Dalam menjalani kehidupan harian serta bertauhid kepada Allah s.w.t, kita tidak akan terlepas dari memastikan tatacara hidup yang sihat. Ini kerana, tatacara hidup yang sihat akan menjana dan menjamin tubuh badan sihat sekaligus minda yang cergas. Bahkan, ianya menjadi amanah yang dipertanggungjawabkan oleh-Nya ke atas kita supaya menjaga diri dari kemudaratan.

Sponsored
Muslim Bersukan

Lelaki atau perempuan muslim perlu menjaga batas syariat dalam bersukan. [Mirror]

Kesemuanya berbalik kepada firman Allah s.w.t di dalam surah Adz-Dzaariyaat yang merujuk kepada tujuan umat manusia dicipta adalah semata-mata untuk menyembah-Nya. Kalau badan sihat dan kuat, maka bayangkan berapa banyak lagi amal ibadah yang boleh kita lakukan selagi hayat dikandung badan.

 

Surah Adz-Dzaariyaat Ayat 56

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Adz-Dzaariyaat: 56)

 

Aktiviti riadah atau bersukan di kalangan masyarakat bandar secara khususnya sudah menjadi satu trend atau gaya hidup. Bekerja 5 hari seminggu di pejabat boleh membuatkan badan dan minda berasa lesu. Keperluan beriadah hampir menjadi kewajipan kebanyakan warga kota.

Malah, industri sukan lebih banyak mengaut peminat dan keuntungan dari kalangan penggemar sukan amatur. Ini ditambah lagi dengan kemampuan dan kuasa membeli masyarakat kita yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini produk-produk sukan yang lebih canggih.

Sponsored

Namun, perkongsian kali ini diharapkan mampu untuk membimbing kita, yang lebih selesa digelar weekend warrior, untuk memahami kehebatan syiar Islam dalam bersukan sekaligus mengetahui batas-batas yang perlu kita patuhi, sekadar peringatan.

Perkongsian Tazkiran.net lebih selesa menyentuh aktiviti sukan yang lebih mendapat penerimaan masyarakat umum seperti sukan berlari sebagai contoh, atau apa jua aktiviti riadah yang kita jadikan hobi untuk mengisi masa yang terluang.

#1 – Perbelanjaan Berhemah atau Bersederhana?

Kelengkapan dan peralatan beriadah dan bersukan sudah menjadi satu kemestian dalam kita memastikan aktiviti itu membuahkan hasil. Namun, kita acap kali lupa lantas hanyut dalam berbelanja sehingga menghampiri pembaziran. Pembaziran di sini membawa maksud membeli kelengkapan atau peralatan yang melebihi dari keperluan penggunaan kita.

Tidak mustahil, peralatan sukan secara majoriti adalah barangan import, tambahan lagi apabila dikenakan cukai. Ini menyebabkan harga barang menjadi mahal apabila ia sampai di rak-rak kedai sukan. Tambahan lagi apabila kita didorong dengan iklan produk sukan yang kononnya ‘mujarab’ untuk mengecapi sasaran kita.

Sebagai contoh, kita membeli peralatan yang berjenama yang berharga ratusan hingga ribuan ringgit, sedangkan kita hanya guna sekadar riadah dua hingga tiga kali seminggu dan mungkin sekali sekala menyertai perlumbaan. Malah, kita masuk bertanding pun hanya sekadar untuk menghabiskan acara, bahkan untuk menang jauh sekali. Benar. Kualiti datang dengan harganya. Tapi, cuba kita timbal balik dengan persoalan pertama, iaitu matlamat kita beriadah dan bersukan.

 

Surah At-Takathur Ayat 1-2

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur. (Surah At-Takaathur: 1-2)

 

#2 – Batasan Sosial

Kita juga mudah untuk alpa dengan satu lagi batasan yang digariskan oleh Islam dalam aktiviti bersukan iaitu batasan pergaulan. Tidak menjadi pelik pada masa kini batasan pergaulan antara jantina sudah menghampiri kepupusan. Lebih-lebih lagi apabila berlangsungnya majlis atau acara sukan yang dihadiri ratusan hingga ribuan peminat.

