Ich liebe dich!

Sponsored

Ia ‘Saya cinta awak’ dalam bahasa Jerman.

Betapa sukarnya beritahu seseorang kita sukakan dia, sehingga tersasul-sasul dan bercakap bahasa Jerman pun lebih mudah rasanya.

Tetapi samakah suka dan cinta? Bila pula perlu beritahu kita sukakan dia?

Tidak tahu mahu bermula dari mana?

Apa kata cuba 15 cara ini untuk beritahu anda sangat sukakan dia!

1. Sampaikanlah salam!

Ini memang klise. Tetapi apa salahnya memulakan perkenalan dengan kiriman Assalamualaikum yang bermaksud Salam Sejahtera. Cara ini memang evergreen sejak dahulu. Dekati teman baiknya dan sampaikan salam kepadanya. Jangan lupa sertakan senyuman kita yang manis dan misteri juga.

2. Apa saja untukmu

Kata orang jika sudah suka, lautan api pun sanggup direnangi. Jika si dia gemar ke perpustakaan, cuba rajinkan diri ke sana. Biarkan dia terlihat kita di celah rak buku. Apatah lagi jika dia suka ke surau, datanglah awal ke sana. Jadi bilal terus lagi baik. Saham pun lebih tinggi nanti!

Sponsored

3. Abang Long Kawasan

Jika sukakan dia, minta berjumpa dengan adik-beradiknya. Seorang abang biasanya sangat protektif terhadap adik perempuan. Dia akan menyelidik sehingga ke akar-umbi. Kakak dan adik pula lebih cool. Percayalah, jika kita lulus ujian abang/ kak long ini, kita sentiasa ada full back-up di kampungnya nanti. Ini strategi!

4. Jangan tunggu lama-lama!

Kadang-kadang kita suka, tetapi malu pula nak meluah kata, kan! Jangan bertangguh, beritahu dia dengan jelas kita sukakannya. Jika dia suka, kita bertuah. Tetapi, jika sebaliknya, kita sudah menjimatkan banyak masa dan perasaan sendiri. Mungkin ada orang lain sedang menunggu kita.

5. KISS

Oh tidak, bukan yang itu. KISS = Keep it simple and sweet. Walau betapa kita sukakan dia, sentiasa bersederhana. Cakap dengan ringkas dan jelas. Berkawan-kawan dahulu untuk mengenali dia. Buat dia selesa. Jika tiada jodoh pun, kita masih boleh bersahabat nanti. Hadiahkan sesuatu, tetapi jangan berlebihan pula.

6. Posto posto!

Walaupun ini zaman teknologi, tulis sesuatu untuk dia. Ya, tonjolkan tulisan doktor pakar kita itu. Tulisan tangan biasanya menggambarkan ketulusan hati seseorang. Walaupun kita tidak puitis, tulis sesuatu yang ringkas, terus dari hati kita. Dia pasti akan merasainya. Selitkan pada buku atau kirimkan pada kawan baiknya.

7. Terima saya seadanya

Kalau sukakan seseorang, suka dia kerana sifat-sifat yang ada pada dirinya. Ketawa, lesung pipit, kelam-kabutnya dia. Dia istimewa, satu-satunya di dunia ini. Kita juga tidak perlu berubah 200% untuk mengambil hatinya. Berusaha sedikit itu boleh, cuma biarkan dia tahu identiti sebenar kita juga.

8. Play the game!

Kadang-kadang kalau selalu melihat kelibat kita memunculkan diri, agak menjengkelkan juga. Sekali-sekala, cuba hilangkan diri. Kata orang, kalau sudah tidak nampak, baru rasa rindu kan? Jika betul dia tercari-cari kita, kembali ke point no. 4 di atas. Jangan bertangguh pula. Good luck!

9. Pesanan penaja

Petua orang lama, nak pikat anak, pikat ibunya dahulu! Berusaha untuk berjumpa dengan ibu bapanya dengan segera. Mengenali ibu bapanya, membuatkan kita lebih memahami dirinya, dan lebih menghormati dia juga. Dengar pesanan mereka, yang tersurat dan tersirat, dan jaga anak mereka baik-baik!

10. Better man

Walau apa jua yang berlaku sewaktu bertemu ibu bapanya, hormati mereka. Bukan mudah untuk melepaskan orang yang disayangi sejak kecil. Jika kita benar-benar sukakan dia, cuba jadi lebih baik dari semalam. Restu ibu-bapa paling utama. Dan, biarkan masa yang menentukannya.

11. Let it go

Pernah dengar kan, kalau sukakan seseorang, lepaskan dia. Jika dia datang semula, dia mungkin untuk kita. Mungkin dia perlu bekerja jauh di mata, atau belajar di luar negara, lepaskan dia. Jika dia teringatkan kita sewaktu berada beribu-ribu kilometer jauhnya, dan dikelilingi mereka yang lebih hebat, kita win!

12. Princess

Menyukai seseorang bermakna dia limited edition dalam hidup kita. Layan dia seperti Princess, kita melihatnya dari jauh, dan sukar didekati juga. Rasa suka kita, bukan untuk menjadi tatapan semua. Ia tulus, edisi terhad dan istimewa seperti dia. Nama baik dia, menjadi tanggungjawab kita selama mengenalinya.

13. Adakah dia untuk saya?

Suka, suka juga. Tetapi jangan lupa berdoa. Kadang-kadang, kita sudah mencuba pelbagai cara, tetapi susah pula hendak mengetuk pintu hatinya. Cuba solat istikharah, dan redha dengan jawapannya. Mungkin kita sibuk mengetuk pintu berkali-kali, tetapi kuncinya masih tiada. Berdoa agar dia juga dapat merasakan andai dia jodoh kita.

14. Salam pada bulan

Tiada yang serasi dengan kita selama ini? Lihat bulan, dan sampaikan salam kepada jodoh kita. Tanpa mengetahui siapa atau di mana dia, doakan kesejahteraannya. Mungkin dia juga sedang melihat bulan yang sama. Kata orang, urusan jodoh dan pertemuan itu, milik Dia. Kita cuma perlu berusaha.

15. Nak bercinta?

Betul-betul suka? Jantung berhenti berdegup beberapa saat sewaktu melihat dia? Jadikan dia teman hidup dengan segera. Dapatkan restu keluarganya dan mudahkan urusan perkahwinan kita. Bercinta selepas nikah lebih manis. Hari-hari pun kita boleh beritahu kita sukakan dia!

Memberitahu seseorang kita sukakan dia, kadangkala mendebarkan juga. Ia memerlukan seluruh keberanian dan kekuatan, kerana takut ditolak dan kecewa.

Begitu juga jika ada orang sukakan kita, beritahu dengan ikhlas jawapannya. Jangan biarkan dia ternanti-nanti. Hargai keberaniannya.

Simpan kata-kata istimewa, Saya cinta awak atau Ich liebe dich, selepas dia menjadi milik kita yang sah nanti.

Buat sesuatu yang comel, manis dan menunjukkan kesungguhan kita benar-benar sukakan dia.

Jadi, sudahkah dia tahu, kita sukakan dia?

Kongsikan Tazkirah Ini


Nordiana Ali

Dalin Ali
Seorang peguam yang jatuh cinta dengan menulis. Minimalis dan gemar belajar dari universiti kehidupan. Mencari bahagia yang pasti dengan mereka yang dikasihi.