“Eh, apa awak ni? Tak nampak ke saya tengah tidur ni. Pergi jauh, jangan dekat! Dengan badan berbau macamni. Ish, rimaslah. Saya nak tidur.” Jamilah memarahi suaminya yang hendak bermanja dengannya. Lalu si suami pun, hanya terdiam dan terus tidur.

Sponsored

“Sayang, buatkan abang kopi boleh? Rasanya, tekak hari ini nak minum kopi pulak. Hehe.” Kata Jamil kepada isterinya. Tapi, apa yang Jamil dapat?

“Alah, ada-ada jelah awak ni. Saya penatlah, nak berehat. Kalau awak nak, awak buat sendiri. Semua ada kat dapur tu.” Kata Jamilah. Sabar jelah Jamil ya. Bukan sekali dua dia dilayan sebegitu oleh isterinya, Jamilah. Dah berkali-kali.

Jamil pun dah lali dengan perangai isterinya itu. Dalam rumahtangga, dia banyak mengalah kerana tak mahu perbesarkan isu yang kecil. Seburuk mana pun, itu isteri dia. Tapi jauh di sudut hati Jamil, dia mahukan Jamilah yang dahulu. Jamilah yang sentiasa penuhi kehendak hatinya tanpa membantah.

Nama cantik dah, Jamilah. Tahu tak apa maksud Jamilah? Dalam bahasa Arab maksudnya, cantik. Tapi, Jamil kesal kerana isterinya yang cantik itu ‘tak cantik’ dari sudut layanannya. Makin hari, dia semakin tawar dengan sikap isterinya. Mahu saja, dia cari isteri lain yang boleh beri layanan fist class padanya.

“Astaghfirullah.. apa yang aku fikirkan ni. Subhanallah. Ya Allah, berikan aku kesabaran dalam mendidik isteriku ini.” Jamil tersedar dari lamunannya. Sejak itu, Jamil rajin ke masjid berdekatan rumahnya. Di situ, dia bertemu dengan ramai ‘orang-orang lama’.

Pak Mat, pak cik yang sering mengunjungi rumah Allah itu sering berbual dengan Jamil mengenai kehidupan. Jamil banyak mengambil input darinya yang lebih dahulu makan garam darinya.

“Isteri ini amanah. Tugas suami adalah mendidik isteri supaya taat dan faham pada agama. Mendidik itu bukan dengan suara yang keras mahupun dengan ringannya tangan untuk memukul. Bila isteri masih belum faham, atau masih belum taat ikut kata suami, maka, si suami hendaklah bertanya padanya, apa yang salah dari cara didikannya, bukan bertanya siapa yang dia didik. Sepatutnya, isteri di rumah menyambut suami pulang dengan senyuman, ibarat anak kecil saat dirimu ada di rumah. Itu tanda jelas wanita itu bahagia. Tetapi, apabila isteri tidak menunjukkan bahagia seperti itu, tanyalah pada diri kita wahai suami. Mungkin kita perlu kembali mengkaji Islam dan contohi jalan hidup Nabi, agar kita pandai membahagiakannya.”

Sponsored

Panjang lebar Pak Mat memberi nasihat.

Sungguh, Jamil amat terkesan dengan kata-kata tersebut. Dia nekad untuk mengubah cara didikannya kepada isteri juga anak-anaknya.

“Jalan hidup Nabi SAW. Ya, aku tak ikut pun cara Rasulullah, Allahuakbar.” Bisik hati kecil Jamil. Dia tidak mahu isterinya yang cantik itu menjadi ‘hitam’ di sana nanti.

Duhai wanita, resapilah nasihat ini sedalamnya, “Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana saja pintu yang dia kehendaki tanpa dihisab.”

Dan, duhai lelaki,

“Janganlah kalian menikahi wanita kerana kecantikannya, kerana mungkin saja kecantikannya akan membinasakannya. Dan, jangan pula kalian menikahi wanita kerana hartanya, kerana mungkin saja hartanya akan menjadikannya bersikap lupa diri. Akan tetapi, nikahilah wanita itu kerana agamanya. Sungguh, seorang hamba yang hitam wajahnya, tetapi kuat agamanya, dia lebih utama.”

Kamu mahu isteri yang cantik tetapi ‘hitam’ akhlaknya, atau isteri yang hitam tetapi cantik akhlaknya? Keduanya punya nilai yang berbeza. Terletak pada hatimu, duhai lelaki dalam memilihnya. Moga berjaya dunia akhirat hendaknya.

Kongsikan Tazkirah Ini


Marina M. Arus

Marina
Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.