Apa yang lebih ketara, masing-masing teruja untuk bergambar bersama sahabat handai dan berkongsi di laman sosial sehingga kita terlupa akan ‘garis’ yang menghadkan batasan pergaulan bukan Muhrim.

Malah, lokasi-lokasi riadah dan acara-acara sukan tidak mementingkan batasan tersebut. Yang ada hanya perbezaan kemudahan tandas. Benar. Jarang sekali pihak penganjur akan menyediakan kemudahan bagi menjelaskan ‘garisan’ ini, malah tidak wujud sama sekali.

Akan tetapi, pilihan di tangan kita. Tepuk dada tanya iman. Kita masih ada pilihan untuk mengawal tindakan kita dan memilih apa yang terbaik berlandaskan hukum syara’.

#3 – Pemakaian atau Fesyen

Ini merupakan satu ilmu yang jarang diamalkan rata-rata di kalangan penggemar dan penggiat sukan tanahair kita. Kita mudah terjerumus dengan teknologi sehingga melampaui syarat-syarat penjagaan aurat itu sendiri. Ilmu penjagaan aurat sangat penting bukan sahaja untuk kaum Muslimah, malah kaum Muslimin juga paling lumrah memandangnya sebagai satu perkara atau isu ‘enteng’.

Pelari Muslimah

Ahli sukan professional dunia pun menutup aurat dengan baik. [Hiburan.my]

Pengetahuan kita dalam menjaga aurat dan adab berpakaian merupakan satu kewajipan dan dituntut dalam Islam. Disebabkan riadah dan sukan sudah hampir menjadi lifestyle, maka timbul pelbagai fesyen dari jenama terkemuka, tetapi sayangnya rata-rata pereka fesyen sukan tidak patuh syariah. Maka timbul fesyen pakaian ketat yang kononnya lebih aerodinamik bagi menambah kelajuan dan memudahkan pergerakan.

Akibatnya, wujud mentaliti akhir zaman yang berbunyi ‘biar berdosa, asal bergaya’. Sedih bukan?

Tetapi, kita juga ditawarkan pilihan di pasaran dengan pelbagai lagi pakaian sukan yang boleh digunapakai sejajar dengan tuntutan Islam. Jika kita sanggup berbelanja, apa salahnya berbelanja demi kebaikan dan pelaburan akhirat kita?

#4 – Demi Masa, Kita Dalam Kerugian!

Kita sangat familiar dengan firman Allah s.w.t tersebut. Ketaksuban kita dalam menggiatkan diri dalam aktiviti sukan mampu membawa risiko lupa atau memandang remeh dengan waktu dan kuantiti masa yang kita laburkan. Jangan sampai kita tergolong dalam mereka yang berada dalam kerugian. Elakkan daripada menunggang balikkan keutamaan antara riadah dan ibadah.

 

Surah al-Asr Ayat 1-2

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (Surah al-‘Asr: 1-2)

 

Cuba kita timbang-timbang masa yang kita belanjakan untuk beriadah dan sukan berbanding dengan peruntukan masa berjemaah di masjid atau majlis ilmu. Adakah setimpal?

Lebih merugikan lagi apabila kita sanggup menggadaikan kewajipan beribadah kita dengan melengah-lengahkan waktu, atau lebih defisit lagi mengabaikan tuntutan syar’i. Maka timbul pelbagai alasan seperti pakaian tidak bersih atau kurang sesuai, isu kemudahan tempat solat, dan macam-macam lagi.

Senja

Dikala senja masih ramai yang beriadah tanpa mengabaikan waktu solat. [Zeshan]

Selain menilai masa itu sendiri, menghormati masa juga perlu ditekankan. Sebagai contoh, jika Ramadhan adalah bulan ibadah, rasanya tidak rugi langsung jika kita ‘cuti’ beriadah sebulan. Sedangkan saham akhirat itu yang perlu kita lipat gandakan.

#5 – Ego?

Apa kaitannya dengan riadah dan Islam?

