonggak keharmonian sesebuah keluarga.

Sponsored

Wanita atau ibu yang sihat dan cerdas sebenarnya pemacu ke arah kelancaran pengurusan sesebuah keluarga itu. Oleh itu, aspek kesihatan terhadap golongan wanita sangatlah berperanan penting dan tidak boleh diabaikan sama sekali.

Berbanding kaum lelaki, tubuh wanita mengalami lebih banyak perubahan yang besar apabila melalui peringkat umur tertentu, seperti peringkat remaja, dewasa sehinggalah menjadi seorang ibu seterusnya mencecah usia emas.

Hal ini sacara tidak langsung turut membezakan keperluan pemakanan pada setiap peringkat umur yang berbeza. Perubahan fisiologi dan biologi juga dikaitkan sebagai faktor utama yang mendedahkan golongan wanita kepada pelbagai ancaman kesihatan. Ini boleh dilihat daripada pertambahan jumlah wanita yang mengalami pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, osteoporosis, obesity, penyakit jantung dan barah.

Pelbagai penyakit yang melanda golongan wanita terdiri daripada beberapa faktor seperti pemakanan, contohnya kesan daripada pengambilan makanan yang tidak berkhasiat atas alasan diet untuk kurus lantaran mahu kelihatan cantik dan langsing. Bahkan terdapat banyak penyakit yang berpunca daripada faktor genetik dan keturunan seperti barah payudara yang sangat kerap menyerang golongan wanita.

Bahkan kaum wanita sudah tidak asing lagi dikaitkan dengan kecantikan yang sebenarnya turut membahayakan kesihtaan mereka. Pengambilan pelbagai supplement dan produk makan tambahan turut membantutkan kesihatan sedia ada.

Tugas-tugas golongan ini yang tenyata tidak pernah selesai menjadikan wanita jarang berpeluang menjaga kesihatan diri sendiri. Selain waktu tidur yang sentiasa tidak mencukupi memburukkan kesihatan golongan wanita ini. Padahal tanpa mereka sedar, jika kesihatan terganggu, mereka tidak akan dapat menumpukan perhatian terhadap tanggungjawab mereka kepada keluarga serta kerja.

Dalam kesibukan mereka memberi tumpuan terhadap amalan penjagaan kesihatan tubuh badan, Islam sentiasa memberi perhatian yang serius.

Sponsored

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”

Hadis Riwayat Bukhari

Sebenarnya, kesihatan merangkumi banyak aspek yang perlu dijaga dengan baik. Seperti kesihatan fizikal, mental, psikologi dan emosi, daya pemikiran dan kerohanian. Setiap aspek ini sangat perlu diseimbangkan demi kesempurnaan kesihatan. Bagi golongan wanita, beberapa perkara boleh dititikberatkan bagi membantu menyempurnakan kesihatan, seperti;

Pemakanan yang sihat

Setiap wanita harus mengetahui cara untuk mengawal corak pemakanan yang diambilnya setiap hari. Ini kerana setiap makanan mempunyai kesan yang tersendiri terhadap tubuh badan, sama ada lambat atau cepat bahkan pada masa akan datang. Pemakanan yang seimbang dan teratur sangat penting bagi seorang wanita memastikan mengekalkan kesihatan yang maksimum dan seterusnya memudahkan aktiviti hariannya sebagai isteri, ibu, dan ahli masyarakat yang sihat.

Persekitaran sekeliling

Perubahan persekitaran semasa boleh mempengaruhi tubuh badan sesorang wanita. Persekitaran yang positif mampu membantu cara pemikiran dan mendorong wanita itu menjaga kesihatannya dengan gaya hidup yang lebih baik.

Mengawal tekanan dan masalah

Komitmen dan tumpuan terhadap kerja dan tanggungjawab terhadap keluarga boleh membuatkan seseorang wanita itu tertekan. Stres sebenarnya mampu menyumbang kepada pelbagai penyakit lain, bukan sahaja dalam kalangan wanita tetapi juga lelaki.

Lalu wanita juga sebenarnya memerlukan bantuan dan pertolongan dalam menyiapkan sesuatu perkerjaan, selain rehat yang cukup serta disiplin yang tinggi dalam pengurusan masa.

Lalu luangkanlah masa dengan bercuti dan beriadah untuk mengembalikan semula tenaga. Dengan berehatlah dan melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT juga mampu menenangkan hati dan merawat penyakit-penyakit kecil dan mententeramkan jiwa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermksud;

“Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).”

Hadis Riwayat Ibnu Majah

Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat tertinggi selepas keyakinan dan keimanan.

Jangan disebabkan pemasalahan kesihatan menjejaskan tugas ibadah kita kepada Allah SWT. Sudah tentu kesihatan yang baik memudah dan membantu menyempurnakan ibadah seharian.

Sesungguhnya kesihatan adalah anugerah Allah SWT yang paling mahal, jadi wajiblah kita memeliharanya dengan sebaik upaya kita. Kesihatan yang baik mempengaruhi ibadah yang baik, amin.

Kongsikan Tazkirah Ini


Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.