Seperti kehidupan lahiriah secara umum, manusia sangat mudah terdorong dengan kehebatan harta, pangkat dan kuasa. Seperti juga aktiviti riadah dan sukan.

Sampai begitu sekali kesan beriadah dan bersukan?

Benar. Sifat riak dan takbur datang sebagai pakej apabila badan lebih sihat dan kuat atau pun kemegahan dengan aset kelengkapan berjenama. Kemudahan untuk berbelanja mewah dan memperalatkan material dan fizikal untuk membantu meningkatkan ego diri.

Lebih-lebih lagi apabila pencapaian cemerlang atau kejayaan di dalam pertandingan atau perlumbaan, laman sosial dijadikan habuan menyuap keegoan. Sedangkan kita lupa, kekuatan ilmu dan rohani adalah kunci kebahagiaan segala-galanya.

#6 – Mata, Telinga & Mulut?

Ada mata pandang, ada telinga dengar, ada mulut diam

Tersangat mudah untuk kita leka dari mengawal pancaindera tatkala beriadah dan bersukan. Baik beriadah bersendirian mahu pun secara berkumpulan dengan rakan-rakan. Mata perlu dijaga supaya melihat yang baik-baik sahaja. Selagi boleh, elakkan daripada melihat yang kurang elok terutama apabila beriadah di tempat awam. Tumpukan fokus kepada matlamat riadah itu sendiri dari terlencong kepada bisikan syaitan dan nafsu.

Bertutur dan mendengar merupakan satu pakej apabila beriadah dan bersukan dalam kumpulan. Ia banyak berlaku ketika waktu merehatkan badan atau sambil-sambil berlari di mana gosip, mengata, mengumpat, memaki hamun dan sebagainya yang tidak mencerminkan seorang mukminin.

#7 – Ketauhidan Rabb

Kesedaran akan Ketauhidan. Inilah pucuk pangkal ke atas segalanya. Namun, yang ini juga paling mudah kita lupa dan ambil ringan akibat kekurangan kesedaran kita tentang yang Satu. Sedangkan setiap sesuatu nikmat kita hanya atas dasar Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Namun kita tetap lupa, leka menyuap nafsu dengan kemewahan status, kekayaan material dan kekuatan. Kita hanyut dengan status jaguh.

Muslim Bersukan

Seorang muslim tidak sepatutnya mengabaikan syariat apabila bersukan. [Parseed]

Segala nikmat kesihatan, kekuatan fizikal, kemampuan berbelanja, luangan masa bukan milik kita secara kekal. Terima lah hakikat bahawa ia hanya nikmat yang dipinjam, maka tidak perlu bermegah dengan sesuatu yang bukan kita punya.

 

Surah Al-Kahfi Ayat 7

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. (Surah al-Kahfi: 7)

 

Tidak menjadi kesalahan untuk kita bergiat secara aktif dalam sukan atau serius dalam beriadah, mungkin ia dapat membantu kita menjana minda dan fizikal yang lebih sihat untuk fokus kepada ibadah dan beramal. Asalkan pegangan kita cukup kuat untuk membezakan antara keutamaan agama dan riadah itu sendiri.

Berbaliklah kepada konsep kehidupan kita yang mana kesederhanaan adalah penting. Perkongsian hari ini hanya sekelumit dari sistem kehidupan yang lebih besar. Riadah dan sukan juga hanya salah satu cabang yang sangat kecil berbanding dengan kesempurnaan gaya hidup Islam. Apa yang paling penting ialah yang bakal menjelang selepas kehidupan itu nanti, yang perlu dilipat gandakan input-nya kerana yang itu kekal selama-lamanya.

Wallahu’alam
JazaakAllahu khoiran kathira

Kongsikan Tazkirah Ini


Shakhir Ishak

Shakhir Ishak
1) Masih bertugas dalam dunia kejuruteraan hampir 15 tahun. 2) Sedang membimbing dan menjadi sahabat baik kepada 3 orang anak. 3) Penggiat aktiviti outdoor dan sukan. 4) Suka mencari ilmu akhirat dan dunia untuk dikongsikan secara santai dan bersahaja.